Mulut Berbau: Bukan Sekadar Kesihatan Gusi dan Gigi – Dr Shaiful Ehsan

Adakah anda mengalami masalah mulut berbau yang busuk? Walaupun anda telah menjaga kesihatan gigi dan gusi? Ketahuilah, anda bukan keseorangan. Ianya melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, remaja dan dewasa. Statistik menunjukkan masalah ini agak kerap berlaku, namun ramai di antara pesakit berasa malu untuk berbincang dengan pihak doktor mereka dan hanya mengaitkan ia dengan masalah gigi dan gusi sahaja. Ramai di antara mereka beranggapan ianya hanya perlu mendapatkan rawatan di klinik gigi semata-mata dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk ke sana. Anda mungkin silap.

Mulut berbau atau nafas berbau, juga dikenali sebagai “halitosis” dalam bidang perubatan merujuk kepada masalah mulut berbau yang boleh mengakibat pesakit mengelak daripada bergaul dengan masyarakat. Keadaan ini boleh menjadi teruk dan sangat kerap berlaku iaitu melibatkan sehingga 5 individu dalam setiap 100 orang. Ianya boleh dibahagikan kepada dua punca utama iaitu akibat faktor fisiologi seperti kesan pemakanan, menghisap rokok mahupun apabila bangun dari tidur yang mana mulut berbau hilang setelah membersihkan rongga mulut. Manakala apa yang membimbangkan adalah faktor kedua berpunca daripada gejala penyakit tertentu. Ya, bau mulut mungkin merupakan petanda anda mengalami masalah penyakit yang berbahaya.

Antara punca-punca yang boleh dikaitkan dengan bau mulut yang busuk termasuklah:

Masalah kesihatan dalam rongga mulut: seperti jangkitan gusi, kerosakan gigi, keadaan mulut yang kering dan jangkitan kuman pada kelenjar tonsils. Ini adalah punca yang utama merangkumi hampir 80% daripada kesuluruhan kes. Ramai di antara kita juga mungkin terlupa untuk membersihkan lidah ketika membersihkan gigi dan gusi yang mana boleh menyebabkan mulut masih berbau.

-Masalah kesihatan hidung: seperti jangkitan kuman pada sinus dan rongga hidung yang kronik, alahan hidung yang teruk dan kanser hidung. Ia juga boleh menjadi petanda bahawa adanya benda asing yang tertinggal pada rongga hidung terutama di kalangan kanak-kanak yang gemar memasukkan sesuatu objek kecil ke dalam lubang hidung.

-Masalah paru-paru – jangkitan kuman pada paru-paru dan kanser paru-paru.

-Masalah kesihatan sistem pencernaan – masalah refluks pada perut di mana kandungan jus dan makanan dalam perut melimpah ke atas sehingga ke kawasan rongga mulut akibat saluran pemakanan yang tidak berupaya untuk mengelakkan refluks daripada berlaku. Ianya dikaitkan dengan kegemukan dan mereka yang suka mengambil makanan yang berat sejurus sebelum tidur.

-Penyakit-penyakit kronik – seperti kerosakan buah pinggang, kanser buah pinggang, kegagalan fungsi hati dan penyakit kencing manis yang teruk.

-Ubat-ubatan – terdapat beberapa jenis ubat-ubatan yang boleh menyebabkan mulut menjadi kering seperti beberapa jenis ubat darah tinggi, ubat-ubat alahan dan resdung.

Justeru berjumpalah dengan pihak doktor untuk mengesahkan kesan-kesan ubat tersebut. Melihat kepada punca-punca ini, halitosis sememangnya merupakan sesuatu yang perlu dibimbangi. Namun antara petanda penting bahawa anda perlu berjumpa dengan pihak doktor segera adalah sekiranya masalah mulut berbau ini berterusan biarpun cara-cara asas seperti penjagaan mulut dan gusi telah diamalkan.

Halitosis sekiranya tidak dirawat boleh menyebabkan perasaan rendah diri yang teruk dan akhirnya menyebabkan kurang produktiviti diri dan hasil kerja yang tidak memuaskan. Ini akhirnya boleh menyebabkan masalah gelisah yang teruk dan juga kemurungan. Dari segi perubatan pula, lambat berjumpa dengan pihak doktor akan menyebabkan kelewatan pengesanan penyakit-penyakit yang pada asalnya boleh dirawat dengan lebih baik jika mendapatkan rawatan awal.

Segeralah mendapatkan pemeriksaan doktor sama ada doktor gigi mahupun doktor perubatan di klinik berdekatan anda. Ini bukanlah satu alasan untuk anda perlu berjumpa doktor gigi semata-mata apabila perlu sahaja. Namun sebaik-baiknya kekalkan rawatan dan pemeriksaan gigi berkala yang perlu dilakukan sekurang-kurangnya setiap 6 bulan biarpun anda mempunya gigi dan gusi yang sihat. Apatah lagi jika anda ada kemusykilan akan kesihatan mulut anda. Justeru, silalah ambil peduli. Selamat menyambut “Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Kebangsaan 2018”. Ternyata, cara terbaik untuk menghilangkan bau mulut adalah mengamalkan pemeriksaan gigi berkala dan mengenalpasti punca sebenar terjadinya bau mulut itu sendiri. Mari kekalkan kesihatan gigi, gusi dan mulut anda.

Rujukan:

  1. Alessandro Villa, J. M. B. (2018). “Bad Breath.” UpToDate. Retrieved 3 September, 2018, from https://www.uptodate.com/contents/bad-breath.
  1. Cassiano Kuchenbecker Rösing, W. L. (2011). “Halitosis: an overview of epidemiology, etiology and clinical management.” Brazilian Oral Research 25(5): 466-471.
  1. Muhammad Ashraf Nazir, K. A., Muhammad Irfan Majeed (2017). “The prevalence of halitosis (oral malodor) and associated factors among dental students and interns, Lahore, Pakistan.” European Journal of Dentistry 11(4): 480-485.
  1. Patil, S. (2016). “Halitosis.” Medscape. Retrieved 3 September, 2018, from https://emedicine.medscape.com/article/867570-overview.

 

Artikel ini ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan.

 

Dr Shaiful Ehsan merupakan seorang Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan klinik kesihatan di Kuantan. Beliau sangat mementingkan pendidikan kesihatan kepada semua pesakit beliau.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box