Kesan tekanan mental kepada sel anda: Kasihani sel anda! – Dr Nuruliza Roslan & Dr Faizul Helmi Addnan

Hujung bulan.

Jam sudah pukul 5 petang.

Tangan masih laju menaip kertas kerja yang patut di beri 8 pagi esok.

Dalam hati; 6 petang kene sampai di perkarangan sekolah.

 

Tiba-tiba,

Datang seseorang yang anda kenali menerjah laju ke arah anda.

Si dia berhenti di hadapan meja anda.

Dan mula menjerit…meninggi suara menengking anda.

Sebelum ini cacian, makian dan herdikan hanyalah melalui pesanan whatsapp sahaja.

AllahuAkbar. Ku insafi diri dengan mengingati firman Allah SWT, “….Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.” (Al Baqarah 2:153)  

Allah tidak akan menguji hamba-Nya di luar batas kemampuannya. Hal ini secara tegas dinyatakan dalam al-Quran: “ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya…”(Surah Al-Baqarah 2:286). Sesungguhnya, kita harus sedar dan yakin bahawa saat menghadapi ujian, ALLAH SWT mengetahui keadaan kita.

ALLAH memperingatkan kita melalui firman-Nya: “Janganlah kau bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang yang beriman.” (Surah Ali Imran 3:139)

Sewaktu kejadian ini berlaku, bayangkan situasi reaksi badan terutamanya sel anda pada waktu dan ketika mendepani isu sebegini.

 

Stress atau tekanan berlaku apabila keadaan seseorang itu mengalami ketidakstabilan sama ada fizikal ataupun mental dan ianya berkaitan dengan cara hidup kita. Tidak dinafikan stress boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latakbelakang. Jenis tekanan boleh hadir dalam 2 bentuk; “eustress” bermaksud mengalami tekanan perasaan yang kemudiannya memberi kesan yang baik (positif) manakala “distress” bermaksud mengalami tekanan perasaan sehingga memberi kesan yang buruk (negatif) dalam kehidupan seseorang. Apabila anda mengalami tekanan, ia mengaktifkan tindak balas “melawan” atau “lari” (flight and fight response) dalam badan anda. Walaupun tindak balas ini penting untuk kelangsungan hidup manusia dalam keadaan yang mengancam nyawa, mengalaminya setiap hari akibat tekanan boleh memudaratkan.

Banyak kajian telah mengaitkan prevalens tekanan dengan banyak keadaan kesihatan yang serius. Sebagai contoh, tekanan boleh bertindak sebagai pemangkin kepada terjadinya penyakit seperti obesiti, kemurungan, jantung (strok), diabetes, dan banyak lagi. Namun, pernahkah anda terfikir kenapa atau bagaimana apabila kita menghadapi stress yang berpanjangan, apa kesannya terhadap sel-sel kita? Gangguan ketidakstabilan fungsi badan bermula daripada peringkat sel disebabkan stress berpanjangan memberi panduan bagaimana akhirnya menyebabkan berlaku penyakit-penyakit seperti disebutkan tadi termasuklah akhirnya kematian. Mari kita lihat kesan tekanan terhadap fungsi sel kita sekiranya tidak dikawal dan berpanjangan.

Tekanan mental boleh bawa perubahan kepada bahan genetik (DNA) anda

Daripada sumber laporan penyelidikan, tekanan mental yang dirasai oleh badan kita sekiranya kerap dan berpanjangan boleh memberi kesan yang ketara pada tahap selular. Tekanan sekitar luar dan dalam sel kita yang seterusnya membawa perubahan dalam bahan genetik dalam nukleus sel. Sebagai contoh, antara respon tindak balas sel apabila berlakunya tekanan atau stress, kajian mendapati gen untuk menyimpan lemak anda akan menjadi lebih aktif. Ini sebenarnya adalah tindak balas perlindungan yang normal sekiranya seseorang sedang menghadapi tekanan. Walau bagaimanapun, jika tekanan/stress ini berpanjangan, proses menyimpan lemak akan sentiasa diaktifkan menyebabkan badan akan sentiasa berasa lapar dan seterusnya membawa kepada risiko menjadi obes dan penyakit lain yang berkaitan seperti hypertensi dan serangan jantung.

Tekanan mental boleh merosakkan mitokondria anda

 

Bukti kajian telah menunjukkan bahawa tekanan mental yang berpanjangan boleh merosakkan mitokondria dalam sel anda. Mitokondria adalah organel dalam sel kita yang merupakan pusat untuk menjana kuasa atau tenaga untuk sel badan kita berfungsi.

Apabila mitokondria rosak, ia juga menyebabkan DNA selular tumpah ke seluruh sel. DNA ini akhirnya memasuki aliran darah, di mana ia bertindak serupa fungsi dengan hormon. Jika jumlah DNA mitokondria yang memasuki aliran darah dalam kuantiti yang berlebihan, ia boleh meningkatkan paras gula dalam badan. Ia juga boleh menyebabkan rintangan insulin, hipertensi, dan diabetes jenis II.

Gambarajah 1: Kesan Tekanan psikologi dan keradangan yang berpanjangan boleh mengubah komunikasi mikroglia-neuron dan membawa kepada penuaan selular. (Sumber: Carrier, M. et al. 2021).

 

Tekanan mental boleh menyebabkan pengeluaran myelin berlebihan dalam otak anda

 

Tekanan mental yang kronik juga boleh membawa kepada perubahan jangka panjang dalam otak anda. Perubahan ini berlaku disebabkan oleh tekanan  yang mengakibatkan peningkatan penghasilan sel penghasil myelin. Otak kita terdiri daripada neuron, akson, dan sel sokongan. Akson dikelilingi oleh sarung putih yang dipanggil myelin (bahan putih). Ini memainkan peranan penting dalam pemindahan isyarat elektrik melalui otak untuk komunikasi maklumat.

