Pembedahan Laparoskopik: Perkara Terbaik Dalam Hidup Adalah Kecil – Dr Agilan & Dr Selva

Sumber: middlegeorgiasurgery.com

Sumber: middlegeorgiasurgery.com

Anda mungkin pernah dengan pepatah “Perkara terbaik dalam hidup adalah percuma”. Hari ini, kita akan perkenalkan pepatah baru: “Perkara terbaik dalam hidup adalah kecil”. Sedia?

Ramai wanita akan mengalami sekurangnya satu pembedahan dalam seumur hidup. Sama ada pembedahan kecil atau besar, melalui pembedahan merupakan mimpi ngeri. Pada umur 60 tahun, 1 dalam 3 wanita akan pernah melalui histerektomi (pembuangan rahim secara pembedahan). Menakutkan, betul? Kaedah tradisional pembedahan ginekologi (pembedahan yang melibatkan organ reproduktif wanita) melibatkan insisi (potongan) kulit yang besar, menyakitkan, dan masa pemulihan yang panjang. Kadar pemulihan yang perlahan bermaksud kehilangan masa berkualiti bersama keluarga, personal, atau profesional. Bagi sesetengah pesakit, ini juga bermaksud kehilangan pendapatan.

Berita baiknya ialah, pembedahan ginekologi telah berkembang begitu jauh sehingga frasa tradisional ‘insisi kulit besar, menyakitkan dan pemulihan perlahan’ telah kini menjadi ‘lubang kecil, hampir tidak menyakitkan, dan keluar hospital pada hari seterusnya’.

Prosedur ini dinamakan pembedahan laparoskopik atau pembedahan lubang kunci. Tahukah anda, pembedahan laparoskopik telah dilaporkan sejak 1930an tetapi masih ramai wanita tidak mengetahui tentangnya? Kini, tidak lagi.

Laparoskopi biasanya memerlukan 2 hingga 4 insisi ‘lubang kunci’ pada abdomen (perut). Meskipun kecil, peralatan seperti laparoskop (alat nipis berupa teleskop), gunting, dan ‘grasper’ digunakan dalam menjalankan pembedahan ini.

Kini, kebanyakan pembedahan ginekologi boleh dijalankan secara laparoskopik. Sesetengah pembedahan barah ginekologi turut dijalankan menggunakan kaedah ini!

Pembedahan laparoskopik ginekologi yang biasa dilakukan adalah:

  • Histerektomi (pembuangan rahim)
  • Miomektomi (pembuangan fibroid dari rahim)
  • Sistektomi (Pembuangan sista dari ovari)
  • Laparoskopi diagnostik (pembedahan untuk mendapatkan diagnosis seperti kesakitan bahagian pelvik atau sebahagian daripada rawatan kemandulan)
  • Pengikatan tiub peranakan (sterilisasi kekal bagi wanita)
  • Pembedahan berkaitan kesuburan (pembedahan bagi membantu wanita hamil)
  • Pembedahan endometriosis
  • Pembedahan pembetulan prolaps (jatuh) uterus/rahim
  • Pembedahan barah (barah rahim dan serviks)

Anda mungkin hairan bagaimana pembedahan laparoskopik boleh dilakukan dengan ‘lubang kecil, hampir tidak menyakitkan, dan keluar hospital pada hari seterusnya’? Anda tidak keseorangan dan ini hanya salah satu soalan yang pernah ditanya. Soalan yang sering ditanyakan (FAQs) termasuk:

Bagaimana rupa parut pembedahan saya?

Abdomen anda biasanya akan terdapat 2-4 lubang bersaiz 0.5 hingga 1cm. Luka ini selalunya pulih dengan baik.

Adakah cara lain untuk menjalankan pembedahan dengan parut yang lebih kecil?

YA, terdapat cara untuk melakukannya. Prosedur ini dinamakan Pembedahan Laparoskopik Insisi Tunggal (Single Incision Laparoskopik Surgery) di mana hanya SATU potongan sepanjang 2cm dilakukan di bahagian pusat. Tetapi, cara ini tidak sesuai untuk semua jenis pembedahan.

