COVID-19: Perkara Yang Boleh Dilakukan Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (Malaysia Movement Control Order) – Dr Farizah Hairi & Dr Zaki Hilmi

Pengurusan diri adalah perkara yang sangat penting dalam kehidupan setiap individu. Perkara ini penting bagi memastikan kehidupan seseorang itu berada dalam keadaan teratur dan seterusnya membantu mereka mencapai kejayaan yang mereka ingini.

Lebih-lebih lagi selepas Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia yang berkuatkuasa mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020, yang memberikan ruang kepada kita untuk berada di rumah seterusnya mempunyai lebih masa lapang kerana kebanyakan pejabat dan perniagaan terpaksa ditutup dalam tempoh tersebut.

 

Menetapkan Matlamat dan Halatuju Kehidupan Kita.

Antara elemen yang penting dalam pengurusan diri adalah kita perlu menetapkan matlamat dan hala tuju serta berusaha untuk mencapai matlamat yang diingini.

Salah satu petikan daripada Pirates of The Caribean: The Curse of The Black Pearl:

“Jika kita hendak menjumpai peta harta karun yang kita ingini, kita mestilah mempunyai idea dan perancangan tentang apa yang perlu dilakukan. Jika tidak, maka mustahil untuk kita mendapatkan harta karun yang kita ingini.”

Rangkap ini berkisar betapa pentingnya untuk kita merangka setiap apa yang kita hendak lakukan, supaya kita dapat memberi segala tumpuan kepada usaha kita untuk mencapai sesuatu kejayaan yang diingini.

Secara psikologinya, apabila kita sudah menetapkan matlamat kita dan bertekad untuk mencapainya, maka segala usaha dan mindset kita akan mula tertumpu untuk mencari jalan dalam mencapai matlamat tersebut.

 

Bijak Menguruskan Diri sebelum Menguruskan Orang Lain.

Tambahan lagi, kita perlu ingat bahawa kita mesti bijak mengurus diri sebelum kita dapat menguruskan orang lain. Ini sangat penting dalam konteks kepimpinan, yang mana seseorang pemimpin perlu bijak mengurus diri terutamanya dalam aspek mengurus masa, menjaga keterampilan dan menerapkan sikap positif lain supaya mereka dapat menguruskan orang lain dengan lebih berkesan dan mudah.

Walaupun topik pengurusan diri adalah sesuatu yang dilihat kompleks dan memerlukan masa untuk mempelajarinya, namun topik ini sebenarnya mudah difahami dan mudah dipraktikkan jika dilakukan dari masa ke semasa.

Seorang Pemenang Anugerah Nobel dalam bidang Kimia (1867-1934), Marie Curie pernah berkata:

“Dalam kehidupan seharian kita, tiada apa yang perlu ditakutkan selagi mana kita faham tentang situasi tersebut.”

Oleh itu janganlah kita takut untuk mempelajari sesuatu, terutamanya ilmu yang mampu memberi manfaat kepada kita. Tambahan lagi, kita mestilah berusaha untuk memahami perkara yang kita pelajari supaya ilmu tersebut dapat membawa kebaikan kepada kita dan seterusnya ilmu tersebut dapat juga memberi kebaikan kepada orang lain di sekeliling kita.

 

Kepentingan Masa

Peribahasa seperti ‘Masa itu emas’ menekankan bahawa masa merupakan sesuatu yang sangat berharga untuk setiap orang. Masa yang telah hilang dan tidak dimanfaatkan dengan baik merupakan satu kerugian kepada kita, kecuali masa yang telah digunakan dengan baik serta membawa faedah kepada diri kita. Oleh itu, masa yang kita ada adalah tanggungjawab besar yang diberikan untuk dimanfaatkan. Kita hendaklah menguruskan masa sebaik mungkin supaya setiap masa yang berlalu dapat memberikan kebaikan dan keuntungan pada diri.

 

Jadual Harian Sebagai Panduan

Dalam usaha memastikan masa kita dapat digunakan sebaik mungkin, jadual harian perlu dirangka bagi memberikan panduan dalam menguruskan masa. Dalam merangka jadual harian, ada beberapa aspek yang perlu ditekankan antaranya:

  • Kita mestilah mempunyai keterujaan dalam mencapai matlamat kita ingini.
  • Perlu meletakkan cabaran.
  • Perlu semangat yang berkobar-kobar.
  • Meletakkan motivasi (catalyst) dan keseronokan dalam mencapai matlamat yang ditetapkan.
  • Tidak terlalu tertekan.

