Susu Badan Berdarah: Adakah ia Selamat? – Dr Nurjasmine Aida Jamani & Dr Hasbullah Mohamad

472676516_XSPenyusuan susu ibu adalah fitrah dan merupakan makanan yang terbaik bagi bayi. Ia memberi pelbagai manfaat kesihatan kepada si ibu dan juga bayinya. Penyusuan susu ibu juga boleh diteruskan sekiranya ibu bekerja dengan membekalkan susu perahan kepada bayi. Pemerahan susu ibu amat digalakkan bagi ibu-ibu yang bekerja untuk dijadikan bekalan ketika bayi dijaga oleh pengasuh bagi meneruskan penyusuan secara eksklusif selama 6 bulan. Pelbagai cara yang boleh digunakan ketika memerah susu ibu samada perahan secara tangan, pam manual atau elektrik. Sudah menjadi lumrah, hasil perahan susu ibu ada pasang surutnya dan juga masalahnya yang tersendiri.

Antara masalah yang dihadapi oleh para ibu adalah susu bertukar warna kepada merah jambu seolah-olah bercampur darah sehingga menimbulkan kesangsian kepada si ibu samada ia selamat diminum oleh bayi mereka atau seeloknya dibuang. Ia juga mendatangkan rasa gelisah kepada ibu samada ia merupakan tanda awal pada masalah yang lebih besar dan merbahaya seperti kanser. Tetapi jika ia dibuang, pasti terasa sayang kerana nilai usaha untuk setitik susu ibu amatlah berharga. Jadi, apa harus dibuat sekiranya ini berlaku?

Faktor Penyebab Susu bercampur darah

Antara faktor penyebab kepada susu bercampur darah ialah:

1. Kecederaan kepada puting atau tisu payudara

Ini adalah antara penyebab yang seringkali terjadi. Susu yang mengandungi darah boleh berlaku akibat kecederaan seperti melecet atau luka pada puting dan tisu payudara akibat posisi dan lekapan bayi pada payudara yang tidak betul. Kekerapan memerah menggunakan pam sehingga menyebabkan puting payudara luka juga boleh menyumbang kepada masalah ini. Sekiranya ini berlaku, para ibu haruslah merawat keadaan puting yang luka itu kerana sekiranya tidak dirawat, dikhuatiri puting yang luka itu boleh menjadi punca kepada jangkitan payudara atau mastitis.

2. ‘Rusty pipe syndrome’

Keadaan ini juga dikenali sebagai sindrom paip berkarat, situasi yang sering berlaku terutamanya pada awal kelahiran atau penghujung kehamilan. Sindrom ini tidaklah berbahaya. Fenomena ini terjadi akibat peningkatan bekalan darah dan pembengkakan pada salur darah kepada sel-sel tisu alveoli (kantung susu). Selalunya keadaan ini beransur pulih sendiri tanpa memerlukan sebarang rawatan dalam tempoh 3-7 hari. Ibu masih boleh meneruskan penyusuan kepada bayi tanpa rasa was-was kerana kuantiti darah yang bercampur adalah sedikit untuk menyebabkan masalah kepada perut si kecil.

3. ‘Intraductal papilloma’

Ini adalah sejenis ketumbuhan kecil yang tidak merbahaya dalam saluran duktus payudara. Ia mengakibatkan lelehan berdarah yang tidak kerap, tidak sakit dan selalunya berlaku pada salah satu puting payudara. Keadaan ini boleh dirawat dengan kaedah pembedahan kecil. Sekiranya lelehan pada puting masih berdarah walaupun selepas pemberhentian susu ibu atau lelehan puting berdarah dengan semakin teruk semasa menyusu, si ibu dinasihatkan untuk berjumpa doktor bagi pemeriksaan lanjut.

4. Sebab-sebab lain

Antara sebab lain yang mungkin bermain di fikiran ibu-ibu adalah kanser payudara apabila mendapati terdapat lelehan darah pada puting atau susu bercampur darah. Kanser payudara adalah kanser yang boleh terjadi ketika hamil dan merupakan kanser kedua yang kerap terjadi ketika hamil selain kanser pangkal rahim. Kanser payudara yang dikaitkan dengan kehamilan didefinisikan sebagai kanser yng berlaku ketika tempoh hamil atau dalam masa setahun selepas kelahiran. Kebarangkalian ia berlaku adalah 1-3 kes dalam 10,000 wanita hamil dan selepas kelahiran. Kekerapan kes ini dikaitkan dengan peningkatan wanita yang menunda kehamilan mereka pada umur yang meningkat. Selalunya wanita yang mengalami kanser payudara akan menjumpai ketulan yang tidak menyakitkan pada payudara. Sekiranya ini terjadi, si ibu harus berjumpa dengan doktor dengan kadar segera untuk pemeriksaan dan siasatan lanjutan.

