”Adakah saya mempunyai kulit yang sihat dan cantik?”
“Apakah bahan yang boleh membantu dalam perubatan estika?”
Persoalan ini sering timbul dalam kalangan anak muda, terutamanya mereka yang kerap mempraktikkan video live masa kini.
Di era zaman moden ini, bukan sahaja bahan alami menjadi bahan kecantikan tapi bahan daripada teknologi seperti peptide, DNA salmon, dan prosedur menggunakan teknologi moden untuk tujuan estika.

Secara umumnya, kulit bertindak sebagai penghalang pertama yang melindungi tubuh daripada kecederaan fizikal, mikroorganisma dan kerosakan persekitaran seperti sinaran UV. Penyembuhan luka kulit merupakan suatu proses biologi yang kompleks dan melibatkan interaksi antara sistem imun, sel fibroblas, pembentukan saluran darah serta penyusunan semula kolagen. Oleh itu, pemulihan luka yang baik dan cepat amat penting bagi mengekalkan integriti struktur kulit serta penampilan estetika. Dalam bidang perubatan estetik, proses penyembuhan luka menjadi asas kepada banyak rawatan moden seperti laser resurfacing, microneedling, chemical peel dan peptides yang sering digunakan untuk menyokong proses regenerasi tisu dan meningkatkan hasil perstrukturan kulit.
Penyembuhan luka berlaku dalam empat fasa utama; hemostasis, inflamasi, proliferasi dan remodeling. Pada fasa hemostasis, gumpalan platelet membentuk bekuan darah bagi menghentikan pendarahan dan melepaskan mediator awal. Ini diikuti oleh fasa inflamasi; neutrofil dan makrofaj bertindak untuk membersihkan tisu yang rosak dan akan menghalang jangkitan. Fasa proliferasi pula melibatkan fibroblas yang menghasilkan kolagen, pembentukan saluran darah baharu serta pembahagian sel epidermis untuk menutup permukaan luka. Akhirnya, fasa remodeling iaitu pembentukan semula sel dan kolagen jenis I bagi mengukuhkan matriks sel. Kecekapan setiap fasa ini menentukan kualiti tekstur kulit dan pembentukan parut.
Vitamin memainkan peranan penting dalam proses penyembuhan luka melalui mekanisma berbeza. Vitamin A atau retinoid merangsang pembaharuan sel epidermis dan mengurangkan aktiviti enzim perosak kolagen matrix metalloproteinases. Ia sering digunakan dalam rawatan penuaan kulit dan parut jerawat. Vitamin C pula merupakan kofaktor penting bagi penstabilan struktur kolagen melalui penghasilan hydroxyproline dan hydroxylysine. Selain bertindak sebagai antioksidan yang mengurangkan tekanan oksidatif, kekurangannya diketahui melambatkan penyembuhan luka. Vitamin D berfungsi dalam modulasi imun melalui keratinosit dan makrofaj, manakala vitamin E bertindak sebagai antikoksidan lipid yang membantu mengurangkan keradangan. Walau bagaimanapun, penggunaan vitamin E secara topikal boleh menyebabkan iritasi pada sesetengah individu.
Growth factors merupakan protein isyarat yang mengawal proliferasi sel, migrasi dan angiogenesis. Epidermal Growth Factor (EGF) mempercepat pembentukan lapisan epidermis baru, manakala Fibroblast Growth Factor (FGF) merangsang fibroblast menghasilkan kolagen dan elastin. Platelet-Derived Growth Factor (PDGF)memainkan peranan awal dalam mengaktifkan fibroblast dan sel endotelium, justeru menjadi asas teori rawatan berasaskan platelet seperti rawatan Plasma Rich Platelet (PRP) yang menjadi salah satu rawatan trending masa kini. Transforming Growth Factor-β (TGF-β), walaupun penting dalam penghasilan kolagen, boleh menyebabkan parut hipertrofik dan keloid jika berlebihan yang merupakan satu keadaan lazim terjadi dalam populasi Asia, termasuk di Malaysia.
Peptides pula merupakan molekul protein kecil yang bertindak sebagai isyarat komunikasi. Signal peptides merangsang penghasilan kolagen, carrier peptides seperti copper peptide membantu proses angiogenesis dan pembentukan elastin, manakala neurotransmitter-inhibiting peptides menghalang pelepasan bahan kimia yang menyebabkan kedutan dinamik. Kelebihan peptides adalah kestabilan formulasinya serta toleransi yang baik terhadap kulit sensitif, menjadikannya pilihan popular dalam produk kosmetik moden.
