Non-accidental Injury (NAI): Kecederaan yang Disengajakan – Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

“Eh, kenapa Nur tak nak gerakkan kaki kanannya ni?” Encik Hassan pelik melihat kepada bayinya yang berusia 3 bulan petang itu. Sejak mengambilnya daripada pusat jagaan tadi, Nur asyik menangis dan tidak mahu menggerakkan kaki kanannya. Peha kanan anaknya itu juga kelihatan terkulai.

Beliau segera membawa anaknya itu ke hospital bagi mendapatkan kepastian. Pemeriksaan dan x-ray yang dilakukan menunjukkan peha kanan anaknya itu patah.

Doktor yang merawat Nur mengesyaki kepatahan tulang peha tersebut bukannya satu kemalangan berdasarkan jenis kepatahan yang kelihatan dalam x-ray. Beliau merasakan ia berlaku semasa dalam jagaan pengasuh. Lantas Nur dirujuk kepada SCAN (Suspected Child Abuse and Neglect) team bagi tindakan seterusnya. Encik Hassan pula telah membuat laporan polis bagi siasatan lanjut.

KEPATAHAN YANG DISENGAJAKAN

Dalam ilmu perubatan keadaan ini disebut sebagai Non Accidental Injury (NAI) iaitu kecederaan yang bukan kemalangan ataupun kecederaan yang disengajakan.

Doktor Pakar Ortopedik dapat mengesyaki Non Accidental Injury ini berdasarkan ilmu biomekanik iaitu bentuk kepatahan tulang yang berlaku. Kepatahan tulang peha berbentuk spiral (atau oblique) dalam x-ray (patah melengkung) adalah disebabkan oleh twisting injury (kecederaan berpulas) dan akan menjurus kepada NAI ini (lihat imej).

Terdapat beberapa tanda fizikal yang anda boleh lihat sekiranya kanak-kanak didera:

  1. Lebam – Ini adalah tanda yang paling kerap berlaku. Anda perlu menjangka DERA jika lebam berlaku dibanyak tempat terutamanya di tempat yang sukar berlaku seperti di punggung, kemaluan, belakang tangan, badan dan telinga.
  1. Kepatahan adalah kecederaan kedua paling kerap berlaku selepas kecederaan tisu (lebam). 85 peratus kes berlaku pada bayi dibawah usia 3 tahun dan 69 peratus dibawah usia setahun. Dera patut dijangka jika kepatahan berlaku pada bayi yang belum berjalan.
  1. Kesan terbakar (Burn)- Ini berlaku dalam 15-25 peratus kes dera. Kanak-kanak memang suka memegang objek. Dalam kes biasa, kecederaan burn berlaku pada tapak tangan. Jika ia berlaku di lokasi lain dan juga mempunyai bentuk objek seperti punting rokok, besi, dan mentol atau lighter kereta.

 

X-RAY YANG MENCURIGAKAN

Antara karakteristik x-ray yang akan menjurus kepada NAI atau kes dera termasuk:

  1. Spiral fracture pada tulang panjang (long bones) termasuk tulang peha (femur), betis (tibia) dan lengan (humerus). Tulang humerus dan femur adalah yang paling kerap patah.
  2. Kepatahan pada kedua belah tulang
  3. Kepatahan hujung tulang iaitu pada kawasan metaphysis (metaphyseal corner fracture) yang disebut juga sebagai bucket-handle fracture
  4. Kepatahan tulang rusuk
  5. Kepatahan tulang scapula (tulang sayap), sternum (tulang depan dada) dan spinous process (hujung tulang belakang)
  6. Tulang tengkorak bahagian parietal
  7. Kepatahan pada beberapa tulang dengan pelbagai tahap proses penyembuhan sedang berlaku

 

Kepatahan hujung tulang iaitu pada kawasan metaphysis

Bayi yang belum berjalan dan mengalami kepatahan tulang peha atau betis perlu disiasat bagi sebarang kemungkinan kes NAI melainkan dibuktikan sebaliknya.

 

 

KEMUNGKINAN LAIN

Namun begitu, harus diingat terdapat beberapa kondisi perubatan yang boleh memberikan keadaan yang hampir sama seperti NAI. Contohnya masalah Osteogenesis Imperfecta iaitu masalah genetik yang menyebabkan tulang menjadi rapuh dan mudah patah. Tulang kanak-kanak yang mengalami keadaan ini boleh patah walaupun dengan kecederaan yang minima (trivial injury).

Sesetengah masalah Onkologi atau kanser seperti Neuroblastoma boleh menyebabkan mata kanak-kanak kelihatan seperti lebam (Raccoon eyes). Masalah penyakit darah (haematological disorders) seperti Haemophilia, Von Willebrand’s Disease dan kekurangan Faktor pembekuan darah boleh menyebabkan kanak-kanak mudah lebam walaupun cuma terhantuk sedikit. Ini semua mungkin sahaja disalah ertikan sebagai didera. Begitu juga masalah penyakit kulit yang mungkin menyebabkan kemerahan dan lebam.

 

APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN

Jika anda mengesyaki anak anda didera atau mengalami kecederaan yang disengajakan, berikut adalah antara langkah-langkah yang anda boleh ambil:

  1. Segera bawa anak anda ke hospital berdekatan bagi pemeriksaan doktor
  2. Bertanyakan dengan lebih lanjut kepada pihak yang menjaga anak anda
  3. Jika keadaan yang mencurigakan, laporkan kepada pihak berkuasa. Pihak polis akan menyiasat kes sebegini di bawah akta kanak-kanak.

RUJUKAN

  1. http://learn.pediatrics.ubc.ca/body-systems/musculoskeletal-system/approach-to-non-accidental-injuries/
  1. https://www.sciencedirect.com/topics/medicine-and-dentistry/non-accidental-injury
  1. Gambar bayi dan xray dengan kebenaran ayah bayi
  1. Imej daripada carian Google

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box