Pandangan Islam Tentang Susu Bercampur Dengan Darah

Islam adalah agama yang realistik dan tidak menyukarkan penganutnya. Dalam melaksanakan hukum taklifi (yang diwajibkan terhadap mukallaf), Islam mengambil kira kemampuan seseorang Muslim untuk melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan mereka di dalam agama. Namun jika sebaliknya, kedudukan akan berubah kepada rukhsah iaitu diberi beberapa kelonggaran apabila tidak memenuhi sepenuhnya syarat-syarat taklif tersebut. Rukhsah adalah satu bentuk kelonggaran dan keuzuran yang dibenarkan syarak yang bersifat terhad dalam satu-satu kes dengan justifikasi tertentu yang mewajarkannya berbanding dengan hukum asalnya (‘azimah).

Dalam persoalan ini, menurut al-Khatib al-Syirbini di dalam kitabnya al-Iqna’ dan Zainuddin al-Malibariy di dalam Fath al-Mu’in di dalam fiqh mazhab Syafii menyatakan bahawa secara umumnya darah di dalam kuantiti yang banyak adalah dikategorikan sebagai najis. Namun begitu terdapat beberapa jenis darah yang dimaafkan serta tidak dikategorikan sebagai najis disebabkan sama ada keadaannya yang amat sedikit (tidak mengalir), ataupun disebabkan kesukaran untuk mengasingkannya kerana ia bercampur baur dengan zat- seperti darah yang terdapat di dalam daging apabila haiwan tersebut disembelih (adalah sukar untuk dibuang darah daripada daging tersebut secara total). Maka ia termasuk dalam kategori darah (najis) yang dimaafkan (sebagai rukhsah yang tidak haramkan penggunaannya) sebagaimana di dalam kes susu ibu yang bercampur dengan sedikit kandungan darah, yang datang daripada badan ibu.

Justeru, di dalam kes ini ia dikiaskan kepada mana-mana bahagian yang sukar diasingkan ataupun yang terjadi hasil daripada sumber yang berkaitan dengan darah seperti proses penghasilan susu ibu tersebut, maka ia dimaafkan (dibolehkan). Ini kerana, nas syarak telah jelas menyatakan tentang pensyariatan menyusu di dalam Islam seperti di dalam surah al-Baqarah. Firman Allah:

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’ruf. Seseorang tidak akan dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan warispun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin menyapih, (berhenti susu badan), sebelum dua tahun, dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” Al-Baqarah:233

Maka kebenaran syarak untuk menggunakan susu ibu yang bercampur dengan sedikit darah, yang mempunyai kaitan dengan sumber datangnya darah itu, , maka ia adalah dibenarkan sesuai dengan kaedah fiqhal-nadir ka al-ma’dum” (yang amat sedikit/jarang-jarang adalah dikategorikan seolah-olah tiada/tidak wujud.”)

Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa susu yang bercampur darah, yang amat sedikit bahkan sukar diasingkan di antara keduanya, dan disahkan selamat untuk diminum oleh bayi adalah halal penggunaannya dan tidak diharamkan di atas sebab rukhsah tersebut. Sekiranya bayi tidak dapat menerima susu yang bercampur darah ini, si ibu boleh memerah payudara sehingga susu menjadi warna asal semula. Ini adalah kerana susu ini adakalanya bertindak sebagai bahan yang boleh meransang muntah yang menyebabkan sistem percernaan bayi tidak dapat menerima dengan baik.

Hakikatnya, penyusuan susu ibu amatlah baik dan perlu diteruskan. Walaubagaimanapun, sekiranya susu bercampur darah atau lelehan pada puting payudara ini tidak berkurangan dalam tempoh tujuh hari, anda dinasihatkan untuk menemui doktor untuk pemeriksaan dan siasatan lanjutan.

 

Artikel ini ditulis oleh:

Dr Nurjasmine Aida Binti Jamani

Dr Hasbullah Mohamad

 

Dr Nurjasmine Aida Binti Jamani adalah seorang Pakar/Pensyarah Perubatan Keluarga manakala Dr Hasbullah Mohamad adalah seorang Pensyarah Kanan Ilmu Teras dan Inter Disiplin Ilmu IIUM.

Rujukan:

  • Lawrence, R.A. (2005) Breastfeeding: A guide for the medical profession. 6th Edition, Mosby, St. Louis, 602-605
  • Mohrbacher N. (2010) Breastfeeding Answers Made Simple: A guide for helping mothers. 1st Edition . Hale Publishing, 702-703
  • Cacala S.R. Breast conditions during pregnancy and lactation. (2010). New Scientist.
  • Al-Malibariy, Zainuddin bin Abdul Aziz. (1988), FAth al-Mu’in, terj. Drs. Aliy As’ad. Klang: Klang Book Centre, 74-75.
  • Al-Qurtubi, Ahmad ibn Ahmad al-Ansari. (1995). Al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an. Jil. 2. Beirut: Dar al-Fikr, 153-156.
  • Al-Syirbini, Syams al-Din Muhammad Ibn Ahmad al-Khatib. (1996). Al-Iqna’ Fi Hal Alfaz Abi Syuja’. Jil. 2, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 99-100

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box