Pembedahan melalui lubang kecil? Betul ke?

Kami bukanlah ahli silap mata. Peralatan kecil dan halus digunakan dalam pembedahan ini. Laparoskop membolehkan organ-organ dalaman dilihat secara terperinci dan dibesarkan pada skrin TV. Pembedahan laparoskop memerlukan pakar bedah mengendalikan peralatan dengan handal, oleh itu tidak semua pakar bedah akan menawarkan pembedahan ini.

Mengapakan kesakitan berkurangan dengan laparoskopi?

Pembedahan tradisional (laparotomi) memerlukan luka besar dibuat untuk mendapat akses kepada organ dalaman. Sebaliknya, laparoskopi hanya perlukan tebukan lubang kecil. Oleh demikian, kesakitan selepas pembedahan disebabkan pemulihan luka lebih teruk selepas pembedahan tradisional daripada selepas laparoskopi.

Seawal bila boleh saya berjalan selepas pembedahan?

Anda boleh berjalan semula pada hari yang sama! Oleh sebab kesakitan selepas pembedahan adalah sedikit, anda boleh berjalan sebaik sahaja tiada lagi rasa pening kesan ubat bius.

Keluar hospital hari seterusnya”, adakah ini mungkin?

YA sama sekali! Tetapi ianya bergantung pada jenis pembedahan yang dilakukan. Anda boleh pulang ke rumah sehari selepas pembedahan besar seperti histerektomi. Perkara ini dicapai dengan pemulihan fungsi usus yang lebih cepat dan kesakitan yang sangat sedikit Bagi sesetengah jenis pembedahan, pesakit boleh pulang pada hari yang sama selepas pembedahan. Secara umum, 1-2 malam di hospital selepas pembedahan boleh dijangka.

Bagaimana untuk tahu sekiranya laparoskopi atau pembedahan convensional lebih sesuai untuk saya?

Pembedahan laparoskopi boleh mengurangkan kemungkinan pembentukan pelekatan (tisu parut pada bahagian dalam abdomen). Ketika laparoskopi, hanya peralatan halus digunakan dalam pembedahan, manakala ketika pembedahan tradisional, pakar bedah memasukkan tangan ke dalam abdomen. Oleh itu, pembedahan tradisional mempunyai kemungkinan pembetukan pelekatan yang lebih tinggi. Ini adalah penting sekiranya anda merancang untuk mengandung kerana pelekatan pada bahagian tiub Fallopian dan ovari boleh memberi kesukaran untuk hamil.

Adakah pembedahan laparoskopik selamat?

Mana-mana pembedahan, tidak kira kecil atau besar, mempunyai risiko-risikonya sendiri. Pada laparoskopi, visual yang diperbesarkan membantu pakar melihat organ-organ dalaman dengan lebih jelas. Ini boleh mengurangkan pendarahan. Tambahan pula, risiko jangkitan boleh dikurangkan kerana organ-organ dalaman tidak terdedah pada udara bilik. Penggunaan pakar peralatan pembedahan boleh memberi hasil pembedahan yang lebih baik. Secara ringkasnya, kemahiran pakar bedah laparoskopik menentukan hasil pembedahan tersebut.

Para wanita, saya harap sekarang anda mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang pembedahan laparoskopik. Saya berharap anda boleh menghargai kebaikan yang dibawa. Semoga Tuhan jauhkan, sekiranya anda memerlukan pembedahan ginekologi pada masa hadapan, anda boleh minta pakar ginekologi anda untuk pembedahan laparoskopi dan bincangkan semua pilihan yang ada. Jangan dapatkan parut yang besar tanpa sebab munasabah dan buat saya kata “Kan saya dah cakap…”

Ingat, “Perkara terbaik dalam hidup adalah kecil.”

Rencana ini ditulis oleh Dr Agilan (MRCOG) and Dr Selva (FRCOG) dan diterjemahkan dari yang asal di pautan https://www.mmgazette.com/lap rascopic-surgery-the-best-things-in-life-are-small-dr-agilan-dr-selva/ oleh Nur Nadhirah.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box