Pemvaksinan: Jarum Penunjuk Arah? – Dr Alya Hamzah

Sumber: www.thedoctorschannel.com

Sumber: www.thedoctorschannel.com

Pemvaksinan sejak asalnya suatu jalan yang penuh pancaroba. Penyokong dan penentang pemvaksinan pula terus-terusan, berdebat tanpa kesudahan. Dengan terdapatnya lambakan maklumat di internet, yang belum pasti betul faktanya, tidak hairanlah ibu bapa terpaksa berdepan dengan masalah ini seawal usia anak mereka masih bayi lagi. Proses pelalian bermula sejak dari dalam rahim lagi, dan sebenarnya, lama sebelum kehamilan pun. Jadi, di manakah pendirian kita dalam isu ini?

Apakah isunya di sini?

Bagi kebanyakan ibu bapa, kemusykilan vaksin ini berkisar tentang beberapa isu yang berikut :

Adakah vaksin berkesan?

Terdapat banyak data dari seluruh dunia menunjukkan keberkesanan vaksin, contohnya insiden di mana sesuatu penyakit telah menurun selepas vaksin diperkenalkan kepada umum. Salah satu contoh kejayaan program pemvaksinan yang sangat baik ialah penghapusan penyakit cacar di seluruh dunia. Kes terakhir dilaporkan di Somalia pada tahun 1970an. Di Malaysia, kesan daripada penerimaan vaksin Polio yang baik dalam masyarakat kita (95%), sudah tiada kes Polio yang dilaporkan sejak Oktober 2000. Kedua-dua penyakit cacar dan Polio ialah penyakit yang boleh membawa maut serta kecacatan kekal tanpa penawar untuk sembuh. .,

Adakah vaksin selamat?

Vaksin sebenarnya menjalani proses penilaian yang lebih teliti berbanding ubat-ubatan lain kerana vaksin diberi kepada insan-insan sihat. Vaksin juga sentiasa dinilai dan dipantau untuk mengesan kesan-kesan sampingan yang buruk. Walau bagaimanapun, sama seperti mana-mana ubat, vaksin boleh menyebabkan kesan sampingan. Akan tetapi, kesan sampingan yang serius amat jarang berlaku. Masalah yang biasanya berlaku (jika ada) ialah kulit menjadi kemerahan dan bengkak pada kawasan setempat atau demam. Kedua-duanya mudah dirawat dan sementara sahaja. Sebagai contoh, risiko untuk mendapat tindakbalas alahan yang teruk daripada vaksin Beguk/Campak/Rubella (MMR) ialah 1 dalam sejuta kanak-kanak yang menerima vaksin. Tidak dapat disangkal bahawa, imuniti yang diperoleh semasa mengalami jangkitan demam campak ‘liar’ (imuniti secara ‘mengalami penyakit’ atau imuniti ‘alami’) boleh menghasilkan perlindungan imuniti yang lebih tahan lama. Namun begitu, pesakit, dalam konteks ini, anak-anak anda, akan terdedah kepada risiko yang lebih berat, malah mengatasi manfaatnya. Kebarangkalian mendapat ensefalitis (radang selaput otak) ialah 1 : 1000 daripada jangkitan liar ini.

Ibu bapa juga merasa resah akibat bahan tambahan yang terdapat dalam sesetengan isi kandungan vaksin. Seperti yang telah disebutkan, beberapa jenis aditif boleh wujud dalam bentuk sebatian seperti tiomersal, sebatian yang mengandungi raksa (merkuri). Beberapa kajian telah menunjukkan tiada bukti kukuh bahawa tiomersal yang terkandung di dalam vaksin boleh menyebabkan autism, gangguan seperti autism atau lain-lain masalah perkembangan sistem saraf. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah merumuskan bahawa tiada bukti yang menunjukkan tiomersal dalam vaksin menyebabkan keracunan.

Antara isu kontroversi yang wajar dibangkitkan di sini ialah penerbitan satu kajian yang dibuat pada 1998, dalam satu jurnal perubatan yang terkenal iaitu Lancet. Orang yang bertanggung jawab ialah mantan pakar bedah di UK dan pengkaji perubatan bernama Andrew Wakefield. Beliau mendakwa terdapat hubungkait antara autism dan vaksin MMR. Dakwaannya telah pun disangkal dan kajiannya ditarik balik. Namun, demi berlaku adil kepada Dr. Wakefield, penting untuk umum tahu yang dia tidak menyeru untuk meninggalkan vaksin MMR secara keseluruhannya, akan tetapi untuk memberi vaksin tersebut secara berasingan.

Jika ia mujarab, jadi kenapa ada juga orang yang telah divaksin, masih terjangkit?

