Masalah Cairan Faraj: Putih Tidak Semestinya Suci – Dr Ayu Akida

Sumber: www.theguardian.com

Sumber: www.theguardian.com

Seperti pepatah Inggeris, sharing is caring, dan wanita merupakan golongan yang sangat penyayang. Namun salah satu perkara kita jarang suarakan (tetapi selalu ambil berat) adalah apabila merasakan sesuatu tidak kena di bahagian sulit. Rasa malu, bersalah, stigma, atau apa-apa yang mungkin, hal ini bukanlah sesuatu yang ingin dibincang ketika sesi minum kopi atau sesi sembang mingguan bersama sahabat wanita lain. Tetapi perkara ini masih perlukan perhatian. Oleh itu, demi pencerahan, mari kita kupas isu discaj keputihan faraj.

Keputihan atau lendir yang keluar dari faraj sebenarnya aduan yang biasa diterima di pusat perubatan primer. SEMUA wanita akan mengalami keputihan pada satu ketika dalam hidup mereka. Wanita tidak perlu berasa malu tentang hal ini. Biasanya perkara ini sesuatu yang normal dan disebabkan fungsi fisiologi badan. Cairan faraj biasanya putih atau jernih dan tidak berbau busuk. Cairan faraj normal juga dikenali sebagai cairan vagina fisiologi.

Badan wanita adalah unik, dalam erti kata lain ianya sedikit sebanyak dikawal hormon. Hormon-hormon ini melalui kitaran perubahan (yang memainkan peranan dalam kesuburan dan kitaran haid). Oleh demikian, cairan faraj fisiologi (baca: normal) bermaksud badan wanita mengalami cairan berlendir yang dipengaruhi hormon dalam badan. Selain proses badannya sendiri, wanita turut mengalami cairan faraj jika dia mengambil hormon perancang keluarga, yang seterusnya menyebabkan perubahan dalam kitaran hormon dalam badan. Apabila wanita meningkat umur, hormon-hormon ini akan berkurangan dan ini akan mengurangkan kadar pengeluaran cairan faraj.

“Bagaimana saya tahu apa yang normal dan apa yang tidak? Pfftt, saya bukan doktor..” ini salah satu frasa yang biasa didengar. Syabas kepada wanita yang mempunyai naluri untuk tahu bila mereka perlukan nasihat perubatan untuk keadaan mereka; tapi bagi mereka yang mungkin kabur atau keliru, berikut adalah senarai gejala yang menandakan perlunya rawatan doktor secepat mungkin:

  1. Kadar keputihan semakin meningkat.
  2. Perubahan warna: cairan mungkin berwarna kuning – hijau kekuningan.
  3. Perubahan kepekatan: cairan berketul.
  4. Cairan berbau busuk atau masam.
  5. Cairan berdarah
  6. Terdapat gejala lain yang berkaitan seperti demam, kegatalan, keradangan, sakit ketika membuang air kecil, sakit di bahagian bawah abdomen, pengurangan berat badan tanpa sebab, sakit ketika senggama atau pendarahan selepas senggama.

Apakah maksud senarai ini sebenarnya? Tanda – tanda ini merupakan amaran yang menandakan perlunya perhatian mendalam kepada permasalahan yang ada. Namun apa yang ia benar-benar memberitahu ialah rawatan perubatan diperlukan segera kerana mungkin berlaku salah satu yang dinyatakan dibawah

