Histeria, Penyakit Mental dan Kerasukan – Dr Zul Azlin Razali

anger

Epidemik histeria

Selang beberapa lama, akan ada sahaja berita tentang kejadian histeria (hysteria) di sekolah-sekolah yang selalunya melibatkan pelajar perempuan dan kadangkala guru perempuan. Satu ketika dulu kecoh sebentar dengan isu kit anti-histeria. Sepanjang pengetahuan penulis, tidak diberitakan pun di dada akhbar wujudnya perbincangan secara professional dan akademik di antara golongan pengamal pengubatan Islam dan pakar psikiatri tentang isu ini. Lebih menyedihkan lagi di sosial media, ungkapan-ungkapan sinis dan sarkastik lebih banyak dihamburkan. Baru-baru ini, sekali lagi kita dihidangkan dengan khabar kejadian histeria di sebuah sekolah di selatan Selangor yang dikatakan berpunca setelah sebatang pokok lama ditumbangkan. Pelik?

Sejarah histeria

Kira-kira dua ke tiga abad dahulu di Eropah, konsep histeria merangkumi pelbagai simptom mental dan fizikal yang rencam, daripada jeritan dan amukan emosi sehinggalah epilepsy (sawan) dan neurosyphilis (jangkitan saraf otak oleh kuman penyakit kelamin). Kemudian dengan pengkajian sains yang semakin sistematik, perlahan-lahan histeria dibezakan daripada penyakit lain. Penemuan bakteria spirochaetes membezakan General Paresis of Neurosyphilis dari histeria. Sawan atau epilepsy tidak lagi dianggap hysteria sejajar dengan penciptaan mesin electroencephalogram (EEG). Histeria juga difahami sebagai satu manifestasi kehidupan sosial dan seksual wanita yang terperap di era Victorian (Micale 1993).

Pernah satu ketika Malaysia dilanda epidemik histeria di era 1980an. Revolusi perindustrian membawa anak-anak gadis dari kampung berhijrah ke bandar untuk memenuhi kekosongan pekerjaan di kilang-kilang. Faktor-faktor sosial dan psikologikal didokumentasikan sebagai punca-punca golongan ini kerap ditimpa gejala histeria (Ong 1988).

Histeria dalam psikiatri dan histeria yang umum faham

Dalam bidang psikiatri moden, terminologi histeria ini sudah tidak lagi digunakan. Antara sebab utamanya adalah, kesukaran untuk mendapatkan maksud yang tepat. Histeria yang difahami di dalam bidang psikiatri masa kini adalah Conversion Disorder dan Dissociative Disorders sahaja. Pada asalnya kedua-dua ini digolongkan sebagai Hysterical Neurosis sebelum wujudnya DSM III; wadah rujukan pakar-pakar psikiatri dan psikologi (Owen et al 2006).

Masyarakat umum fahami histeria adalah gejala kerasukan; gangguan makhluk halus atau jin. Malangnya perkataan histeria digunakan secara semberono, merangkumi pelbagai simptom termasuklah simptom-simptom yang tergolong dalam diagnosis yang merbahaya jika tidak dirawat segera seperti skizofrenia, kemurungan atau bipolar. Kalau diikutkan kamus Dewan, histeria juga dimaksudkan sebagai selap – hilang akal seperti tidak sedarkan diri, pengsan, pitam dan lain-lain kerana kerasukan. Maka gejala psikosis, serangan panik, amuk, pengsan, sawan (epilepsi?) dan sebagainya boleh dikira histeria. Merbahaya dan merisaukan.

Untuk seorang pesakit yang berhalusinasi seperti melihat lembaga ghaib atau mendengar suara halimunan; rawatannya samada doktor alopati atau pengamal pengubatan Muslim-‘ustadz’, bergantung kepada tahap kepercayaan dan pengetahuan pesakit itu atau keluarganya terhadap punca-punca kesihatan mental yang merudum. Lebih menarik, sang doktor tidak boleh mengatakan ini bukan pengaruh jin dan sang ustadz juga tidak boleh pasti bahawa ini tiada kena mengena dengan faktor biologi atau psikologi kerana masing-masing hanya tahu bidangnya sendiri.

unknownSains menolak spiritual?

