Malas Nak Teran! – Major (Dr) Che Hasnura

Sumber gambar: www.babble.com

Sepasang suami isteri yang kacak bergaya masuk ke bilik Jabatan Bidan dan Sakit Puan untuk temujanji antenatal biasa. Bakal ibu itu sudah dalam trimester terakhir dengan kehamilan yang normal. Semasa perbincangan mengenai kelahiran bayi, tiba-tiba dia membuat satu permintaan yang tak dijangkakan oleh doktor. “Doktor, bolehkah saya teruskan dengan pembedahan Caesarean?” Doktor dengan bersahaja menyoal balas, “Mengapa anda mahu dibedah sedangkan kehamilan sedang berlangsung dengan lancar?” Jawapan yang hampir-hampir memengsankan Tuan Doktor ialah “malaslah nak teran” dan Doktor hanya mampu menahan perasaan.

Reaksi doktor tadi sangatlah boleh difahami. Kadar pembedahan Caesarean telah meningkat dan di kebanyakan hospital di Malaysia, kadarnya mencecah 20-30% di hospital kerajaan dan hampir 60% di hospital swasta!

Permintaan si ibu, walaupun bukan inidikasi utama, menyumbang dengan banyaknya kepada pertambahan ini dan ia semakin meluas. Mungkin dengan masyarakat semasa yang mementingkan bentuk tubuh dan dengan salah anggap bahawa bersalin normal boleh menghodohkan tubuh badan dan sukar pula untuk pulih sediakala, mereka lebih tertarik untuk memilih pembedahan Caesarean dan kedengaran lebih logik pula. Ini belum dikira segelintir yang terlalu ‘mengada-ngada’ untuk menahan sakit meneran, hinggakan bersalin biasa itu ibarat sebuah cerita seram!

Kebanyakan doktor tidak benar-benar melayan permintaan ini tanpa indikasi perubatan yang mendesak tetapi golongan pesakit masa kini yang lengkap dengan ilmu ‘Google’, terpengaruh dengan selebriti dan bertegas dengan kepercayaan mereka akan mula menuntut hak, kebebasan memilih dan lain-lain lagi. Benar, tiada yang menafikan fakta yang pesakit bertanggung jawab ke atas tubuh sendiri tetapi, adakah mereka akan menerima takdir sekiranya ada kecelakaan atau kerumitan yang timbul akibat keputusan mereka selepas itu? Banyak kali berlaku mereka mendakwa yang mereka tidak diberitahu dengan selengkapnya akan akibat prosedur tersebut atau sewenang-wenangnya menuduh doktor berlaku cuai. Di sini letaknya kepentingan ‘izin bermaklum’ atau “informed consent” dan hendaklah diberikan terutamanya jika melibatkan kes-kes elektif yang tidak darurat.

Pembedahan Caesarean, walaupun prosedur yang paling selamat dan lazim dilakukan, bukanlah tidak berisiko atau berkomplikasi langsung. Bayangkan memilih pembedahan Caesarean atas pilihan si ibu tetapi berkesudahan duduk di dalam Unit Rawatan Rapi akibat ‘high spinal anaesthesia’, terpaksa membuang rahim akibat pendarahan yang tak terkawal, atau terpaksa diintubasi akibat emboli atau, yang paling dahsyat, maut!

Sumber: www.charitygiving.co.uk

Ia masih dikira pembedahan besar yang memerlukan bius. Bius yang paling biasa digunakan untuk Caesarean ialah bius spinal (tulang belakang) yang melibatkan sepucuk jarum kecil dimasukkan ke dalam ruang di celah tulang belakang. Risiko yang ada ialah prosedur gagal dan pesakit perlu diintubasi, ‘high spinal anaesthesia’ (bius menggagalkan saraf pernafasan) yang menyukarkan pernafasan dan mungkin tekanan darah merudum yang boleh membawa maut. Pembedahan itu sendiri memerlukan lapisan-lapisan abdomen dibelah menambah risiko pendarahan, kecederaan kepada organ berdekatan dan kemudiannya jangkitan yang kadang kala tak dapat dielakkan. Pasca pembedahan, pesakit boleh mendapat hernia, jangkitan pada luka, luka tak bercantum dan selanjutnya terpaksa dibedah sekali lagi untuk merawat komplikasi tersebut.

Kemudian ada juga kerumitan jangka panjang Caesarean. Rungutan seperti sakit pada tempat bedah, parut yang hodoh dan kurang keyakinan diri akibat parut adalah yang biasa kita dapati. Pesakit yang pernah melalui Caesarean lebih sukar untuk membuat keputusan untuk kehamilan berikutnya. Uri boleh melekat kuat, sehingga sukar tertanggal daripada dinding rahim semasa bersalin, kerap berlaku kepada ibu-ibu yang pernah melalui Caesarean. Ini boleh membawa maut akibat risiko pendarahan pasca bersalin yang teruk dan mungkin rahim itu perlu dibuang demi menyelamatkan nyawa. Satu mimpi ngeri kepada seluruh pasukan perubatan yang merawat dan sudah tentunya kepada pesakit sendiri. Ibu yang pernah melalui Caesarean dan cuba bersalin normal boleh mengalami parut terburai. Maka mereka terpaksa memilih untuk Caesarean sekali lagi. Pemilihan pesakit yang tepat boleh mengurangkan risiko ini. Dengan kadar kejayaan bersalin normal dalam lingkungan 70-80%, risiko parut terburai kurang daripada 1%, ini tidaklah terlalu membimbangkan.

Bayi itu sendiri boleh tercedera semasa kerja-kerja membuat bukaan pada rahim. Boleh dikatakan Caesarean tidak membahayakan bayi, tetapi mengeluarkan bayi yang kurang 39 minggu dikaitkan dengan kesukaran bernafas dan mereka perlu dimasukkan ke Penjagaan Khas.

Matlamat kita ialah mengurangkan risiko Caesaran kerana banyak kematian dan kecederaan yang berkait dengannya. Namun, hanya mengurangkan kadar tidak akan bermakna jika masyarakat sekeliling tidak mengubah cara berfikir mengenai isu ini, tidak kiralah pengamal perubatan atau pesakit sendiri. Tuhan telah menyusun atur kerja-kerja bersalin ini agar apa yang sepatutnya berlaku akan berlaku apabila tiba masanya dan dalam tertib yang sepatutnya. Sudah tentu, artikel ini TIDAK ditujukan kepada pihak-pihak yang benar-benar perlukan Caesaran. Untuk bakal ibu bapa, marilah kita pertimbangkan risiko ke atas diri dan anak kita dan janganlah terlalu pentingkan keselesaan diri, pilih nak bedah Caesarean, hanya kerana kita ini MALAS NAK TERAN!

Mejar (Dr) Che Hasnura seorang Pakar Perbidanan dan Sakit Puan yang pernah terlibat dalam misi-misi antarabangsa. Kenali beliau di laman The Team. Artikel ini diterjemah oleh Azizul Ismie Mohd Puad daripada https://www.mmgazette.com/too-posh-to-push-major-dr-che-hasnura/.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box