Sumber semulajadi yang berpotensi mengurangkan kesakitan senggugut – Dr Noraziah Nordin & Lina Amirah Mohd Shaid

Pengenalan

Senggugut adalah keluhan ginekologi yang biasa dan kerap berlaku di kalangan wanita muda [1]. Ia sering digambarkan sebagai sakit siklik yang dikaitkan dengan pendarahan akibat haid. Ia melibatkan rasa sakit di kawasan bahagian bawah perut atau pelvis dan mungkin juga memancar sehingga ke punggung dan peha, sebelum atau semasa haid [2]. Gejala lain yang mungkin hadir bersama senggugut adalah seperti pening, muntah, keletihan dan masalah tidur [3]. Senggugut atau dismenorea boleh dikategorikan sebagai dismenorea primer dan sekunder. Dismenorea primer adalah haid yang menyakitkan dan tiada patologi pelvis dan biasanya berlaku kepada remaja dan orang dewasa muda [4]. Manakala, dismenorea sekunder dicetuskan oleh penyakit berkaitan pelvis atau penyakit seperti endometriosis, adenomiosis, fibroid rahim dan jangkitan, yang mana lebih kerap berlaku kepada wanita berusia lebih daripada 20 tahun [5]. Sesetengah pendapat mengaitkan punca sesunggut di sebabkan oleh penurunan kualiti hidup, ketiadaan pekerjaan, penurunan penglibatan dalam beraktiviti dan acara sosial, kecelaruan rasa sakit dan kesukaran tidur [4].

 

Bagaimanakah senggugut terjadi?

Proses terjadinya senggugut melibatkan beberapa proses. Penerangan di bawah hanya tertumpu kepada senggugut primer yang tidak di sebabkan oleh sebarang penyakit tertentu. Terdapat bukti yang kukuh mendapati bahawa wanita dengan senggugut menghasilkan lebih banyak prostaglandin berbanding wanita normal yang tidak mengalami senggugut. Kepekatan prostaglandin yang tinggi ini mungkin di sebabkan oleh peningkatan penghasilannya, pelepasan prostaglandin yang tidak normal, atau penurunan dalam pemecahannya. Menurut kajian, wanita yang mengalami senggugut mempunyai kemampuan yang lebih tinggi untuk mensintesis prostaglandin daripada asid arakidonat. Terdapat tiga mekanisme di mana prostaglandin mencetuskan kesakitan haid. Faktor pertama adalah peningkatan kontraksi myometrial. Kedua, penurunan aliran darah dalam rahim akibat pengecutan berlebihan yang menyebabkan iskemia. Faktor ketiga adalah melalui peningkatan kepekaan sakit terhadap rangsangan mekanikal dan kimia seperti bradikinin dan histamin [6].

Secara asasnya, corak kontraktiliti myometrium berbeza sepanjang kitaran haid mengikut status hormon dalam rahim. Ia juga berbeza bagi setiap fasa kitaran haid. Semasa fasa proliferasi, terdapat kontraksi kecil yang kerap berlaku sehingga kekerapan meningkat pada kadar lebih tinggi sekitar waktu ovulasi. Pada fasa rembesan, terdapat kontraksi yang lebih sedikit berbanding fasa sebelumnya dengan amplitud yang lebih tinggi seakan-akan keadaan sebelum bersalin, di mana ia terjadi sebelum haid. Namun, kontraksi rahim meningkat semasa haid seolah-olah di rasakan seperti ketika bersalin. Ia dicirikan melalui kontraksi amplitud yang tinggi dan kekerapan sekitar 3-10 kali bagi setiap sepuluh minit. Sebilangan besar penyelidik bersetuju bahawa wanita dengan senggugut primer mempunyai corak hiperkontraktiliti. Keadaan hiperkontraktiliti kepada rahim mengakibatkan penurunan aliran darah myometrial yang seterusnya mengakibatkan kesakitan [6].

