Kenyataan Akhbar KKM Mengenai Wabak Penyakit Ebola di Afrika Barat

EbolaKejadian wabak jangkitan penyakit virus Ebola telah dimaklumkan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semenjak Mac 2014. Sehingga 4 Ogos 2014, sejumlah 1603 kes (suspected, probable dan laboratory-confirmed) termasuk 887 kematian telah dilaporkan dari empat (4) buah negara di Afrika Barat iaitu Guinea, Liberia, Sierra Leone dan Nigeria.

Di Malaysia pula, memandangkan EVD adalah salah satu penyakit yang perlu dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (PCID) 1988, berdasarkan pemantauan yang dijalankan sehingga kini, tiada kes EVD yang dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Berdasarkan maklumat sedia ada dan daripada pihak WHO, National Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) telah membuat analisa risiko ke atas kemungkinan penularan EVD di Malaysia. Secara keseluruhan, risiko penularan EVD di Malaysia masih lagi rendah mengambilkira penularan sehingga kini hanya berlaku di Afrika Barat. Sekiranya terdapat kes import dikesan di negara ini KKM bersedia untuk bertindak segera bagi mencegah dan mengawal dari penularan berlaku.

Kesiapsiagaan utama yang perlu diberikan penekanan oleh KKM adalah berterusan memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi di semua fasiliti kesihatan termasuk di pintu masuk antarabangsa Negara. Selain dari itu, bagi mencegah kemasukan dan penularan kes ke dalam negara, langkah-langkah pencegahan dan kawalan perlu dilakukan di pintu masuk antarabangsa negara dengan bekerjasama rapat dengan semua agensi yang terlibat. Penyaluran maklumat yang tepat berkaitan penyakit EVD dan nasihat kesihatan kepada semua peringkat fasiliti Kesihatan kerajaan dan swasta, semua Kementerian dan agensi serta masyarakat terutama kepada mereka yang hendak melawat ke negara- negara yang dijangkiti adalah amat penting bagi membantu mencegah kemasukan dan penularan penyakit ini ke dalam negara.

Dalam situasi negara menghadapi wabak penyakit denggi yang serius, KKM tidak mengambil ringan dalam menyediakan kesiapsiagaan dan respons bagi kemungkinan menghadapi penularan penyakit ini.

KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan dari pihak WHO akan dimaklumkan dari semase ke semasa. Maklumat tambahan mengenai penyakit EVD dan perkembangan semasa mengenai penyakit tersebut dengan melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di http://www.moh.gov.my dan Facebook CPRC.

Sekian dan terima kasih.

DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

06 Ogos 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box