Jangkitan Cytomegalovirus : Ancaman Senyap kepada Bayi Baru Lahir – Dr Asrar Abu Bakar

Jangkitan kongenital Cytomegalovirus (CMV) adalah jangkitan ketika di dalam waktu kandungan (kongenital) yang paling kerap di seluruh dunia dan boleh menyebabkan komplikasi serius kepada bayi, termasuk masalah pendengaran, gangguan perkembangan saraf dan upaya, serta kecacatan penglihatan. Walaupun beban penyakit ini tinggi, kesedaran tentang penyakit ini dalam kalangan masyarakat di Malaysia masih rendah.

Apa Itu cCMV?

Cytomegalovirus atau CMV adalah virus dari keluarga herpes yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja. Kebanyakan individu dewasa mahupun kanak-kanak yang sihat tidak menunjukkan sebarang gejala apabila dijangkiti, tetapi bagi bayi yang dijangkiti, ia boleh memberi kesan yang serius. Jangkitan ini boleh berlaku apabila seorang ibu hamil yang belum pernah dijangkiti virus CMV mendapat jangkitan ketika hamil seterusnya menjangkiti bayi di dalam kandungan. Bayi yang dijangkiti dinamakan jangkitan kongenital CMV (cCMV). 

Statistik dan Status cCMV di Malaysia

Kajian mendapati bahawa kadar seroprevalen (kewujudan antibodi terhadap CMV) dalam kalangan wanita hamil di Malaysia adalah tinggi, iaitu antara 70% hingga 85%, menandakan virus ini agak tular di kalangan masyarakat secara tidak disedari.  Walau bagaimanapun, disebabkan tiada program saringan rutin bagi cCMV, jumlah sebenar bayi yang dijangkiti tidak diketahui dengan tepat. Ini kerana tidak semua bayi akan dijangkiti dari ibu yang positif untuk CMV malah kebanyakan bayi yang dijangkiti tidak bergejala atau hanya mempunyai gejala ringan tanpa sebarang komplikasi lanjut. 

Gejala dan Komplikasi

Namun begitu, segelinitir bayi masih berisiko mengalami komplikasi kemudian, terutamanya kehilangan pendengaran yang progresif. Bagi bayi yang mengalami gejala, mereka mungkin lahir dengan masalah dan gejala seperti:

  • Saiz kepala kecil 
  • Jaundis atau kuning yang berpanjangan
  • Masalah radang hati
  • Gangguan saraf seperti sawan
  • Masalah pendengaran dan penglihatan

Dalam kes yang lebih serius, jangkitan ini boleh menyebabkan kecacatan kekal serta kelewatan perkembangan kognitif dan pergerakan. Sesetengah kajian turut menunjukkan hubungan jangkitan cCMV dengan masalah autism dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

Kaedah Diagnostik dan Rawatan

Di Malaysia, ujian untuk mengesan CMV masih terhad kerana ketiadaan saringan universal bagi bayi baru lahir. Pengesanan cCMV dilakukan melalui ujian PCR (Polymerase Chain Reaction) ke atas air liur, air kencing atau darah bayi sebaiknya dalam tempoh tiga minggu pertama selepas kelahiran. Jika dikesan lebih lewat, kemungkinan jangkitan tersebut diperoleh selepas lahir dan bukan ketika kehamilan sepertimana cCMV. Ini penting kerana, jangkitan yang berlaku selepas kelahiran kebiasaannya tidak merbahaya. Namun, akses kepada ujian PCR sangat terhad dan hanya dilakukan di makmal yang lebih canggih dan lengkap. 

Rawatan utama bagi bayi yang menunjukkan gejala adalah dengan ubat antiviral yang boleh membantu mengurangkan kesan negatif virus pada sistem saraf dan perkembangan pendengaran bayi. Namun, rawatan ini tidak digunakan secara meluas kerana akses yang terhad serta kos yang agak tinggi. 

Keperluan Saringan dan Kesedaran

Negara seperti Amerika Syarikat dan Kanada telah melaksanakan saringan bayi baru lahir untuk cCMV, terutamanya bagi bayi yang gagal ujian pendengaran awal. Malaysia masih belum mempunyai saringan sedemikian, walaupun pendekatan ini dapat membantu mengenal pasti bayi yang berisiko mengalami kehilangan pendengaran progresif.

Selain itu, kesedaran dalam kalangan masyarakat masih rendah. Langkah-langkah kesedaran, termasuk pendidikan kepada ibu hamil mengenai cara pencegahan seperti menjaga kebersihan tangan dan mengelakkan perkongsian makanan dengan anak-anak kecil yang lain, boleh mengurangkan risiko jangkitan. 

Masa Depan Pencegahan dan Rawatan cCMV

Penyelidikan sedang dijalankan untuk membangunkan vaksin CMV bagi mencegah jangkitan dalam kalangan wanita hamil, seterusnya menjadi kaedah paling berkesan untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada bayi. Selain itu, terdapat usaha untuk memperkenalkan ujian saringan yang lebih murah dan pantas bagi bayi baru lahir melalui nanobiosensor untuk meningkatkan kadar pengesanan awal tetapi teknologi ini masih sedang dibangunkan.

Kesimpulan

Jangkitan cCMV adalah ancaman senyap kepada kesihatan bayi baru lahir di Malaysia. Tanpa saringan yang berkesan dan kesedaran yang tinggi, ramai bayi berisiko mengalami komplikasi jangka panjang tanpa rawatan awal. Langkah segera seperti meningkatkan kesedaran masyarakat, memperkenalkan saringan bayi baru lahir, dan meneroka kaedah rawatan yang lebih berkesan perlu diambil untuk mengurangkan kesan penyakit ini kepada masyarakat. Kesihatan anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama. Dengan meningkatkan kesedaran dan memperkukuh langkah pencegahan, kita dapat memastikan masa depan yang lebih cerah bagi bayi yang terdedah kepada jangkitan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box