Walaupun dismenorea primer atau senggugut primer dikaitkan dengan kitar ovulasi, namun peranan hormon estrogen dan progestin dalam mekanisme senggugut masih belum dapat dijelaskan secara terperinci. Terdapat kajian yang dijalankan sebelum ini ke atas kepekatan hormon estrogen dan progesteron di dalam plasma menunjukkan bahawa tiada perbezaan pada kepekatan kedua-dua hormon ini di antara wanita normal berbanding wanita yang mengalami senggugut [6].

 

Adakah sumber semulajadi memainkan peranan dalam mencegah atau merawat senggugut?

Kajian berhubung peranan sumber semulajadi bagi mengatasi dan merawat masalah senggugut telah banyak dijalankan. Pencegahan dan rawatan melalui pemakanan daripada sumber semulajadi dapat mengurangkan pengambilan ubat-ubatan sintetik. Di sini, saya senaraikan beberapa kajian yang melibatkan sumber semulajadi sama ada sebagai rawatan atau pencegahan senggugut:

  1. Halia

Kajian berkaitan halia pernah dilakukan oleh penyelidik Iran ke atas 168 pelajar perempuan berusia 18-26 tahun dengan senggugut primer. Para peserta dibahagikan secara rawak kepada dua kumpulan sama ada menerima Novafen atau halia. Hasil kajian mendapati bahawa intensiti kesakitan akibat senggugut menurun pada kedua-dua kumpulan ini setelah diberikan Novafen atau halia pada permulaan kesakitan. Kumpulan yang menerima halia menunjukkan penurunan intensiti kesakitan yang hampir setara dengan pengambilan Novafen. Oleh itu, pengambilan halia boleh disyorkan untuk mengurangkan senggugut primer dibandingkan dengan pengambilan Novafen [7].

Kajian lain oleh kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Vahdatpoor et al. ke atas 27 orang pelajar perempuan yang berlebihan berat badan dengan senggugut primer pada tahap kesakitan sederhana hingga teruk juga telah dijalankan. Hasil kajian mendapati bahawa pengambilan suplemen halia sebanyak 2 g setiap hari dapat mengurangkan gejala senggugut [8]. Dua tinjauan sistematik dan meta-analisis yang dilakukan oleh Daily et al. pada tahun 2015 dan 2016 juga melaporkan bahawa keberkesanan halia dalam mengurangkan gejala senggugut primer. Penulis menyimpulkan bahawa pengambilan 750-2000 mg sehari dalam tempoh 3-4 hari pertama haid sangat berkesan dalam mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan yang berkaitan dengan senggugut primer berbanding pengambilan ubat asid mefenamic [9].

  1. Madu

Madu juga telah dikaji kesan keberkesanannya bagi senggugut. Kumpulan penyelidik diketuai oleh Amiri Farahani et al. menjalankan kajian kepada pesakit senggugut primer dengan intensiti kesakitan haid jenis 2 dan 3 berdasarkan sistem penilaian VMS. Seramai 56 orang pelajar perempuan dibahagikan secara rawak kepada dua kumpulan di mana setiap kumpulan masing-masing menerima madu dan asid mefenamik dalam ‘tempoh rawatan pertama’. Kemudian, bagi tempoh rawatan kedua, pemberian madu dan asid mefenamik diterbalikkan antara dua kumpulan tersebut. Hasil kajian bagi dua tempoh intervensi mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara madu dan asid mefenamik bagi penurunan tahap kesakitan yang diukur melalui VAS pada bulan pertama dan kedua intervensi.  Tambahan pula, kesan pengambilan madu yang setara dengan kesan asid mefenamik dalam melegakan senggugut adalah lebih baik kerana mempunyai kesan sampingan yang lebih rendah. [10] Oleh itu, madu dapat dijadikan sebagai pengganti ubat penahan sakit (asid mefenamik) pada wanita dengan senggugut primer.