Apabila vitamin, growth factors dan peptides digunakan secara sinergi, proses penyembuhan kulit dapat dioptimumkan. Kombinasi ini membantu mengurangkan keradangan awal, menstabilkan pembentukan kolagen, serta mempercepat pembentukan semula tisu. Ia juga mengurangkan risiko hiperpigmentasi pasca-inflamasi, khususnya bagi individu berkulit jenis Fitzpatrick III hingga V yang merupakan majoriti di Malaysia. Populasi ini lebih mudah mengalami parut keloid dan parut hipertrofik, justeru penjagaan kulit yang berfokus kepada pengawalan inflamasi amat diperlukan.
Namun begitu, terdapat beberapa limitasi. Growth factors mudah terurai dalam suhu tinggi, sesuai dengan iklim tropika Malaysia. Produk tanpa kawalan kualiti boleh menyebabkan kontaminasi mikrobiologi. Retinoid dan vitamin C boleh menyebabkan iritasi jika digunakan terlalu awal pada kulit yang sedang meradang. Selain itu, peptides merupakan alternatif ringan dan bukan pengganti sempurna kepada toksin botulinum. Trend semasa menunjukkan peningkatan minat terhadap terapi exosome, bioengineered peptides dan rawatan bersifiat personalisasi berdasarkan profil genetik kulit. Walaupun berpotensi besar, penyelidikan jangka panjang masih diperlukan untuk menilai keberkesanan serta keselamatan prosedur ini.
| Komponen | Fungsi Utama | Kesan pada kulit |
| Vitamin A (Retinoids) | Merangsang turnover sel, kawal MMP, meningkat sistesis kolagen. | Kulit lebih licin, kurang parut dan kedutan. |
| Vitamin C (Asid Askorbik) | Kofaktor penting dalam pembentukan kolagen dan bertindak sebagai antioksidan. | Kulit lebih cerah, kurangkan PIH, tekstur sekata |
| Vitamin D (Calcitriol) | Mengawal proliferasi dan diferensiasi keratinosit, modulasi imun. | Kulit lebih kuat, anti-inflamasi. Sokongan penyembuhan tisu. |
| Vitamin E (Tocopherol) | Antioksidan lipid, mengurangkan membran sel daripada radikal bebas. | Perlindungan oksidatif, mengurangkan parut dan kerosakan kulit. |
| EGF (Epidermal Growth Factor) | Merangsang re-epithelialisation dan proliferasi keratinosit. | Luka lebih cepat tertutup |
| FGF (Fibroblast Growth Factor) | Angiogenesis, fibroblast aktif | Tisu lebih kuat dan elastik |
| PDGF (Platelet-Derived Growth Factor) | Pengaktifan fibroblast awal | Tekstur parut lebih baik |
| TGF-β (Transforming Growth Factor -Beta) | Merangsang sistesis kolagen dan ECM, mengurangkan MMP. | Parut lebih matang, kulit lebih tegang dan penyembuhan lebih stabil. |
Kesimpulannya, vitamin, growth factors dan peptides memainkan peranan penting dalam penyembuhan luka kulit melalui modulasi inflamasi, proliferasi sel dan pembentukan kolagen. Penggunaannya secara bersepadu berupaya meningkatkan tekstur kulit, mencegah parut dan memberikan hasil estetika yang lebih baik. Namun, pemilihan rawatan harus mempertimbangkan jenis kulit, kecenderungan kepada pigmentasi serta risiko keloid yang lebih tinggi dalam kalangan individu berkulit gelap. Konsultasi bersama professional kesihatan amat digalakkan bagi memastikan hasil yang selamat dan berkesan.
Artikal ini ditulis oleh Dr Nur Nabilah Abu Bakar, Pensyarah Fisiologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Rujukan
- Takeo, M., Lee W., & Ito, M. (2015). Wound healing and skin regeneration. Cold Spring Harbor Perspectives in Medicine, 5(1), a023267.
- Rodrigues, M., Kosaric, N., Bonham, C.A., & Gurtner, G.C. (2019). Wound healing: A cellular perspective. Physiological Reviews, 99(1), 665-706.
- Pullar, C.E,. Carr, A.J., & Giligan, G. (2015). The roles of vitamins in skin health: A review. Dermatology and Therapy, 5(1), 31-44.
- Phillips, T. J. (2017). Vitamin C and wound healing. Dermatologic Surgery, 43, S70-S76.
- Natarajan, V., et al. (2021). Peptides as wound healing agents: A review of mechanisms and applications. Biochimie, 184, 56-67.
