Pendekatan Terapi Asertif dalam Merawat Pesakit Mental Melalui Pendekatan Rawatan Terapi Carakerja – Nor Hayati Rahmat

Mereka yang menghadapi penyakit mental seperti neurosis dan psikosis kronik biasanya tidak asertif. Asertif bermaksud keupayaan menyatakan tidak kepada sesuatu permintaan, pesakit menyedari dan faham bahawa bertindak asertif tidak mengakibatkan seseorang kehilangan rakan, mencetuskan persengketaan dan sebagainya.

Malah, ia menyebabkan seseorang itu lebih dihormati, disegani dan tidak mudah diperkotak-katikkan oleh orang lain di mana pesakit mudah berasa tertekan.

Terapi Asertif merupakan terjemahan dari  istilah assertiveness atau  assertion, yang ertinya titik tengah antara perilaku non asertif dan perilaku agresif. Frensterhim dan Baer, mengatakan bahawa orang yang memiliki tingkah laku atau perilaku asertif orang yang berpendapat dari orientasi dari dalam, memiliki kepercayaan diri yang baik, dapat mengungkapkan pendapat dan ekspresi yang sebenarnya tanpa rasa takut dan berkomunikasi dengan orang lain secara lancar. Sebaliknya orang yang kurang asertif adalah mereka yang memiliki ciri terlalu mudah mengalah atau lemah, mudah tersinggung, cemas, kurang yakin pada diri sendiri, sukar mengadakan komunikasi dengan orang lain, dan tidak bebas mengemukakan masalah atau hal yang telah dikemukakan.

Nelson dan Jones (2006) menjelaskan bahawa perilaku asertif adalah perilaku yang merefleksikan rasa percaya diri dan menghormati diri sendiri dan orang lain. Hal ini sejalan dengan pengertian perilaku asertif yang dikemukakan oleh Alberti dan Emmons.

Perilaku asertif meningkatkan kesetaraan dalam hubungan sesama manusia, yang memungkinkan kita untuk menunjukkan minat terbaik kita, berdiri sendiri tanpa harus merasa cemas, mengekspresikan perasaan kita dengan jujur dan nyaman, melatih keperibadian kita yang sesungguhnya tanpa menolak kebenaran daripada orang lain.

Terapi Asertif merupakan penerapan latihan tingkah laku yang dijalankan oleh terapi carakerja dengan sasaran membantu individu-individu dalam menggalakkan cara-cara bersosial secara langsung dalam situasi-situasi interpersonal. Fokusnya adalah mempraktikkan melalui permainan dan aktiviti-aktiviti berkumpulan di mana kaedah bergaul sehingga pesakit-pesakit  mampu mengatasi tingkahlaku yang pasif dan belajar untuk mengungkapkan perasaan dan fikiran  mereka secara lebih terbuka disertai keyakinan bahawa mereka berhak untuk menunjukkan reaksi-reaksi yang terbuka itu.

Teknik terapi asertif  yang dijalankan oleh terapi carakerja bertujuan untuk menjelaskan bahawa terapi asertif membantu pesakit untuk  belajar  sosial kendiri  yang diperlukan untuk mengekspresikan diri mereka dengan tepat.

Setiap perlakuan atau latihan yang diberikan tentu memiliki berbagai manfaat bagi individu yang menggunakannya. Menurut pendapat Corey (2009), manfaat latihan asertif iaitu membantu bagi orang-orang yang:

  • tidak mampu mengungkapkan kemarahan dan perasaan tersinggung;
  • menunjukkan kesopanan yang berlebihan dan selalu mendorong orang lain untuk mendahuluinya;
  • memiliki kesulitan untuk mengatakan “tidak”;
  • mengalami kesulitan untuk mengungkapkan  respon-respon positif  di mana pesakit-pesakit tidak punya hak untuk memiliki perasaan-perasaan dan pemikiran sendiri.

Berdasarkan pendapat di atas, kesimpulan yang dapat dibuat daripada menjalankan terapi asertif ini dalam rawatan pesakit-pesakit yang mempunyai masalah mental adalah membantu meningkatan kemampuan berkomunikasi melalui apa yang diinginkan, dirasakan dan difikirkan pada orang lain namun tetap menjaga dan menghargai hak-hak serta perasaan orang lain.

Oleh: Nor Hayati Rahmat, Jurupulih Perubatan Carakerja, PPUM

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box