Usah pandang mudah masalah kelemumur – Nurul Nadiah Saripsah (Pegawai Farmasi)

Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series

Ramai yang mengidamkan rambut yang cantik dan kulit kepala yang sihat. Namun, antara perkara yang sering menghalang untuk keinginan tersebut tercapai ialah masalah kelemumur. Kelemumur bukan sahaja menjejaskan penampilan malah dapat merendahkan keyakinan diri.

Kelemumur kebiasaannya berwarna putih dan terhasil daripada proses pengelupasan sel kulit mati di kepala secara berlebihan. Keadaan ini mengakibatkan kulit kepala menjadi kering serta menyebabkan rasa gatal dan tidak selesa. Selain masalah kelemumur biasa yang lazim berlaku kepada kebanyakan orang, terdapat juga individu yang mengalami masalah kulit yang kronik, iaitu pembentukan keruping kulit kepala yang berlebihan, seperti seborrhea dan psoriasis.

Seborrhea merupakan satu keadaan keradangan kulit kepala yang menyebabkan keruping kulit kepala yang lebih tebal terkumpul, berwarna kekuningan dan lebih berminyak. Psoriasis pula ialah masalah pertumbuhan kulit kepala yang berlebihan hingga menjadikan kulit kepala menjadi kemerah-merahan, tebal, bersisik dan membentuk keruping berwarna perak.

 

Punca kelemumur terjadi

Penyebab utama bagi masalah kelemumur masih tidak dapat diterangkan dengan jelas, namun terdapat penemuan menunjukkan bahawa kelemumur mungkin berlaku disebabkan oleh kulat Malassezia. Kulat ini hidup pada kulit kepala kebanyakan orang dewasa tanpa menimbulkan sebarang masalah. Namun demikian, kajian menunjukkan bahawa populasi kulat Malassezia yang terlalu banyak sering ditemui pada individu yang mengalami kelemumur. Dapatan ini mencadangkan kemungkinan kulat ini merupakan penyebab kelemumur terjadi.

Kelemumur mudah terjadi kepada individu yang tidak menjaga kebersihan diri terutamanya dari segi penjagaan rambut. Kulit kepala yang sentiasa berminyak akan menghasilkan sel kulit mati dalam kuantiti lebih banyak. Selain itu, tahap sensitiviti individu terhadap produk penjagaan rambut dalam pasaran, tekanan perasaan, perubahan hormon dan pemakanan yang tidak seimbang turut menjadi faktor risiko kepada penghasilan kelemumur.

 

Cara mencegah penghasilan kelemumur

Perkara utama yang boleh diamalkan untuk mencegah penghasilan kelemumur adalah dengan mencuci rambut dengan kerap bagi menghilangkan lebihan minyak daripada kulit kepala. Antara syampu yang disarankan ialah syampu antikelemumur yang mengandungi menthol kerana bahan aktif ini berkesan untuk mengurangkan kegatalan pada kulit kepala.

Bukan itu sahaja, individu yang mempunyai masalah kelemumur hendaklah mengehadkan penggunaan alat pengering rambut, mengurus stress dengan baik, dan mengamalkan pemakanan yang berkhasiat. Pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin B seperti ikan, bijirin penuh, kuning telur, pisang, sayur-sayuran berdaun dan kekacang adalah penting untuk mendapatkan kulit kepala yang sihat.

Rawatan untuk kelemumur

Masalah kelemumur boleh dirawat dengan menggunakan syampu antikelemumur. Sediaan untuk merawat kelemumur lazimnya berfungsi untuk mengurangkan pengelupasan, kegatalan dan melambatkan pertumbuhan sel kulit kepala serta membantu mengurangkan pertumbuhan kulat pada kulit kepala.

Antara sediaan  yang boleh digunakan untuk merawat kelemumur ialah selenium sulfide yang terdapat dalam bentuk syampu. Selenium sulfide bertindak dengan mengurangkan kadar pertumbuhan sel kulit kepala. Selenium sulfide juga didapati mempunyai kesan antikulat. Syampu selenium sulfide boleh digunakan 1-2 kali dalam seminggu pada peringkat awal rawatan dan kemudiannya hanya apabila perlu atau mengikut arahan doktor. Elakkan sediaan ini daripada memasuki mata, hidung, mulut atau bahagian kulit yang luka.