Sistem daya tahan setiap individu adalah unik dan tindak balasnya terhadap vaksinjuga berlainan. Maka, boleh jadi seorang kanak-kanak yang telah divaksin masih mendapat jangkitan walaupun dia telah mengambil vaksin yang sepatutnya bertindak untuk melindungnya. Namun begitu, keberkesanan kebanyakan vaksin, secara amnya adalah sangat baik. Sebagai contoh, keberkesanan vaksin MMR ialah sekitar 97-99% dan Varicella (cacar air) sekitar 85-90%.

Adakah vaksin diperbuat daribada bahan yang halal dan bolehkah Muslim menggunakannya?

Tidak dinafikan memang ada sesetengah vaksin yang diperbuat daripada sumber-sumber yang bahan asalnya tidak halal contohnya sumber babi, sel janin mati. Walau bagaimanapun, bahan-bahan najis yang disebutkan tadi telah melalui banyak peringkat penyucian. Ia kemudiannya diproses menjadi bahan yang berlainan, hinggakan sumber yang pada asalnya tidak suci, telahpun hilang dan wujud dalam jumlah yang tak signifikan. Tambahan pula, dalam ketiadaan alternatif, harus bagi Muslim untuk menggunakan vaksin-vaksin ini oleh kerana vaksin ini mampu mencegah penyakit berbahaya. Pendapat ini dapat dilihat dalam pelbagai fatwa daripada ulama masyhur seluruh dunia yang memfatwakan keharusan penggunaan vaksin berdasarkan prinsip “harus memilih kemudaratan yang kecil untuk mengelak mudarat yang besar” (Al-Ashbah wa An-Naza’ir oleh As-Suyuti). Memetik kata-kata Almarhum Mufti Arab Saudi Sheikh Abdul Aziz Ibn Baz: “Tidak salah memberi ubat untuk mencegah penyakit yang ditakuti, kerana Rasul (SAW) telah bersabda, “Barangsiapa yang memakan tujuh biji tamar Madinah, dia tidak akan mendapat sebarang kemudaratan racun atau sihir yang terkena pada hari itu”.(Riwayat al Bukhari.) 

Patutkah anak saya divaksinkan?

Sepertimana bahan-bahan ciptaan manusia yang lain, masih belum ada ‘vaksin yang sempurna’. Vaksin yang sempurna pada pendapat saya seharusnya diperbuat daripada sumber tumbuhan (tanpa isu etika), diberi dalam bentuk krim dingin atau manisan (yang tidak menyakitkan kanak-kanak), bebas daripada kesan sampingan dan 100% mujarab dan sesuai untuk semua. Sampailah terciptanya ‘vaksin sempurna’ sebegitu, saya percaya, kita perlu buat apa yang termampu untuk melindungi generasi masa depan kita.

Pencegahan sememangnya lebih baik dari mana-mana ubat. Kebersihan, diet yang sihat dan senaman, kesemuanya merupakan langkah pencegahan yang mustahak, tidak syak lagi. Tetapi, hakikatnya, sekadar susu badan atau cahaya matahari sahaja tidak cukup untuk menjauhkan anak-anak daripada jangkitan kuman.

Keputusan untuk memvaksin akhirnya terletak di tangan ibu bapa sendiri. Ia suatu tanggungjawab yang berat memandangkan keputusan itu bukan sahaja melibatkan anak anda tetapi mereka yang lain dalam masyarakat. Penyakit yang pernah dihapuskan boleh kembali menghantui kita. Hanya kerana seorang kanak-kanak terjangkit boleh menyebabkan wabak merebak kepada khalayak ramai. Kemudahan sistem pengangkutan untuk bergerak pada masa kini memudahkan lagi jangkitan untuk merebak dan mendedahkan anak kita kepada bahaya yang tidak sepatutnya berlaku .Justeru, ibu bapa harus berbincang dengan pengamal perubatan mereka jika mereka mempunyai sebarang keraguan atau kemusykilan berkenaan pemvaksinan agar mereka dapat membuat keputusan yang terbaik demi anak-anak mereka.

Dr. Alya Hamzah seorang pakar kanak-kanak yang bekerja di Selangor dan beliau sedang mempersiapkan diri untuk peperiksaan pasca-ijazah pediatrik. Beliau percaya perjalanan menuju kesihatan yang baik haruslah ditempuhi oleh pesakit dan doktor, bersama-sama. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team. Artikel ini diterjemah daripada artikel asal https://www.mmgazette.com/vaccination-a-poke-in-the-right-direction-dr-alya-hamzah/ oleh Azizul Ismie Mohd Puad.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan:

  • www.cdc.gov.
  • www.polioeradication.org.
  • www.vaccinationcouncil.org/2011
  • www.onislam.net/english/ask -the-scholar/fiqh
  • http : //en.wikipedia.org/wiki/Thiomersal – controversy
  • www.e-fatwa.gov.my/fatwa

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box