Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah KKM – Kematian Kedua Jemaah Umrah Dari Jeddah Bukan Jangkitan MERS-CoV

logo-KKMKementerian Kesihatan ingin memaklumkan mengenai kes kematian seorang jemaah umrah dalam pesawat penerbangan dari Jeddah di Arab Saudi ke Kuala Lumpur pada 16 Mei 2014. Hasil siasatan mendapati, kes merupakan seorang wanita warga Malaysia berusia 89 tahun yang dalam perjalanan pulang dari mengerjakan umrah bersama tiga ahli keluarga.

Maklumat yang diperolehi mendapati kes mengalami gejala demam, batuk dan kesukaran bernafas selama tiga hari semasa berada di Tanah Suci dan tidak pernah mendapatkan rawatan semasa di sana. Semasa dalam penerbangan dari Jeddah ke Kuala Lumpur, beliau telah mengalami kesukaran untuk bernafas dan kemudiannya meninggal dunia. Dimaklumkan oleh ahli keluarga, beliau adalah penghidap penyakit asma, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung dalam rawatan sejak sebelum mengerjakan umrah.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan aktiviti pencegahan serta kawalan mengikut pelan tindakan yang telah ditetapkan sebagai langkah berjaga-jaga seperti berikut;

  1. Mendapatkan maklumat lengkap mengenai kesemua kontak rapat kepada kes.
  2. Menjalankan disinfeksi pesawat (flight disinfection) mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.
  3.  Saringan demam telah dilakukan ke atas semua 107 penumpang dan 12 anak kapal yang menaiki pesawat yang sama. Terdapat tiga (3) orang penumpang yang dapati mengalami gejala demam ringan dan seorang (1) mengalami batuk tetapi tiada demam. Namun begitu kesemuanya tidak mengalami masalah pernafasan. Ke-empat-empat penumpang telah diberikan rawatan simptomatik dan diberi penerangan mengenai langkah-langkah pencegahan dan dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan sekiranya tidak sembuh dalam tempoh 14 hari dari tarikh ketibaan (Diterangkan juga dalam Home Assessment Tool dan Health Alert Card yang dibekalkan kepada beliau).
  4. Mengedarkan Home Assessment Tool dan Health Alert Card kepada penumpang bergejala dan kontak rapat kepada kes. Health Alert Card juga telah diedarkan kepada semua penumpang dan anak kapal yang menaiki pesawat yang sama.

Jenazah kes kematian telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan sampel telah dihantar ke makmal Hospital Sungai Buloh untuk menentukan penyebab kematian. Memandangkan kes baru pulang dari mengerjakan umrah, sampel juga telah diambil untuk ujian saringan bagi jangkitan MERS-CoV dan didapati negatif untuk MERS-CoV. Keputusan awal hasil bedah siasat mendapati beliau menghidap penyakit Pneumonia dan masih menunggu keputusan akhir bedah siasat bagi mengetahui penyebab sebenar kematian.

Sekian dan terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

18 Mei 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box