Luka dan Proses Penyembuhan – Dr Ahmad Mahyuddin

Luka ditakrifkan sebagai kekoyakan pada tisu kulit atau ‘a breach in skin integrity’. Ia boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu:

  1. Luka akibat pembedahan (incised wound)
  2. Luka dengan kehilangan tisu kulit

Penyembuhan luka

Pic source: thinglink.com

Proses penyembuhan luka melalui beberapa peringkat bergantung kepada jenis luka. Luka jenis incised wound iaitu akibat pembedahan dan dijahit semula akan sembuh secara healing by first intention.

First intention berlaku apabila pinggir luka dijahit rapat. Kehadiran platelet (sel darah yang membantu membekukan darah) dan protein yang dikenali sebagai fibrinakan memastikan pembentukan darah beku pada luka yang telah dijahit tersebut lalu melekatkan pinggir luka yang dijahit. Seterusnya kapilari darah akan mula tumbuh diikuti dengan kehadiran sel fibroblast. Sel fibroblast ini akan memastikan pembentukan tisu baharu dan pencantuman luka dalam masa 10 ke 14 hari. Luka pada bahagian muka mengambil masa lebih cepat untuk sembuh iaitu antara 5 ke 7 hari.

Bagi luka yang besar dengan kehilangan tisu kulit pula, proses penyembuhan akan berlaku secara secondary intention. Luka sebegini boleh terhasil akibat kemalangan dan luka akibat kencing manis atau yang dijangkiti kuman.

Penyembuhan bermula dengan pembersihan oleh sel phagocytes (sel darah yang menelan kuman dan bendasing). Ini diikuti dengan pembentukan tisu granulasi (parut peringkat awal berwarna merah jambu) pada dasar luka. Oleh kerana luka ini besar, ia memerlukan sel myofibroblast yang berfungsi bagi mengecutkan luka (wound contraction) sambil pembentukan tisu epithelium (sel pada permukaan kulit) dari pinggir luka sehinggalah keseluruhan luka sembuh.

Tempoh Penyembuhan

Apa yang mempengaruhi proses penyembuhan luka? Proses penyembuhan luka dipengaruhi banyak faktor dan boleh dibahagikan kepada faktor sistemik dan faktor setempat.

Faktor Sistemik (Systemic factors)

  1. Umur
  2. Kencing manis (Diabetes Mellitus)
  3. Peripheral Vascular Disease (penyakit pembuluh darah)
  4. Kekurangan imuniti (penyakit kronik atau AIDS)
  5. Kekurangan nutrisi
  6. Kekurangan protein (albumin) dalam badan
  7. Merokok
  8. Kanser
  9. Sesetengah ubatan seperti steroid, immunosuppressive (ubat yang menampan sistem pertahanan badan) dan cytotoxic agents (ubat yang boleh membunuh sel hidup)

Secara umumnya, luka pada kanak-kanak akan sembuh dengan lebih cepat berbanding orang dewasa. Masalah kencing manis dan saluran darah yang sempit akibat peripheral vascular disease menyebabkan luka lambat sembuh akibat kekurangan bekalan oksigen dan nutrisi ke kawasan luka tersebut. Merokok menyebabkan masalah yang sama kerana ia menyebabkan salur darah mengecut. Albumin yang merupakan sejenis protein juga penting kerana ia berfungsi sebagai protein pembawa nutrisi. Bacaan normal Albumin dalam badan kita adalah melebihi 30 g/dL.

Faktor Setempat (local factors)

  1. Jangkitan kuman
  2. Kurang bekalan darah ke tempat luka
  3. Pergerakan yang berlebihan sekiranya luka berhampiran sendi
  4. Bendasing pada luka

Jangkitan Kuman

Terdapat beberapa tanda yang dapat anda lihat jika jangkitan kuman berlaku. Pesakit biasanya akan demam. Luka pesakit pula menjadi merah, panas dan mengeluarkan nanah atau cecair exudate yang banyak. Cecair exudate adalah sejenis cecair berwarna putih kekuningan yang keluar daripada sistem saluran darah badan akibat keradangan atau jangkitan kuman. Bacaan Sel darah putih pula akan meningkat melebihi 15,000/mm3.

Bagaimana mahu luka cepat sembuh?

Bekalan darah yang bagus dan ketiadaan jangkitan kuman menentukan tempoh penyembuhan luka selain daripada saiz luka tersebut. Sudah pastilah luka yang lebih besar akan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.

Bekalan darah penting kerana ia membawa bekalan oksigen dan nutrisi yang amat diperlukan dalam proses penyembuhan luka. Ia diukur secara melihat Transcutanous Oxygen Tension melebihi 30 mmgHg dan juga Ischaemic Index melebihi 0.45.

Ikuti langkah berikut bagi memastikan luka anda cepat sembuh:

  1. Pastikan anda ambil makanan yang berkhasiat dan seimbang.
  2. Ambjl makanan yang kaya dengan protein seperti ayam, telur dan ikan.
  3. Makan banyak sayuran hijau kerana ia kaya dengan zat galian seperti zink yang amat diperlukan untuk penyembuhan luka
  4. Jaga kebersihan luka anda. Cuci luka (dressing) mengikut nasihat doktor dan jururawat anda.
  5. Berhenti merokok

Masalah parut luka

Terdapat 2 masalah yang boleh berlaku iaitu:

  1. Hypertrophic scar
  2. Keloid

Hypertrophic scar ialah keadaan di mana parut luka menjadi lebar dan timbul. Ia tidak merebak melebihi pinggiran luka asal. Bagi keadaan ini, ia boleh reda dan sembuh sendiri dalam tempoh 18 bulan.

Keadaan yang lebih teruk ialah sekiranya keloid terbentuk. Keloid ialah tisu parut berlebihan yang tumbuh melebihi pinggiranluka asal. Proses ini berlanjutan dan tidak berhenti. Ia disebabkan oleh penghasilan sel fibroblast dan kolagen berlebihan.

Perlukah saya Berpantang?

Anda TIDAK perlu berpantang!

Jika anda berpantang daripada pelbagai jenis makanan terutamanya telur dan ayam, ia akan melambatkan proses penyembuhan luka kerana anda akan kekurangan zat protein. Ini adalah kerana kekurangan protein akan menyebabkan kandungan albumin dalam darah anda menjadi rendah. Seperti yang telah disebut di atas, Albumin adalah sejenis transport protein (protein pengangkut) yang membawa nutrisi ke tempat luka tersebut. Kekurangan nutrisi akan merencatkan penyembuhan luka anda.

Anda hanya perlu berpantang sekiranya anda ada alahan atau alergi terhadap makanan ini.

Sekiranya anda mengalami masalah seperti luka lambat sembuh, jangkitan kuman pada luka atau parut keloid, jumpalah doktor berdekatan anda dengan segera bagi rawatan lanjut.

 

Dr. Ahmad Mahyuddin seorang pakar bedah ortopedik di Pahang. Beliau juga penasihat The Malaysian Medical Gazette. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Rujukan

  1. Review of Orthopaedics, 5th Mark D. Miller. P98
  2. Basic science for the MRCS. Andrew T. Raftery. Michael S. Delbridge. P287-9

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box