  1. Minyak Ikan

Kajian yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik Hosseinlou et al. mendapati bahawa minyak ikan dan vitamin B1 dapat mengurangkan intensiti dan tempoh kesakitan senggugut primer selepas 2 bulan penggunaan, masing-masing 500 mg/hari dan 100 mg/hari. Walau bagaimanapun, vitamin B1 mempunyai kesan yang lebih besar. Penggunaan kedua-dua bahan ini, menunjukkan intensiti dan tempoh kesakitan menjadi paling rendah [11]. Kajian lain oleh Mehrpooya et. al kepada dua kumpulan wanita yang dijalankan selama 3 bulan menyimpulkan bahawa pengambilan minyak ikan dapat mencegah keterukan senggugut primer yang lebih baik berbanding pengambilan kalsium. Kaedah pengambilan bahan-bahan tersebut adalah setiap hari pada kitaran pertama, manakala kitaran kedua serta kitaran ketiga selama 8 hari sebelum haid dan 2 hari selepas haid berlaku [12].

  1. Kayu manis dan jintan manis

Dua kajian secara rawak telah dilakukan oleh Jaafarpour et al. berkenaan dengan pengambilan kayu manis oleh wanita yang mengalami masalah senggugut primer. Dalam 72 jam pertama kitaran haid, 38 orang wanita diberikan 420 mg kapsul kayu manis untuk tempoh 24 jam. Hasil kajian mendapati bahawa kayu manis mampu mengurangkan kesakitan dalam tempoh sesenggut berbanding wanita yang diberikan plasebo. Walau bagaimanapun, kesan keberkesanan pengambilan kayu manis adalah kurang jika dibandingkan dengan ibuprofen [13-14].

Seterusnya, kajian menggunakan jintan manis oleh Bokaie et al. pula menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan terhadap keberkesanan jintan manis jika dibandingkan dengan asid mefenamik dalam menghilangkan rasa sakit. Oleh itu, jintan manis juga boleh dijadikan sebagai bahan alternatif dalam merawat senggugut. Walau bagaimanapun, jintan manis mempunyai bau dan rasa kurang enak dan boleh menyebabkan rasa mual. Oleh itu, penyelidik mencadangkan agar jintan manis dapat diformulasikan sebagai tablet atau kapsul [15].

  1. Aloe vera

Sardashti et al. 2020 membandingkan kesan pengambilan pil gel lidah buaya (Aloe vera) dan Ibuprofen pada senggugut primer. Seramai 60 orang peserta dibahagikan secara rawak kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama menerima 10 mg Aloe vera gel QID sehingga tahap kesakitan mencapai satu atau kurang. Manakala, kumpulan lain menerima Ibuprofen dan di ambil tiga biji sehari (TDS). Keterukan rasa sakit peserta diukur melalui Cox Menstrual Symptom Scale (CMSC) dan kira-kira 3 jam selepas intervensi pada hari pertama haid, kesakitan yang dirasai oleh kedua-dua kumpulan telah menurun [16].

Apakah yang dapat difahami melalui hasil kajian tersebut?

Berdasarkan kajian yang dilakukan selama sedekad yang lalu mengenai makanan tambahan daripada sumber semulajadi seperti halia, minyak ikan, kayu manis, lidah buaya, madu, dan jintan manis mendapati bahan-bahan daripada sumber semulajadi berpotensi dalam mengurangkan ketidakselesaan senggugut primer. Walaupun terdapat pelbagai ubat-ubatan untuk mengurangkan kesakitan akibat senggugut di pasaran, pengambilan bahan daripada sumber semulajadi sebagai rawatan alternatif mampu mengurangkan kesan sampingan yang ditimbulkan oleh ubat-ubatan kimia dalam jangka masa panjang pengambilannya. Oleh itu, bagi individu yang kerap mengalami senggugut primer setiap bulan kedatangan haid boleh mempertimbangkan pemakanan daripada sumber semulajadi bagi mengurangkan kesakitan yang di alami.

Dr Noraziah Nordin, Pensyarah kanan dan Penyelidik, USIM.

Lina Amirah Mohd Shaid, Pelajar Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM

 

Rujukan

[1] Harel Z. leukotrienes – Dysmenorrhea in adolescents and young adulst. an update on pharmacological treatments and management strategies – 2012 – Review. 2012; 2157–70.

