Pesakit yang mendapatkan bekalan ubat-ubatan untuk penyakit kronik di fasiliti kesihatan kerajaan mungkin sudah sedia maklum bahawa kebiasaannya ubat-ubatan akan diberikan secara separa. Pesakit atau waris perlu hadir semula ke fasiliti kesihatan untuk mendapatkan bekalan susulan yang seterusnya. Pembekalan secara separa ini bertujuan untuk membantu meningkatkan kepatuhan pesakit terhadap ubat-ubatan dan memastikan penggunaan ubat-ubatan tersebut adalah secara optimum.

Penggunaan teknologi untuk memudahkan pesakit
Program Perkhidmatan Farmasi (PPF), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil tindakan proaktif dengan memperkenalkan perkhidmatan nilai tambah (value-added service, VAS) farmasi untuk memudahkan proses pembekalan ubat susulan kepada pesakit. Secara umumnya, VAS bertujuan untuk mengurangkan masa menunggu pesakit di farmasi apabila hadir mendapatkan bekalan ubat susulan. Antara contoh VAS yang ditawarkan ialah Ubat Melalui Pos, Farmasi Pandu Lalu dan Perkhidmatan Lokar Ubat.
Seiring dengan kemajuan teknologi dan sambutan yang menggalakkan kepada perkhidmatan VAS, PPF, KKM telah mengambil pendekatan untuk memanfaatkan penggunaan aplikasi telefon pintar dalam proses pembekalan ubat susulan. Penggunaan aplikasi telefon pintar bukan sahaja dapat menjadikan proses pembekalan ubat susulan menjadi lebih lancar, malah, dapat meningkatkan lagi penggunaan VAS dalam kalangan pesakit.
Aplikasi MyUBAT

Menyedari manfaat yang dapat diperoleh daripada teknologi ini, PPF, KKM telah memperkenalkan satu aplikasi iaitu Sistem Pengurusan Pembekalan Ubat Susulan bagi Pesakit dari Fasiliti KKM, atau lebih dikenali sebagai MyUBAT. Aplikasi yang telah dilancarkan pada April 2021 ini bertujuan untuk memudahkan proses pembekalan ubat susulan kepada pesakit yang menghadapi kekangan masa dan tinggal di lokasi yang jauh.
Pesakit kronik boleh menggunakan aplikasi MyUBAT untuk memantau tarikh janji temu pembekalan ubat menerusi VAS yang dipilih. Sehingga kini, terdapat empat perkhidmatan pembekalan ubat susulan yang boleh dipilih oleh pesakit, iaitu Sistem Janji Temu di Kaunter, Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP), Perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu dan Perkhidmatan Lokar Ubat. Setiap perkhidmatan yang ditawarkan mempunyai kriteria tertentu yang perlu dipertimbangkan oleh pesakit.
Faedah penggunaan aplikasi MyUBAT
Pesakit kronik yang mendapatkan rawatan di fasiliti KKM disaran untuk memanfaatkan aplikasi MyUBAT kerana aplikasi ini dapat memudahkan proses pembekalan ubat susulan. Pembekalan ubat susulan yang berterusan dapat mengelakkan isu terputus bekalan ubat dan sekali gus membantu meningkatkan kepatuhan pesakit terhadap rawatan. Antara faedah aplikasi MyUBAT kepada pesakit, termasuklah:
- Memudahkan pengurusan tarikh janji temu pembekalan ubat susulan
Penggunaan aplikasi MyUBAT memudahkan pesakit memantau tarikh janji temu pembekalan ubat susulan menerusi aplikasi ini. Pesakit juga boleh memohon untuk menukar tarikh janji temu sekiranya tidak dapat hadir dan mempunyai komitmen yang lain pada tarikh yang ditetapkan.
- Menjimatkan masa pesakit
Penggunaan aplikasi MyUBAT dapat menjimatkan masa pesakit untuk hadir ke farmasi dan mengambil bekalan ubat susulan. Pembekalan ubat susulan menerusi VAS membolehkan ubat-ubatan disediakan lebih awal sebelum tarikh janji temu. Ubat-ubatan akan dibekalkan kepada pesakit tanpa mereka perlu menunggu lama.
