Polip Pundi Hempedu – Dr Chieng Jin Yu

Polip pundi hempedu merupakan ketumbuhan yang menjulur daripada lapis dalaman pada pundi hempedu. Polip-polip ini dikesan dalam lebih kurang 4% – 7% pesakit yang menjalani imbasan ultrasound pada bahagian abdomen. Kebanyakan ketumbuhan yang di label sebagai polip pundi hempedukemudiannya dikenalpasti sebagai batu-batu kecil ketika pundi hempedu dikeluarkan. Dalam 95% polip pundi hempedu tidak berbahaya.

Pesakit yang mempunyai polip pundi hempedu biasanya tidak mengalami sebarang simptom. Jarang berlaku apabila polip tersebut menyekat kantung Hartmann atau duktus sistik dan menyebabkan kolesistitis (keradangan pundi hempedu). Sekiranya duktus hempedu tersekat, jaundis (obstructive jaundice) atau pankreatitis boleh berlaku. Polip pundi hempedu juga dikaitkan dengan kesakitan kronik dispeptik abdominal.

Kedua-dua doktor dan pesakit mempunyai sebab untuk risau jika polip tersebut didapati berbahaya. Pertama, kita perlu fahamkan tentang barah hempedu. Barah hempedu sangat jarang berlaku dan hampir semuanya adalah adenocarcinoma. Barah pundi hempedu biasanya berlaku tanpa simptom sehinggalah ketumbuhan telah menjadi besar atau telah merebak. Faktor risiko barah pundi hempedu ialah wanita, obesiti, merokok, mempunyai batu karang, pundi hempedu porselin, dan sista koledokal. Prognosis keseluruhan untuk barah pundi hempedu sangat rendah, iaitu kadar ketahanan hidup selama 5 tahun dalam kadar 10%. Ambang pengurusan polip pundi hempedu sangat sukar.

Syukurlah kebanyakan polip pundi hempedu tidak bertukar menjadi berbahaya. Corwin menekankan kadar kemungkinan rendah barah hempedu pada polip kecil dalam kajian klinikal jangka lama dan analisa ultrasound yang melibatkan 346 pesakit.

Saiz polip pundi hempedu boleh menentukan sama ada ketumbuhan tersebut berbahaya atau tidak. Polip pundi hempedu berdiameter kurang dari 10mm lebih berkemungkinan tidak berbahaya. Polip pundi hempedu yang lebih besar dari 10mm diameter berkemungkinan tinggi berbahaya atau bertukar bahaya dengan masa. Kemungkinan ketumbuhan tersebut menjadi barah dikatakan setinggi 100% pada polip lebih besar dari 20mm diameter. Imbasan CT dan ultrasound esofagus dapat memberi maklumat lebih terperinci bagi membantu siasatan dan pelan rawatan.

Saranan terkini mengenai pengurusan polip pundi hempedu adalah kolesistektomi (membedah dan membuang pundi hempedu) untuk ketumbuhan berdiameter 10mm atau lebih dan susulan ultrasound untuk ketumbuhan lebih kecil dari 10mm diameter.

Pesakit yang mengalami batu karang atau kolangitis mensklerosis awal perlu mempertimbangkan pembedahan tanpa mengira saiz polip pundi hempedu kerana terdapat kemungkinan tinggi berlakunya transformasi polip menjadi bahaya yang dikaitkan kepada kondisi tersebut. Namun begitu, masih terdapat kontroversi terhadap tempoh selangan rawatan susulan dan tempoh keseluruhannya.

Rujukan

  1. Corwin, MT, Siewert, B, Sheiman, RG, Kane, RA. Incidentally detected gallbladder polyps: is follow-up necessary? Long-term clinical and US analysis of 346 patients. Radiology 2011.258: 277.
  2. Zakko WF, Zakko SF. Gallbladder polyps and cholesterolosis. UpToDate Web site. http://www.uptodate.com/. Published September 30, 2009.

Rencana ini diterjemahkan dari versi asal di https://www.mmgazette.com/i-have-gallbladder-polyps-what-should-i-do-dr-chieng-jin-yu/oleh Nur Nadhirah.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box