Jerawat ada ubat! – Dr Aminuddin Hasnol Aidi

Jerawat merupakan sejenis penyakit kulit kronik yang sering berlaku dalam kalangan remaja dan sebahagian kecil dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak. Jerawat kebiasaannya tertumpu pada kawasan muka dan leher tetapi boleh juga merebak kepada bahagian belakang badan. Walaupun penyakit kulit ini tidak membahayakan nyawa, tetapi ia boleh menyebabkan tekanan psikologi yang serius dan komplikasi jangkitan bakteria yang lebih teruk.

Punca jerawat

Jerawat bermula dengan proses penyumbatan kelenjar sebum (sebaceous gland) yang disebabkan oleh pengumpulan tidak normal diantara tisu kulit mati dan sebum berlebihan. Saluran yang tersumbat ini dikenali sebagai komedon (comedones) dan ia menjadi tempat pertumbuhan dan pengumpulan bakteria jenis Cutibacterium acnes. Ketidakseimbangan mikroorganisma pada kawasan ini akhirnya akan mengakibatkan keradangan dan pembengkakan.

Faktor risiko

Terdapat beberapa faktor risiko yang dikenal pasti boleh mempengaruhi kebarangkalian seseorang itu mendapat jerawat. Antaranya ialah:

  • Umur

Kumpulan usia 15 hingga 18 tahun adalah kumpulan yang paling berisiko untuk mendapat jerawat.

  • Jantina

Perempuan lebih berisiko mendapat jerawat berbanding dengan lelaki.

  • Genetik

Genetik kulit berminyak dan sejarah penyakit jerawat dalam keluarga akan meningkatkan risiko untuk mendapat jerawat.

  • Diet

Makanan yang tinggi indeks glisemik (glycemic index) lebih berisiko menyebabkan jerawat berbanding makanan yang rendah indeks glisemik.

  • Indeks jisim badan (Body Mass Index, BMI)

Seseorang yang mempunyai indeks jisim badan yang tinggi akan lebih terdedah kepada  risiko untuk mendapat jerawat.

  • Tekanan psikologi (Psychological stress)

Seseorang yang kerap mengalami tekanan psikologi berulang atau berpanjangan lebih berisiko untuk mendapat jerawat.

Pengelasan dan penyiasatan

Diagnosis jerawat boleh dibuat secara klinikal sahaja oleh pegawai perubatan tanpa perlu menghantar siasatan darah. Namun, ujian darah perlu dihantar sekiranya jerawat disyaki terkait dengan masalah hormon.

Secara asasnya, tahap jerawat dibahagikan kepada dua jenis iaitu ruam tanpa keradangan (non-inflammatory lesions) atau ruam dengan keradangan (inflammatory lesions).

Pengelasan lebih terperinci akan dibuat melalui pemeriksaan fizikal meggunakan skala keterukan menyeluruh jerawat (Comprehensive acne severity scale, CASS). Kawasan yang berjerawat akan diberikan skor dari 0 (tiada jerawat) sehingga 5 (keradangan teruk bersama nodul dan papul) dan hasil daripada skor ini, rawatan yang sesuai akan diberikan.

Rawatan

Matlamat dalam rawatan jerawat adalah untuk menghilangkan ruam, megurangkan keradangan dan mencegah kesan parut. Rawatan yang berkesan dapat membaiki imej muka secara keseluruhan dan ia sekaligus mengurangkan tekanan psikologi pada pesakit.

Rawatan dibahagikan kepada dua iaitu rawatan perubatan dan fizikal. Untuk rawatan perubatan, ia boleh diberikan secara topikal (sapuan) ataupun sistemik (ubat makan). Rawatan fizikal pula terdiri daripada suntikan, pengelupasan kimia (chemical peels) dan terapi laser.

Ubat topikal (sapuan)

Ubat sapuan merupakan rawatan asas untuk jerawat dan boleh diberikan secara gabungan pelbagai jenis. Berikut merupakan kategori ubat sapuan

  • Benzoyl Peroxide (BPO)

Sejenis agen pengoksidaan yang mempunyai kesan anti-bakteria, anti-keradangan dan pemecah komedon. Sesuai untuk jerawat peringkat ringan dan sederhana.

  • Retinoid

Ubat sapuan terbitan sintetik vitamin A yang sesuai untuk jerawat yang mempunyai keradangan. Antara jenis yang terdapat di pasaran tempatan adalah tretinoin dan adapalene.

  • Antibiotik gel

Ubat sapuan antibiotik seperti Clindamycin gel kebiasaannya digunakan bersama ubat sapuan yang lain untuk merawat jerawat peringkat ringan dan sederhana.

Ubat sistemik (ubat makan)

Rawatan ubat makan hanya akan diberikan untuk jerawat pada peringkat sederhana dan teruk dan ia memerlukan pemantauan rapi daripada pegawai perubatan untuk memastikan keberkesanan dan mencegah kesan sampingan. Antara jenis ubat makan adalah seperti berikut

  • Antibiotik

Ubat oral antibiotik seperti doxycycline, tetracycline atau erythromycin berfungsi untuk mengurangkan jumlah bakteria dan meredakan keradangan pada kulit. Ia memerlukan tempoh pemakanan sekurang-kurangnya 8 minggu untuk melihat hasilnya.

  • Isotretinoin

Isotretinoin merupakan ubat terbitan retinoid vitamin A sistemik yang digunakan untuk jerawat peringkat teruk ataupun sekiranya rawatan lain tidak berkesan. Walaupun ubat ini sangat efektif, ianya mempunyai kesan sampingan teratogenik atau maksud lainnya boleh menyebabkan kecacatan pada kandungan bayi. Ubat ini hanya boleh diberikan oleh pakar kulit sahaja.

  • Terapi hormon

Terapi hormon seperti gabungan pil perancang boleh mengurangkan kesan jerawat pada pesakit perempuan yang mengalami masalah penyakit hormon.

Rawatan fizikal

Rawatan seperti suntikan steroid, pengelupasan kimia (chemical peels) dan terapi laser merupakan rawatan tambahan yang diberikan bersama dengan rawatan perubatan untuk mempercepatkan kesan pemulihan jerawat.

Tips mencegah jerawat

Diet pemakanan

Banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran segar yang mempunyai kuantiti vitamin A, anti-oksida dan omega-3 yang tinggi dan hindari makanan yang tinggi indeks glisemik (glycemic index).

Tekanan psikologi

Cuba untuk mengendalikan tekanan psikologi dengan melakukan aktiviti-aktiviti seperti meditasi, senaman dan hobi.

Kebersihan muka

Lakukan rutin harian mencuci muka sekurang-kurangnya dua kali sehari dan menggunakan produk pencuci muka yang disahkan selamat.

Perlindungan cahaya matahari

Menggunakan losyen pelindung matahari (sunscreen) apabila terlibat dengan aktiviti diluar rumah.

Nasihat pegawai perubatan

Dapatkan nasihat daripada pegawai perubatan sekiranya keadaan jerawat menjadi semakin teruk kerana penyakit jerawat boleh diubati!

Artikel ini ditulis oleh:

Dr Aminuddin Bin Hasnol Aidi

Pakar Perubatan Dalaman,

Jabatan Perubatan Dalaman,

IIUM Kuantan

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box