Satu lagi sediaan yang biasanya menjadi pilihan dalam rawatan kelemumur ialah syampu coal tar. Bahan aktifnya berfungsi untuk memperlahan kadar penghasilan sel kulit kepala. Individu yang menggunakancoal tar hendaklah memastikan syampu ini dibersihkan dengan sempurna selepas setiap kali penggunaan kerana bahan ini boleh mengakibatkan warna rambut bertukar, meninggalkan kesan warna dan menyebabkan keradangan pada kulit kepala. Kekerapan penggunaan coal tar juga haruslah menepati arahan daripada doktor.

Selain sediaan yang bertindak ke atas penghasilan sel kulit kepala, sediaan yang mengandungi ubat antikulat juga sering digunakan untuk merawat kelemumur. Syampu antikulat, contohnya seperti ketoconazole dapat membantu mengelakkan pertumbuhan kulat yang diketahui menjadi salah satu punca keradangan kulit kepala dan kelemumur. Apabila menggunakan syampu ketoconazole, pesakit hendaklah meratakan dan membiarkannya pada rambut untuk 3-5 minit, sebelum membilas hingga bersih. Syampu ketoconazole boleh digunakan sebanyak 2 kali dalam seminggu bagi tempoh 2-4 minggu, bergantung kepada arahan doktor. Penggunaan syampu ketoconazole hendaklah dijarakkan sekurang-kurangnya 3 hari.

Terdapat juga sediaan yang diformulasikan dengan kombinasi asid salisilik. Bahan aktif ini membantu untuk menanggalkan kelemumur daripada kulit kepala. Namun begitu, asid salisilik turut menyebabkan kulit kepala menjadi kering. Produk ini hendaklah digunakan mengikut arahan doktor atau ahli farmasi bagi mengurangkan kesan sampingannya.

 

Sediaan alternatif dalam pasaran

Selain sediaan yang biasanya diberikan oleh doktor, pesakit yang mengalami kelemumur boleh juga mencuba produk lain yang terdapat dalam pasaran. Syampu yang mengandungi minyak tea tree didapati dapat membantu mengurangkan kelemumur dan menghilangkan kegatalan pada kulit kepala. Beberapa bahan lain seperti minyak bergamot, thyme, bawang putih dan peppermint turut dikatakan dapat membantu menjadikan kulit kepala lebih sihat dengan penggunaan yang konsisten. Sekiranya menggunakan produk alternatif ini, individu yang mengalami kelemumur harus mematuhi arahan penggunaan seperti yang dinyatakan pada label produk.

 

Nasihat untuk pesakit dan orang awam

Masalah kelemumur biasa yang dialami oleh kebanyakan orang merupakan masalah yang dapat diatasi dengan menggunakan produk antikelemumur yang terdapat dalam pasaran. Walau bagaimanapun, individu yang mengalami kelemumur dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan lanjut jika masalah tersebut tidak berkurangan atau menjadi lebih teruk. Penilaian menyeluruh oleh doktor diperlukan supaya faktor penyebab kelemumur dapat dikenal pasti. Hal ini penting untuk memastikan rawatan yang diberikan kepada pesakit adalah bersesuaian dengan punca sebenar masalah kelemumur yang dialami.

Sebagai tambahan kepada pemeriksaan doktor, pesakit juga dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat ahli farmasi tentang cara penggunaan ubat antikelemumur yang betul. Penggunaan yang betul bukan sahaja dapat meningkatkan keberkesanan sediaan tersebut, malah dapat mengelakkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Di samping menggunakan sediaan antikelemumur, langkah pencegahan harus diamalkan secara berterusan supaya masalah kelemumur dapat dielakkan dengan lebih berkesan. Langkah mengatasi kelemumur secara efektif adalah penting kerana perkara ini bukan hanya dapat membantu meningkatkan penampilan estetik tetapi turut mempengaruhi tahap keyakinan diri seseorang individu.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Center, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

Artikel ini ditulis oleh Nurul Nadiah Binti Saripsah seaorang pegawai farmasi di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Kelantan untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.

Rujukan

Shuster, S. (1984). The aetiology of dandruff and the mode of action of therapeutic agents. British Journal of Dermatology111(2), 235-242.

Satchell, A. C., Saurajen, A., Bell, C., & Barnetson, R. S. (2002). Treatment of dandruff with 5% tea tree oil shampoo. Journal of the American Academy of Dermatology47(6), 852-855.

https://pharmacy.moh.gov.my/en/apps/fukkm?generic=&category=&indications=dandruff

https://pharmacy.moh.gov.my/sites/default/files/document-upload/poisons-list-pua-306.2023-18.10.2023_2.pdf

https://www.healthline.com/health/tea-tree-oil-for-dandruff

https://www.womenshealthmag.com/beauty/a41902382/rosemary-oil-for-hair/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box