
Sumber: www.medicinenet.com
Anda semua pasti pernah mendengar cerita tentang ikan piranha yang amat suka memakan daging, bukan? Namun tahukah anda, terdapat juga kuman yang memakan daging manusia?
Keadaan ini dikenali sebagai Necrotising fasciitis di kalangan pengamal perubatan. Ia biasanya sebabkan oleh kuman dari spesis Streptococcus atau secara spesifiknya, dikenali sebagai Group A, beta hemolytic streptococcus. Terdapat juga beberapa kuman lain yang boleh menyebabkan masalah kesihatan ini seperti spesis Clostridium, E. coli dan fungus.
Pesakit yang mempunyai penyakit kencing manis serta masalah sistem imuniti yang lemah mudah terdedah dengan keadaan ini. Pesakit akan mengalami demam panas, badan yang lemah, lesu serta kehilangan selera makan. Kadang-kala pesakit mungkin datang dengan jangkitan kuman yang amat teruk atau Sepsis. Pesakit mungkin tidak sedarkan diri serta mempunyai tekanan darah yang rendah dan seterusnya boleh membawa kepada kematian. Risiko kematian adalah setinggi 75 peratus.
Anggota badan pesakit biasanya berwarna kemerahan, bengkak, terasa panas serta sakit sekiranya dipegang. Kulit pesakit mungkin juga boleh kelihatan normal dari luar namun tisu di dalam termasuk otot dan fascia (lapisan menyeliputi otot, saraf dan salur darah) telah mati akibat dijangkiti kuman ini.
Pesakit perlu segera mendapat rawatan di hospital. Tisu yang mati ini perlu dibuang segera bagi mengelakkan jangkitan daripada merebak. Pesakit akan diberi antibiotik bagi membunuh saki-baki kuman yang masih ada walaupun setelah pembedahan dilakukan. Sekiranya jangkitan terlalu serius, anggota badan pesakit perlu dipotong bagi menyelamatkan nyawa.
Sekiranya terdapat sedara-mara anda yang mempunyai masalah ini, tolong segera ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan. Setiap saat amat berharga. Kelewatan boleh membawa kepada kehilangan insan tersayang.
Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Rujukan:
- Review of Orthopaedics, 5th edition. Mark D. Miller, page 84
- CHIN-HO WONG et. Al. Necrotizing Fasciitis: Clinical Presentation, Microbiology and Determinants of Mortality. JBJS 85-A · NUMBER 8 · AUGUST 2003

13 comments for “Kuman Pemakan Daging Manusia – Dr Ahmad Mahyuddin”