Busung: Buatan Orang? – Abang Muhammad Aiman bin Abang Ismawi & Dr Anis Nabillah Mohd Azli

Fenomena busung tidak asing dalam masyarakat Malaysia dan sering dikaitkan dengan perbuatan sihir atau terkena buatan orang. Persoalannya, benarkah busung itu merupakan perbuatan sihir ataupun ada penerangan dari sudut kesihatan mengenai busung?

 

APAKAH ITU BUSUNG?

Busung atau di dalam bahasa perubatan dikenali sebagai ‘ascites’ didefinisikan sebagai pengumpulan cecair di dalam ruang kaviti abdomen (abdominal cavity or peritoneal cavity).Bahagian abdomen adalalah bahagian di antara dada (toraks) dan pinggul (pelvis). Bahagian tengah badan ini yang mengandungi organ-organ penting seperti hati, limpa, organ pencernaan seperti perut, usus kecil dan usus besar, organ perkumuhan seperti buah pinggang dan pundi kencing.

 

Sumber gambar: Wikipedia

Sumber gambar: Cancer Research UK

 

Selain daripada perut yang semakin membesar, seseorang individu juga boleh mengalami simptom atau gejala lain pada masa yang sama seperti susah nafas, loya, kurang selera makan dan cepat berasa kenyang, sentiasa penat, susah menahan kencing serta sembelit.

 

Terdapat beberapa punca utama mengapa busung boleh terjadi, antaranya :
i. Masalah hati (liver cirrhosis), jangkitan Hepatitis B yang kronik
ii. Kanser
iii. Jangkitan sekitar abdomen
iv. Kegagalan jantung atau buah pinggang
v. Keradangan pankreas
vi. Kekurangan albumin dan portal vein thrombosis

Walau bagaimanapun, punca busung ini hanya dapat diketahui dengan menjalankan pemeriksaan fizikal dan melalui beberapa prosedur seperti ‘ultrasound’ dan ‘abdominal tapping’ bagi mengesahkan punca busung tersebut.

Busung boleh dikategorikan kepada dua iaitu ‘transudative’ dan ‘exudative’ berdasarkan jenis cecair yang terdapat di dalam ruang kaviti abdomen tersebut.

 

Busung atau ascites

 

Sekiranya anda menyedari bahagian abdomen anda membesar secara mendadak, segeralah berjumpa dengan doktor bagi pemeriksaan lanjut. Pengesanan awal punca busung boleh membantu pihak doktor bagi mengesahkan rawatan seterusnya.

Rawatan bagi busung atau ‘ascites’ adalah bertujuan untuk mengurangkan rasa tidak keselesaan namun ia bukannya langkah penyelesaian terbaik. Pesakit hendaklah mendapatkan rawatan yang sewajarnya bagi merawat punca busung terjadi, contohnya rawatan untuk masalah hati atau kanser. Antara kaedah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan ketidakselesaan yang disebabkan oleh busung adalah :

  1. Mengurangkan pengambilan air serta garam (untuk mengurangkan pengumpulan cecair di bahagian abdomen)
  2. Mengambil ubat yang membantu untuk membuang air di dalam badan
  3. Melakukan prosedur yang dipanggil ‘peritoneum tapping’ atau ‘paracentesis’ iaitu mengeluarkan cecair dibahagian abdomen menggunakan jarum.

 

Jarum dimasukkan ke dalam bahagian kaviti peritoneum dan tiub disambungkan untuk mengeluarkan cecair yang terkumpul. Cecair kemudiannya akan di hantar untuk proses analisis bagi mengenal pasti jenis cecair tersebut

 

Namun, lagi sekali perlu diingatkan bahawa kaedah rawatan busung ini hanyalah langkah sementara untuk para pesakit. Punca penyakit yang menyebabkan busung terjadi perlulah dikenalpasti dan  dirawat dengan segera bagi mengelakkan kesan sampingan yang lebih buruk seperti kerosakan kekal pada hati serta buah pinggang.

 

Penulis:

Abang Muhammad Aiman bin Abang Ismawi
Pelajar Perubatan Tahun Akhir
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Sesi 2019/2020

Dr Anis Nabillah Mohd Azli
Pegawai Perubatan
Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)

 

Rujukan:

  1. cancer.net: (https://www.cancer.net/coping-with-cancer/physical-emotional-and-social-effects-cancer/managing-physical-side-effects/fluid-abdomen-or-ascites)
  2. https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/a/a3/Hepaticfailure.jpg/450px-Hepaticfailure.jpg
  3. https://www.medicinenet.com/ascites/article.htm
  4. Ascites (https://emedicine.medscape.com/article/170907-overview)

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box