Fisiologi disebalik Amalan Makanan Sunnah dan Penjagaan Perut – Dr Nur Nabilah Abu Bakar & Dr Wan Noraini Wan Sulaiman


Ramai yang sedia maklum makanan yang diambil setiap hari memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan perut dan sistem penghadaman. Dari sudut fisiologi, perut berfungsi sebagai organ yang aktif merembeskan asid hidroklorik, enzim pencernaan dan mukus pelindung, di samping melakukan pergerakan otot bagi mencampur dan mengosongkan makanan ke usus kecil. Mungkin ramai yang belum tahu, banyak makanan yang diamalkan dalam sunnah Rasulullah SAW terbukti selari dengan keperluan fisiologi ini dan terbukti memberi kesan perlindungan kepada perut.

Kurma, yang sering diamalkan sebagai makanan pembuka terutamanya semasa berpuasa, sangat kaya dengan gula ringkas semulajadi dan serat larut. Secara fisiologi, gula ringkas semulajadi (glukosa dan fruktosa) ini mudah diserap dan membekalkan tenaga segera kepada sel mukosa perut tanpa merangsang rembesan asid secara berlebihan. Gula ringkas semulajadi tidak berada lama di dalam perut  dan tidak mencetuskan rembesan hormon Gastrin secara berlebihan (hormon yang memberi signal kepada sel parietal perut untuk merembeskan asid). Serat larut pula membantu melancarkan pergerakan usus dan mengawal kadar pengosongan gastrik, menjadikan kurma sesuai diambil ketika perut kosong serta membantu menyediakan sistem penghadaman untuk menerima makanan seterusnya.Madu pula dikenali sebagai bahan semula jadi yang kaya dengan sifat antibakteria dan antioksida. Dari perspektif fisiologi, madu membantu melindungi lapisan mukosa perut dengan merangsang penghasilan mukus dan mengurangkan keradangan. Sifat antioksida dalam madu juga berperanan penting dalam meneutralkan radikal bebas, sekali gus mengurangkan tekanan oksidatif dan keradangan pada dinding gastrik untuk menjamin penghadaman yang lebih baik. Kajian turut menunjukkan madu berpotensi menghalang pertumbuhan Helicobacter pylori, bakteria yang sering dikaitkan dengan gastritis dan ulser peptik, sekali gus menyokong proses penyembuhan mukosa gastrik. Hal ini dibantu oleh kandungan hidrogen peroksida dan tahap keasidan (pH) madu yang tinggi, yang mewujudkan persekitaran tidak sesuai untuk bakteria tersebut membiak.

Susu, yang juga termasuk dalam amalan pemakanan Rasulullah SAW bertindak sebagai penimbal asid apabila diambil dalam kuantiti sederhana. Protein dalam susu membantu meneutralkan asid gastrik, manakala kandungan kalsium menyokong fungsi otot licin salur gastrointenstinal. Lemak dalam susu turut memperlahankan pengosongan gastrik dan mengurangkan rangsangan hormon gastrin, sekali gus membantu mengawal rembesan asid perut, terutamanya bagi individu yang mempunyai perut sensitif. Kandungan lemak yang ada dalam sesetengah jenis susu (seperti susu kambing) juga memberikan mempunyai memberikan kelebihan fisiologi yang ketara kepada kesihatan perut. Susu kambing mempunyai kandungan asid lemak rantai sederhana yang tinggi dan jika dibandingkan asid lemak rantai panjang, ia merupakan struktur lemak yang lebih ringkas yang membolehkan ia dihadam dengan lebih pantas, sekali gus mengurangkan beban kerja otot perut dan memendekkan tempoh pendedahan dinding perut kepada asid gastrik. Asid lemak rantai sederhana juga lebih mudah diserap oleh dinding usus dan dihantar terus ke hati untuk ditukarkan kepada tenaga tanpa membebankan sistem pencernaan.

Habbatus sauda atau Nigella sativa pula terkenal sebagai bahan yang mempunyai kesan anti-radang dan gastroprotektif. Dari sudut fisiologi, thymoquione yang merupakan komponen aktif dalam habbatus sauda meningkatkan tahap antioksidan dalaman untuk mengurangkan tekanan oksidatif yang berpunca daripada aktiviti radikal bebas sekali gus melindungi mukosa perut daripada kerosakan akibat asid. Kesan ini menjadikannya berpotensi sebagai sokongan semula jadi dalam pengurusan masalah gastrik, walaupun ia bukan pengganti rawatan perubatan.

Islam juga mengajar adab minum air secara perlahan dan berperingkat. Amalan ini sejajar dengan fisilogi perut kerana pengambilan air secara mendadak boleh menyebabkan distensi gastrik yang berlebihan dan menganggu koordinasi pergerakan otot perut. Minum secara sederhana membantu pembentukan chyme yang lebih baik, menyokong rembesan enzim pencernaan dan memudahkan proses pencernaan secara kesuluruhan.

Selain itu, sunnah untuk berhenti makan sebelum kenyang mempunyai implikasi fisiologi yang penting. Makan secara berlebihan akan meningkatkan tekanan dalam perut, merangsang rembesan asid secara berlebihan dan melemahkan fungsi aesophogus sphinter bawah, yang seterusnya meningkatkan risiko refluks asid. Dengan mengamalkan kesederhanaan, perut dapat berfungsi dalam keadaan optimum, selari dengan konsep ”gastric accommodation” yang menjaga keseimbangan antara pengambilan makanan dan kapasiti perut.

Pemilihan makanan dan cara makan dalam islam dipandu oleh wahyu dan sunnah Rasullulah SAW, yang terbukti selari dengan prinsip fisiologi sistem penghadaman. Antara amalan utama ialah makan secara sederhana dan tidak berlebihan, sebagaimana sabda Rasullulah SAW.

”Tidak ada bekas yang lebih buruk diisi oleh manusia selain perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suapan untuk menegakkan tulang belakangnya. Jika dia perlu (menambah), maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk nafas.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Kesimpulannya, amalan pemakanan sunnah bukan sahaja membawa nilai ibadah, malah terbukti selari dengan prinsip fisiologi sistem penghadaman. Gabungan antara ilmu perubatan dan sunnah ini mendekatkan bahawa penjagaan kesihatan perut adalah sebahagiaan daripada gaya hidup seimbang yang menjaga kesejahteraan fizikal dan rohani.

Artikel ini disediakan oleh Dr Nur Nabilah Binti Abu Bakar (Pensyarah Fisiologi) dan Dr Wan Noraini Wan Sulaiman (Pensyarah Klinikal Biokimia) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.

S

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box