  1. Jangkitan bukan penyakit kelamin: Terdapat pelbagai jangkitan yang boleh menyebabkan cairan faraj tetapi biasanya dikaitkan dengan gejala lain, bergantung kepada jenis mikroorganisma terlibat. Biasanya Candidiasis dan jangkitan Bacterial vaginosis.
    • Candidiasis merupakan jangkitan kulat yang mengakibatkan cairan faraj berketul dan keputihan diikuti kegatalan dan rasa pedih. Kemungkinan mendapat jangkitan ini meningkat sekiranya wanita tersebut menghidapi diabetes mellitus, mengambil antibiotik, atau tekanan.
    • Bacterial vaginosis sering menyebabkan pengeluaran cairan berlebihan berwarna kelabu dan berbau hanyir. Jangkitan ini selalunya tidak dikaitkan dengan kegatalan.
  2. Jangkitan kelamin (STI): Jangkitan organisma seperti Neisseria gonorrhea (mengakibatkan gonorrhea) dan Chalmydia trachomatis (mengakibatkan chlamydia).
  3. Penyakit Radang Pelvik (PID): Istilah yang luas untuk jangkitan yang memberi kesan kepada organ reproduktif wanita dan turut meliputi pelbagai jenis jangkitan, biasanya jangkitan kelamin. Tapi ia juga boleh disebabkan oleh perebakan jangkitan dari sumber lain seperti melalui darah atau penggunaan intra-uterine device untuk tujuan perancangan keluarga.
  4. Kanser: Kanser pangkal rahim boleh memberi tanda-tanda lain tetapi yang kerap dilihat pesakit yang mengalami cairan vagina berwarna perang atau cairan berdarah.
  5. Penyebab-penyebab lain termasuk tampon atau kondom yang ditinggalkan terlalu lama, alahan kimia, tindak balas alahan, perubahan atrophic dan ectropion.

Terdapat penyebab lain untuk cairan faraj. Pada tahap ini, yang paling penting adalah untuk memeriksa diri untuk tanda-tanda amaran. Langkah seterusnya, dapatkan pemeriksaan perubatan yang melibatkan sesi soal-jawab oleh doktor diikuti pemeriksaan fizikal. Doktor juga mungkin akan meminta beberapa ujian dijalankan untuk memberi diagnosis yang tepat untuk memberi rawatan terbaik sedia ada. Bagi mereka yang segan untuk pergi pemeriksaan, yakinlah pemeriksaan ini sama di mana-mana, dan doktor anda tidak melakukan sesuatu diluar kebiasaan, hanya kesihatan anda diutamakan.

Sumber: www.babyhopes.com

Sumber: www.babyhopes.com

Jika anda tidak pernah mengalami cairan faraj atau telah sembuh dari jangkitan, terdapat langkah-langkah untuk mengurangkan kemungkinan jangkitan atau jangkitan semula. Amalan kebersihan diri yang baik adalah perlindungan baris pertama. Penjagaan kebersihan bahagian sulit dan memastikannya kering adalah sangat penting. Sentiasa ingat dan jalankan pengamalan seks selamat seperti menggunakan kondom untuk mengelakkan jangkitan kelamin dan sedar akan amalan seks pasangan anda.

Paling penting, kenali badan anda dan perhatikan apa-apa perubahan yang berlaku. Sekiranya perlu, dapatkan bantuan perubatan secepat mungkin. Pada masa akan datang jika ada sahabat, saudara, atau anda sendiri berada dalam keadaan begini, rujuklah semula kepada laman ini.

Dr. Ayu Akida adalah seorang pakar kesihatan awam yang mempunyai minat dalam perubatan keluarga dan kesihatan wanita. Ketahui beliau dengan lebih lanjut dalam laman The Team. Artikel ini telah diterjemah daripada https://www.mmgazette.com/vaginal-discharge-when-all-is-not-rosy-dr-ayu-akida/ oleh Nur Nadhirah.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

 

Rujukan:

  • Spence, D, & Melville, C 2007, ‘Vaginal discharge’, BMJ (Clinical Research Ed.), 335, 7630, pp.1147-1151, MEDLINE with Full Text, EBSCOhost, viewed 21 October 2013.
  1. French, L, Horton, J, & Matousek, M 2004, ‘Abnormal vaginal discharge: what does and does not work in treating underlying causes’, The Journal Of Family Practice, 53, 11, pp. 890-894, MEDLINE with Full Text, EBSCOhost, viwed 21 October 2013

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box