Kepercayaan di dalam agama Islam menuntut kita; sama ada sebagai doktor atau ustadz, mempercayai kewujudan jin/syaitan dan pengaruhnya dalam kehidupan. Timbul persoalan, adakah simtom-simtom penyakit mental disebabkan faktor biologi-psikologi atau pengaruh jin/syaitan? Wujud satu golongan yang menolak faktor psikologi, maka anak-anak gadis yang dikatakan histeria itu tidak dinilai dan disiasat dari sudut psikologi secara menyeluruh dan tuntas. Mungkinkah mangsa histeria itu mengalami masalah di rumah yang dia terpaksa pendamkan? Ada kemungkinan dia dipaksa untuk ke sekolah itu? Adakah ahli keluarga yang lain mengalami simptom yang sama? (Sesetengah orang kata saka, tetapi mungkin juga genetic) Pelbagai persoalan yang mungkin mendasari pola pemikiran dan emosinya.

Golongan yang kedua pula menolak mentah-mentah faktor spiritual. Maka individu ini terus berusaha dengan rawatan perubatan arus perdana tanpa mengendahkan unsur-unsur spiritual. Individu daripada golongan ini merasakan tidak perlu untuk memperbaiki hubungan dengan ALLAH dan mengamalkan ayat-ayat Ruqyah yang termaktub di dalam hadith-hadith yang sahih.

Di dalam Islam, kita dipertanggungjawabkan untuk beramal berdasarkan wahyu yang tepat; Al-Quran dan hadith sahih. Muslim telah diberi panduan di dalam perkara spiritual dan ghaib seperti rasukan jin dan syaitan. Nabi SAW melarang untuk berlebihan-lebihan untuk menyabitkan makhluk halus sebagi punca masalah kehidupan. Diriwayatkan dari Abu Malih dari seorang lelaki, dia berkata, “Ketika aku menunggang di belakang Nabi s.a.w. tiba-tiba kenderaan (i.e unta) beliau tergelincir. Serta-merta aku katakan, “Celakalah syaitan.” Lalu beliau bersabda, “Jangan kamu katakan, “celakalah syaitan,” sebab jika kamu katakan seperti itu maka syaitan akan membesar sebesar rumah dan berkata, “Demi kekuatanku (engkau telah terjatuh),” Akan tetapi ucapkanlah “Bismillah,” sebab jika kamu ucapkan lafaz tersebut, syaitan akan mengecil hingga sekecil lalat,” (Hadith Riwayat Abu Dawud [4982], ditashihkan oleh Al Albani).

Rawatan holistik sebagai jawapan

Dalam bidang psikiatri, pendekatan biologi-psikologi-sosial menjadi paksi dalam memahami dan juga perawatan apa jua jenis penyakit. Satu lagi faktor penting yang perlu diambil kira iaitu spiritual. Akan tetapi komponen spiritual ini bukan jumud dalam kerangka gangguan makhluk halus atau jin sahaja tetapi melingkungi isu-isu lebih penting lagi seperti kefahaman ‘aqidah, akhlaq dan ritual-ritual yang mustahak. Jika dilihat secara objektif, nas-nas dari Al Quran, hadith dan sirah Nabawiyah tidak banyak menyentuh secara spesifik tentang keterlibatan secara langsung makhluk halus di dalam masalah manusia berbanding unsur-unsur yang lain. Selain daripada itu, perubatan Islam, adalah apa jua perubatan yang mengelakkan kemudharatan (mafsadah) dan memberi manfaat (maslahah), berlandaskan bukti-bukti sahih dan logikal selagi tidak melanggar syari’at (Omar Kasule 1995). Perubatan moden (termasuklah perubatan psikiatri) adalah perubatan Islam.

Dr. Zul Azlin Razali adalah Pakar Psikiatri Universiti Sains Islam Malaysia.

Rujukan:

  • Micale, M.S. On the “Disappearance” of Hysteria. A Study in the Clinical Deconstruction of a
  • Diagnosis. ISIS, 1993, 84: 496-526.
  • Omar Hassan Kasule. Islamic Medical Education Resources 01. 9505- Islamic Medicine: Concept and
  • Misunderstandings. 1995.
  • Ong, A. The production of possession: Spirits and multinational corporation in Malaysia. American
  • Ethnologist, 1988, 15 (1): 28-42.
  • Owens, C., & Dein, S. (2006). Conversion disorder: the modern hysteria. Advances in Psychiatric
  • Treatment, 12(2), 152-157.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box