Walau bagaimanapun, jika anda sentiasa berasa tertekan, penghasilan myelin yang berlebihan akan berlaku. Ini boleh membawa perubahan kepada struktur otak anda. Perubahan ini seterusnya boleh memudaratkan kesihatan fizikal dan mental anda. Sebagai contoh, bukti kajian daripada data MRI otak telah menunjukkan banyak keabnormalan otak telah dikaitkan dengan ketidakseimbangan dalam jirim putih dan jirim kelabu otak. Bahan kelabu termasuk neuron dan sel sokongan anda. Ketidakseimbangan jenis jirim otak ini boleh menyebabkan otak anda lebih terdedah kepada risiko penyakit mental. Akibatnya, mereka yang mengalami tekanan kronik lebih cenderung mengalami gangguan perasaan seterusnya ketidakstabilan mental.

 

Tekanan mental mempercepatkan hari tua anda dengan pemendekkan telomer

 

Telomer adalah merupakan bahagian paling hujung di kromosom kita yang terdiri dari susunan DNA yang berulang-ulang (tandem repeats). Fungsi telomer yang berada di hujung kromosom adalah sebagai penjaga dari kerosakan DNA di mana telomer memainkan peranan yang sangat penting dalam proses penuaan. Secara normalnya, semakin kita berusia, semakin pendek telomer kita. Namun, kependekkan telomer ini boleh dipercepatkan dengan beberapa faktor antaranya merokok, obes, dan juga tekanan mental.

Tekanan mental mendorong rembesan glukokortikoid, yang akan membawa kepada penjanaan ROS melalui peningkatan aktiviti mitokondria. ROS lebih cenderung untuk merosakkan telomer dan menghalang aktiviti telomerase, seterusnya menyumbang kepada jenis telomer yang pendek dan tidak boleh berfungsi. Glukokortikoid juga boleh secara langsung menghalang atau mendorong aktiviti telomerase. Sel penuaan yang disebabkan oleh telomer yang tidak berfungsi memaparkan yang fenotip pro-oksidan dan pro-radang. Oleh itu, keradangan dan telomer yang tidak berfungsi membawa kepada peningkatan keradangan sistemik dan peningkatan bilangan sel dengan telomer yang tidak berfungsi.

Gambar 2: Saling kaitan antara molekul dan sel dalam badan kita yang menghubungkan kesan tekanan psikologi kepada telomer yang pendek dan tidak berfungsi. Ini seterusnya membawa kepada peningkatan keradangan sistemik dan peningkatan bilangan sel dengan telomer yang tidak berfungsi. (Sumber: Lin, J., & Epel, E. (2022))

Kesimpulan

Tekanan mental yang berpanjangan boleh memberi kesan yang sangat negatif kepada sel anda seterusnya kesihatan badan anda secara menyeluruh. Sesungguhnya nikmat yang Allah SWT telah kurniakan kepada kita amat banyak terutamanya badan kita, setiap nafas yang kita ambil dan hembus, setiap saat, tanpa kita sedari setiap sel dalam badan kita akan cuba menjaga diri kita dengan sebaik-baiknya bagi memastikan badan kita berfungsi secara optimum dan kita berasa sihat walafiat selalu. Firman Allah SWT “Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)” (Surah Ar Rahman 55:13). Namun, sekiranya setiap saat juga kita memberi tekanan (mental, fizikal, pemakanan, merokok dan sebagainya) dalam pelbagai bentuk kepada  badan kita, akan sampai satu tahap juga di mana sel kita sudah mencapai tahap untuk tidak mampu bertahan dalam memelihara badan kita dari kerosakan.

Akhir kalam, peliharalah dan sayangilah kesihatan sel anda. Sel yang sihat menjamin mental yang sihat! InsyaAllah.

Ditulis oleh;

Dr Nuruliza Roslan,

Timbalan Dekan, Institut Sains Islam, USIM

Penyelidik Kanser Biologi, FPSK, USIM

Dr Faizul Helmi Addnan

Ketua Jabatan Sains Perubatan I, FPSK, USIM

Penyelidik Nutrisi Pemakanan, FPSK, USIM

Rujukan:

Xiao, Y., Liu, D., Cline, M. A., & Gilbert, E. R. (2020). Chronic stress, epigenetics, and adipose tissue metabolism in the obese state. Nutrition & Metabolism17(1), 1-16.

Ahmed, M., Cerda, I., & Maloof, M. (2023). Breaking the vicious cycle: The interplay between loneliness, metabolic illness, and mental health. Frontiers in Psychiatry14, 399.

Valdés-Tovar, M., Rodríguez-Ramírez, A. M., Rodríguez-Cárdenas, L., Sotelo-Ramírez, C. E., Camarena, B., Sanabrais-Jiménez, M. A., … & López-Riquelme, G. O. (2022). Insights into myelin dysfunction in schizophrenia and bipolar disorder. World Journal of Psychiatry12(2), 264.

Carrier, M., Šimončičová, E., St-Pierre, M. K., McKee, C., & Tremblay, M. È. (2021). Psychological stress as a risk factor for accelerated cellular aging and cognitive decline: the involvement of microglia-neuron crosstalk. Frontiers in Molecular Neuroscience, 229.

Lin, J., & Epel, E. (2022). Stress and telomere shortening: Insights from cellular mechanisms. Ageing research reviews73, 101507.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box