[2] Omidvar S, Nasiri-Amiri F, Bakhtiari A, Begum K. Clinical trial for the management dysmenorrhea using selected spices. Complement Ther Clin Pract [Internet]. 2019; 36:34–8.

[3] Hu Z, Tang L, Chen L, Kaminga AC, Xu H. Prevalence and Risk Factors Associated with Primary Dysmenorrhea among Chinese Female University Students: A Cross-sectional Study. J Pediatr Adolesc Gynecol. 2020; 33(1):15–22.

[4] Armour M, Dahlen HG, Smith CA. More Than Needles: The Importance of Explanations and Self-Care Advice in Treating Primary Dysmenorrhea with Acupuncture. Evidence-based Complement Altern Med. 2016; 2016.

[5] Amiri Farahani L, Hasanpoor-Azghdy SB, Kasraei H, Heidari T. Comparison of the effect of honey and mefenamic acid on the severity of pain in women with primary dysmenorrhea. Arch Gynecol Obstet. 2017; 296(2):277–83.

[6] Mary Anna Friederich MD (1983) Dysmenorrhea, Women & Health, 8:2-3, 91-106, DOI: 10.1300/J013v08n02_05

[7] Adib Rad H, Basirat Z, Bakouei F, Moghadamnia AA, Khafri S, Farhadi Kotenaei Z, et al. Effect of Ginger and Novafen on menstrual pain: A cross-over trial. Taiwan J Obstet Gynecol. 2018; 57(6):806–9.

[8] Vahdatpoor H, Shakerian S, Alizadeh AA, FatemiTabatabaei SR. The Ginger Supplementation Effects on Aerobic Power Training Capacity and Dysmenorrhea in Overweight Girls. Iran J diabetes Obes. 2020; 11(2).

[9] Daily JW, Zhang X, Kim DS, Park S. Efficacy of Ginger for Alleviating the Symptoms of Primary Dysmenorrhea: A Systematic Review and Meta-analysis of Randomized Clinical Trials. Pain Med (United States). 2015; 16(12):2243–55.

[10] Amiri Farahani L, Hasanpoor-Azghdy SB, Kasraei H, Heidari T. Comparison of the effect of honey and mefenamic acid on the severity of pain in women with primary dysmenorrhea. Arch Gynecol Obstet. 2017; 296(2):277–83.

[11] Hosseinlou A, Alinejad V, Alinejad M, Aghakhani N. The effects of fish oil capsules and vitamin B1 tablets on duration and severity of dysmenorrhea in students of high school in Urmia-Iran. Glob J Health Sci. 2014; 6(7):124–9.

[12] Mehrpooya M, Eshraghi A, Rabiee S, Larki-Harchegani A, Ataei S. Comparison the Effect of Fish-Oil and Calcium Supplementation on Treatment of Primary Dysmenorrhea. Rev Recent Clin Trials. 2017; 12(3):1–6.

[13] Jaafarpour M, Hatefi M, Najafi F, Khajavikhan J, Khani A. The Effect of Cinnamon on Menstrual Bleeding and Systemic Symptoms With Primary Dysmenorrhea. Iran Red Crescent Med J. 2015; 17(4).

[14] Jaafarpour M, Hatefi M, Khani A, Khajavikhan J. Comparative effect of cinnamon and ibuprofen for treatment of primary dysmenorrhea: A randomized double-blind clinical trial. J Clin Diagnostic Res. 2015; 9(4):QC04–7.

[15] Bokaie M, Farajkhoda T, Enjezab B, Khoshbin A, Mojgan KZ. Oral fennel (Foeniculum vulgare) drop effect on primary dysmenorrhea: effectiveness of herbal drug. Iranian journal of nursing and midwifery research. 2013; 18(2): 128.

[16] Sardashti S, Sarboozi Hosein Abadi T, Sarboozi Hosein Abadi S, Raznahan R. Investigation the effect of oral Aloe Vera gel pills supplementation on the intensity of primary menstrual pain (Dysmenorrhea). Balneo Res J. 2020; 11(3):120–4.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box