Vaksin HPV: Perisai Kanser Serviks – Dr Mardiana Kipli

Human Papilloma Virus ataupun nama ringkasnya HPV adalah penyebab utama kepada kanser pangkal rahim atau serviks. Virus ini mempunyai lebih daripada 100 jenis yang juga boleh menyebabkan pelbagai jenis kanser lain seperti kanser dubur, kanser faraj dan kanser mulut. Virus HPV 16 dan 18 adalah virus berisiko tinggi yang menyebabkan perubahan kanser. Kanser serviks cuma boleh terjadi kepada wanita yang pernah aktif melakukan hubungan seksual, terutamanya jika hubungan kelamin itu melibatkan lebih daripada satu pasangan.

 

Vaksin HPV sudahpun dicipta sejak tahun 2006 untuk menurunkan statistik kanser serviks yang masih menjadi penyebab utama untuk kanser wanita, selepas kanser payu dara. Vaksin ini sudahpun diperkenalkan secara meluas di negara barat sejak sepuluh tahun lepas. Ianya sudah terbukti boleh mencegah kanser serviks untuk wanita dalam lingkungan umur 12 ke 40 tahun setelah negara ini menwajibkan vaksin HPV sebagai imunisasi rutin mereka pada tahun 2013. Wanita-wanita yang diberikan vaksin HPV telahpun dipantau secara teliti selama sembilan tahun sepanjang program imunisasi ini untuk memastikan tiada kesan sampingan yang serius terjadi terhadap mereka.

 

Terdapat tiga jenis vaksin HPV terdapat di dalam pasaran pada masa ini. Vaksin yang sudahpun diberikan secara meluas adalah bivalendan quadrivalen. Vaksin HPV bivalenmemberi imuniti terhadap virus HPV jenis 16 dan 18, yang menjadi punca utama kepada kanser serviks. Manakala vaksin quadrivalenmenyediakan imuniti kepada virus HPV 16 dan 18, serta jenis 6 dan 11 yang menjadi punya kepada penyakit ketuat (genital wart). Kedua-dua jenis vaksin ini boleh memberikan imuniti sehingga lebih daripada 90 peratus. Sekiranya diberikan kepada gadis yang belum pernah mengalami hubungan kelamin seumur hidupnya, peratusan imuniti dijangka lebih tinggi daripada yang lain. Baru-baru ini, vaksin Nonavalentelah diperkenalkan di pasaran yang boleh memberi imuniti terhadap 9 jenis virus HPV (6, 11, 16, 18, 31, 33, 45, 52, 58) dengan harapan boleh menurunkan lebih banyak jangkitan virus HPV yang menyebabkan kanser serviks.

 

Vaksin ini telah diterapkan di dalam jadual vaksinasi Malaysia untuk semua pelajar perempuan yang berumur 14 tahun di sekolah menengah. Golongan ini terpilih kerana kebanyakan gadis Asia pada umur ini sudah mula mengalami perubahan fizikal seperti pertumbuhan buah dada dan bulu di kawasan kelamin. Mereka juga sudah mula mengalami perubahan emosi untuk menjadi wanita dewasa seperti malu, ingin berkawan dengan lelaki dan berani meneroka sesuatu yang baru. Dengan itu, sangat wajarlah vaksin HPV wajib diberikan kepada gadis ini dengan harapan boleh memberikan perlindungan masa hadapan daripada kanser serviks sebelum mereka mengenali hubungan seksual. Sesetengah negara juga memperkenalkan suntikan vaksin HPV untuk kanak-kanak lelaki kerana terdapat teori menyatakan bahawa lelaki merupakan punca utama penyebaran virus HPV kepada wanita, melalui hubungan seksual secara rambang.

 

Setakat ini, vaksin HPV dilaporkan selamat untuk di ambil oleh semua golongan umur. Vaksin HPV ini perlu diambil sebanyak tiga dos (0, 2 bulan, 6 bulan) dan dijangka boleh memberi imuniti melebihi sepuluh tahun. Wanita yang sudah terdedah dengan hubungan kelamin atau pernah dijangkiti virus HPV juga boleh mengambil suntikan vaksin ini walaupun imuniti yang dihasilkan tidak setinggi golongan yang masih belum terdedah dengan hubungan seks. Kesan sampingan ringan seperti sakit di tempat suntikan, demam, sakit badan, pening dan kegatalan. Sekumpulan kecil dilaporkan mengalami sakit perut dan cirit-birit yang akan hilang dalam jangka masa pendek. Spekulasi mengenai kematian dan penyakit saraf disebabkan oleh vaksin HPV adalah tidak benar sama sekali. Hasil penyiasatan susulan telah mendapati bahawa insiden tersebut tidak bersangkut-paut dengan kesan sampingan vaksin HPV.

 

Disebabkan virus HPV disebarkan melalui hubungan kelamin, terdapat kaedah lain untuk menurunkan risiko jangkitan virus ini kepada wanita. Penggunaan kondom juga boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan virus HPV, malah ianya juga boleh mengelakkan jangkitan penyakit kelamin yang lain seperti sifilis dan AIDS. Adalah penting juga untuk mengelakkan kegiatan hubungan seks rambang atau bertukar-tukar pasangan supaya wanita tidak mendapat jangkitan virus HPV daripada lelaki yang sudahpun dijangkiti dengan lebih awal. Wanita yang telah dijangkiti atau berisiko tinggi disarankan untuk mendapatkan pemeriksaan pap smear setiap tahun supaya kanser serviks boleh dikesan dengan lebih awal.

 

Kanser serviks merupakan beban kepada semua negara kerana ianya boleh menyebabkan kematian sekiranya dikesan pada peringkat akhir. Promosi vaksin HPV secara besar-besaran di setiap negara diharapkan boleh menurunkan insiden kanser serviks pada masa hadapan. Dengan itu, amatlah wajar untuk gadis-gadis yang masih suci di bangku sekolah dilindungi dengan suntikan vaksin HPV supaya mereka diberi imuniti awal terhadap jangkitan virus HPV yang boleh menyebabkan kanser serviks.

 

Dr Mardiana Kipli M.D (UNIMAS) merupakan seorang pakar Obsterik dan Ginekologi yang bertugas di Kuching.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Rujukan:

  1. European Centre for Disease Prevention and Control. Introduction of HPV vaccines in European Union countries – an Update. 2012
  2. CDC centre for disease prevention and control. USA 2014
  3. Gamble HL. Klosky et al. Factors influencing familial decision-making regarding human papillomavirus vaccination. J Pediatr Psychol 2010;35(7):704-15
  4. Stillo M et al. Safety of human papillomavirus vaccines: a review. Expert opin. Drug Saf (2015)14(5)
  5. Markowitz LE et al. Human Papillomavirus vaccination. MMWR Recomm Rep 2014;63(RR-05):1-30
  6. Weber SK et al. Childhood vaccination associated adverse events by sex: A Literature review. Travel Med Infect Dis 2014;12(5):459-80

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box