- Mengurangkan kos perjalanan pesakit
Pesakit juga dapat menjimatkan kos perjalanan untuk hadir ke farmasi bagi mendapatkan bekalan ubat-ubatan dengan penggunaan VAS yang ditawarkan menerusi aplikasi MyUBAT. Sebagai contoh, pembekalan ubat melalui UMP membolehkan bekalan ubat-ubatan dihantar ke alamat pilihan tanpa pesakit perlu hadir ke farmasi. Pesakit hanya perlu membayar kos penghantaran tanpa perlu mengeluarkan kos pengangkutan. UMP juga dapat memberi kemudahan kepada pesakit yang tidak mempunyai pengangkutan untuk hadir ke fasiliti kesihatan.
- Memberi fleksibiliti kepada pesakit yang hadir ke farmasi untuk mendapatkan bekalan ubat susulan
Beberapa perkhidmatan yang terdapat dalam aplikasi MyUBAT dapat memberi kemudahan kepada pesakit untuk memilih waktu yang bersesuaian untuk mengambil atau menerima bekalan ubat-ubatan mengikut aktiviti harian mereka. Perkhidmatan Lokar Ubat membolehkan pesakit hadir selepas waktu bekerja kerana ubat-ubatan yang telah disediakan akan dibekalkan melalui penggunaan lokar. Perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu pula dapat mengelakkan isu kesukaran untuk mencari tempat letak kereta yang sememangnya menjadi cabaran di kebanyakan fasiliti kesihatan awam.
Nasihat untuk pesakit
Pesakit digalakkan untuk berbincang dengan ahli farmasi di fasiliti kesihatan mereka mendapatkan rawatan sebelum mendaftar sebagai pengguna aplikasi MyUBAT dan memilih perkhidmatan yang ditawarkan. Ahli farmasi akan membantu pesakit mengenal pasti perkhidmatan yang bersesuaian dan seterusnya menerangkan beberapa perkara penting berkaitan penggunaan aplikasi MyUBAT. Antara perkara yang boleh dibincangkan bersama-sama ahli farmasi termasuklah:
- Perkhidmatan pembekalan ubat susulan yang ditawarkan di fasiliti kesihatan tersebut,
- Perkhidmatan yang bersesuaian untuk pembekalan ubat susulan yang dimiliki oleh pesakit,
- Tempoh yang dibenarkan untuk pesakit membuat permohonan pembekalan ubat susulan melalui MyUBAT.
Pesakit dinasihatkan untuk membuat permohonan pembekalan ubat susulan melalui aplikasi MyUBAT dalam tempoh yang telah dimaklumkan oleh ahli farmasi. Tempoh permohonan ini mungkin berbeza mengikut fasiliti dan perkhidmatan yang dipilih. Permohonan pada saat-saat akhir akan menyebabkan pembekalan tidak dapat dilakukan melalui MyUBAT dan pesakit akan diminta untuk hadir ke farmasi.
Selepas memohon untuk pembekalan ubat susulan menerusi aplikasi MyUBAT, pesakit hendaklah sentiasa peka kepada notifikasi yang dihantar oleh fasiliti kesihatan yang telah dipilih. Respons terhadap notifikasi yang diterima dalam kadar yang segera dapat membantu memudahkan urusan pembekalan ubat-ubatan. Pesakit juga disaran untuk segera menghubungi ahli farmasi di fasiliti kesihatan yang berkenaan sekiranya mendapat notifikasi yang memerlukan perbincangan lanjut.
Pembekalan ubat yang berterusan dan kepatuhan pesakit terhadap pengambilan ubat-ubatan adalah penting untuk mengawal penyakit, seterusnya meningkatkan tahap kesihatan serta kualiti hidup pesakit. Aplikasi MyUBAT merupakan satu inovasi yang dapat memudahkan proses pembekalan ubat susulan dan mengelakkan masalah terputus bekalan ubat-ubatan. Oleh sebab itu, pesakit amat digalakkan untuk menggunakan aplikasi MyUBAT bagi mendapat manfaat daripada aplikasi ini. Pesakit boleh melayari laman web https://myubat.pharmacy.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat tentang aplikasi MyUBAT.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Disediakan oleh Puan Nor Aziana binti Senin (Pegawai Farmasi Klinik Kesihatan Parit Raja, Batu Pahat) untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.
