Sendi Siku Terseliuh! (Pulled Elbow) – Dr Ahmad Mahyuddin

Sumber: broomedocs.com

Sumber: broomedocs.com

Pernahkah anda melihat seorang bapa yang sedang menghayun anak kesayangannya dengan memegang kedua-dua belah tangan anaknya, seolah-olah kipas helikopter yang sedang berputar?

Beliau mungkin berniat menggembirakan anak beliau dan anak itu mungkin berteriak keseronokan. Namun, apa yang anda tidak tahu, ia boleh menyebabkan tulang pada sendi siku anak anda teralih dan terkeluar daripada soket sikunya. Keadaan yang sama juga boleh berlaku sekiranya anda menyentap tangan anak anda secara tiba-tiba. Contohnya ketika anak anda sedang menangis degil di dalam kedai permainan atau sedang mengamuk kerana tidak mahu bangun pada pagi hari!

Keadaan ini kami sebut sebagai ‘radial head subluxation’. Kondisi ini juga disebut sebagai ‘Pulled elbow’, ‘Nursemaid’s elbow’ atau ‘Babysitter’s elbow’ kerana ia juga kerap berlaku ketika anak-anak malang ini berada dalam jagaan pengasuh.

Sendi siku kita terbentuk oleh 3 tulang utama iaitu tulang lengan (humerus), radius dan ulna. Tulang radius dan ulna ini dipegang oleh satu ligamen nipis yang dikenali sebagai Annular Ligament berhampiran sendi siku. Ia membentuk bulatan, meliliti kepala dan leher tulang radius, seterusnya membolehkan kita memusingkan tangan kita dengan bebas.

Sebarang henjakan atau tarikan secara keras dan tiba-tiba boleh menyebabkan kepala dan leher tulang radius ini terkeluar daripada Annular ligament. Ini akan menyebabkan tulang ini tertonjol keluar, kesakitan dan pergerakan siku dan tangan menjadi terbatas.

Ia boleh berlaku sepanjang usia kanak-kanak daripada lahir sehingga umur 7 tahun namun ia paling kerap berlaku padakanak-kanak yang berusia 1 hingga 4 tahun. Pada usia ini, tulang dan otot anak-anak kita belum benar-benar matang dan keadaan ini memudahkan kecederaan ini berlaku.

Sekiranya ia berlaku, saya nasihatkan anda segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Pemeriksaan

Majoriti kanak-kanak yang mengalami keadaan ini akan mengadu sakit pada sendi siku mereka selepas kejadian. Siku anak anda mungkin bengkak dan dalam kebanyakan kes, akan kelihatan tulang tersebut tertonjol keluar. Pergerakan sendi siku anak anda juga akan menjadi agak terbatas.

X-ray

X-ray akan dilakukan bagi memeriksaanatomi sendi siku anak anda. Pertamanya bagi memastikan diagnosis yang tepat iaitu sendi siku terkeluar, dan bagi memastikan tiada kepatahan tulang berlaku semasa kemalangan tersebut.

Rawatan

Sekiranya anda segera ke hospital, sendi yang terkeluar itu akan dimasukkan kembali ke dalam soket serta Annular ligament secara CMR atau Closed Manual Reduction. Prosedur ini akan dilakukan setelah anak anda diberi ubat penenang (sedatif) dan penahan sakit. Kami akan mengulangi x-ray sendi siku anak anda selepas prosedur CMR dilakukan bagi memastikan ia telah kembali ke tempat asal. Anak anda akan dipakaikan anduh selama 1 hingga 2 minggu bagi membolehkan tisu yang koyak kembali sembuh seperti sediakala.

Lewat Mendapatkan Rawatan

Sesetengah ibubapa yang lambat mendapatkan rawatan di hospital akan menyukarkan rawatan yang boleh diberi kepada anak mereka. Ada ibubapa yang tidak ke hospital kerana menyangka tiada kecederaan pada sendi berlaku, namun apa yang membuatkan kami terkilan ialah kerana, ada juga yang memilih untuk mendapatkan rawatan tradisional.

Kelewatan sendi dimasukkan kembali boleh menyebabkan pergerakkan sendi siku menjadi terbatas, bentuk siku yang bengkok dan tulang tertonjol. Namun, perkara yang paling kami mahu elakkan ialah kecederaan pada saraf Posterior Interosseous Nerve (PIN) yang boleh menyebabkan keadaan yang kami panggil finger drop. Finger drop ialah keadaan dimana pesakit tidak akan mampu mengangkat dan meluruskan jari-jari beliau akibat kerosakan saraf PIN ini. Kebarangkali sembuh bagi kerosakan saraf PIN adalah agak rendah.

Sekiranya dibiarkan, sendi ini akan menjadi longgar. Lebih malang lagi sekiranya anak anda mendapat radang sendi siku atau Osteoarthritis akibat kelewatan ini.

Kesimpulan

Kesimpulannya, saya nasihatkan pembaca sekalian mengenai 3 perkara:

  1. Elakkan daripada menghayun anak-anak anda
  2. Elakkan daripada menyentap atau menarik tangan anak anda dengan keras
  3. Sekiranya anda ingin mengangkat atau mendukung anak anda, sentiasa mengangkat dengan memegang badan atau pada bahagian ketiak mereka. Elakkan cara mengangkat mereka ke atas dengan menarik tangan mereka.

Segera dapatkan rawatan di hospital sekiranya perkara ini terjadi. Rawatan awal menjamin hasil yang terbaik bagi anak kesayangan anda.

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box