Tibi pendam : Ancaman senyap, bom jangka kesihatan anda – Dr Mohd Aizuddin Abd Rahman

Apabila mendengar perkataan “tibi”, ramai membayangkan batuk berdarah dan penyakit yang mudah berjangkit. Namun, tahukah anda bahawa seseorang boleh dijangkiti kuman tibi tanpa menunjukkan sebarang gejala? Inilah yang dikenali sebagai Tibi Pendam atau Latent Tuberculosis Infection (LTBI) – bom jangka senyap dalam tubuh yang boleh “meletup” bila-bila masa jika tidak dirawat.

Apa Itu Tibi Pendam?

Tibi pendam berlaku apabila seseorang dijangkiti bakteria Mycobacterium tuberculosis, tetapi sistem imun berjaya mengawal kuman tersebut daripada menyebabkan penyakit aktif. Individu ini tidak bergejala dan tidak menjangkiti orang lain, namun kuman tersebut masih “tidur” dalam tubuhnya.

Walaupun kelihatan sihat, individu dengan LTBI berisiko untuk mendapat tibi aktif pada masa hadapan, terutama jika sistem imun menjadi lemah – contohnya akibat diabetes, jangkitan HIV, usia tua, rawatan kemoterapi atau ubat-ubatan imunosupresif.

Siapa berisiko menghidap tibi pendam?

Antara golongan berikut adalah berisiko tinggi dan perlu menjalani saringan LTBI:

  • Kontak rapat kepada pesakit tibi aktif
  • Pesakit HIV/AIDS
  • Kanak-kanak di bawah 5 tahun yang tinggal serumah dengan pesakit tibi
  • Pesakit yang menjalani dialisis atau mempunyai penyakit kronik seperti diabetes
  • Individu di institusi tertutup seperti penjara, pusat jagaan warga emas atau pusat tahanan

Pelan National Strategic Plan to End TB 2021–2030 turut menekankan keperluan memperkukuh pengurusan rawatan pencegahan TB, termasuk LTBI, sebagai strategi utama dalam membasmi tibi di Malaysia menjelang 2030.

Bagaimana tibi pendam boleh dikesan?

Tibi pendam tidak dapat dikenal pasti melalui gejala atau x-ray dada sahaja. Ujian khusus diperlukan untuk mengesan jangkitan ini:

  • Ujian Mantoux (Tuberculin Skin Test – TST): suntikan kecil di bawah kulit dan pemerhatian selepas 48-72 jam
  • Interferon-Gamma Release Assay (IGRA): ujian darah yang lebih spesifik, namun tidak selalu tersedia di fasiliti kesihatan asas

Jika salah satu ujian di atas menunjukkan jangkitan tetapi individu tersebut tidak bergejala dan x-ray dada adalah normal, maka besar kemungkinan dia menghidap tibi pendam.

Perlukah saya mengambil rawatan untuk tibi pendam?

Ya, rawatan tibi pendam sangat digalakkan untuk mencegah perkembangan kepada tibi aktif. Rawatan yang lengkap boleh mengurangkan risiko perkembangan kepada tibi aktif sehingga 90%, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

Antara regimen rawatan yang disarankan ialah:

  • Isoniazid sahaja selama 6–9 bulan, atau
  • Gabungan Isoniazid dan Rifampicin selama 3–4 bulan

Apa yang boleh dilakukan?

  1. Kenal pasti risiko anda. Jika pernah tinggal serumah dengan pesakit tibi, maklumkan kepada doktor.
  2. Dapatkan saringan tibi pendam jika tergolong dalam kumpulan berisiko, walaupun anda sihat.
  3. Ikuti rawatan sepenuhnya sekiranya disahkan menghidap tibi pendam.
  4. Sebarkan maklumat. Ramai dalam komuniti masih tidak menyedari bahawa tibi pendam wujud dan boleh dirawat.

Penutup

Tibi bukan hanya penyakit orang miskin atau sejarah silam. Ia masih wujud di sekeliling kita. Tibi pendam ialah bom jangka kesihatan – tidak bergejala, tetapi boleh menyebabkan penyakit serius jika tidak ditangani. Dengan saringan dan rawatan awal, kita bukan sahaja melindungi diri, malah membantu usaha negara membasmi tibi menjelang 2030.

Rujukan:

  1. Ministry of Health Malaysia. National Strategic Plan to End TB 2021–2030.
  2. Ministry of Health Malaysia. Garis Panduan Program Kawalan Tuberkulosis Kebangsaan, Edisi 4, 2021.
  3. UpToDate. Latent tuberculosis infection in adults: Approach to diagnosis.https://www.uptodate.com/contents/tuberculosis-infection-latent-tuberculosis-in-adults-approach-to-diagnosis-screening
  4. UpToDate. Treatment of latent tuberculosis infection in adultshttps://www.uptodate.com/contents/treatment-of-tuberculosis-infection-latent-tuberculosis-in-nonpregnant-adults-without-hiv-infection

Artikel ini ditulis oleh Dr Mohd Aizuddin bin Abd Rahman, Pakar Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Keluarga, IIUM Kuantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box