Aspek-aspek di atas perlu ditekankan supaya jadual yang dihasilkan lebih relevan dan dapat memberikan impak yang positif kepada kehidupan seseorang.

Cuba renung-renungkan berapa banyak perkara yang anda ingin selesaikan dalam satu-satu masa? Kenapa?

Teknik membuat jadual adalah penting untuk memastikan jadual kita lebih sistematik dan mudah untuk digunakan. Seterusnya, dapat membantu kita menyelesaikan tugasan dengan tersusun.

 

Pembahagian Jadual Waktu

Kita boleh membahagikan jadual kita kepada jadual jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, merancang dan melaksanakan Jadual Waktu Harian yang munasabah adalah sesuatu yang baik. Susun jadual harian kita bermula dari masa bangun tidur pagi sehingga masa tidur di sebelah malam.

 

Contoh Jadual Waktu

Menyusun jadual waktu harian dapat membantu kita memanfaatkan masa kita pada hari tersebut. Sebagai seorang Islam, kita harus bersyukur kerana jadual harian kita boleh dirancang mengikut waktu solat 5 waktu. Berikut adalah contoh bagaimana kita boleh merangka jadual harian kita:

Jam 6.00 pagi – Bangun, gosok gigi dan mandi

Jam 6.15 pagi – Solat Subuh dan mengaji Al-Quran

Jam 7.00 pagi – Sarapan Pagi

Jam 7.30 pagi – Melakukan senaman ringan di rumah bersama ahli keluarga

Boleh juga rujuk kepada artikel ‘Panduan Senaman Mudah Di Rumah Untuk Warga Emas’ yang diltulis oleh Mohd Alif Idham Abdul Hamid di https://www.mmgazette.com/ceria-sepanjang-usia-panduan-senaman-mudah-di-rumah-untuk-warga-emas-mohd-alif-idham-abd-hamid/

Jam 8.30 pagi – Bagi mereka yang Bekerja Dari Rumah (BDR), anda boleh mulakan kerja dari rumah seperti biasa.

  • Mereka yang tidak BDR boleh mula mengemas rumah, sapu lantai, mop lantai, basuh baju, masak, sediakan makan tengahari, dan banyak lagi aktiviti kerja rumah atau ‘household chores’ yang boleh dilaksanakan. Ini perlu dilakukan secara berperingkat mengikut keutamaan supaya anda tidak terlalu tertekan kerana tidak dapat menghabiskan kesemua tugasan tersebut.
  • Gunakan lah masa keemasan ini untuk membuat pembersihan tempat tinggal secara menyeluruh atau ‘spring cleaning’.
  • Aktiviti membersihkan rumah atau berkebun sangat bermanfaat kepada kesihatan kerana aktiviti ini menggalakkan kita untuk berpeluh dan bergerak aktif di rumah.

Jam 10.30 pagi – Rehat

Jam 11.00 pagi – Boleh bersiar-siar secara maya. Salah satu cara ialah dengan melawat museum terkenal secara talian. Di antara laman web museum yang popular yang boleh dilayari adalah seperti berikut:

British Museum, di London, United Kingdom

https://britishmuseum.withgoogle.com/

Uffizi Gallery di Florence, Itali

https://artsandculture.google.com/partner/uffizi-gallery?hl=en

Van Gogh Museum, di Amsterdam, Belanda

https://artsandculture.google.com/partner/van-gogh-museum?hl=en

Musée d’Orsay, di Paris, Perancis

https://artsandculture.google.com/partner/musee-dorsay-paris?hl=en

The Louvre Museum, Paris, Perancis

https://www.louvre.fr/en/visites-en-ligne

Hadkan pelayaran maya ini untuk 30 minit dengan mengubah kedudukan kita dari masa ke semasa, supaya kita masih juga bergerak secara fizikal di dalam rumah dan bukan hanya duduk di atas kerusi.

Jam 12.30 tengah hari – Makan tengah hari bersama keluarga

Jam 1.30 tengah hari – Solat Zohor

Jam 2.00 petang – Menulis di dalam Journal mengenai mengalaman lawatan secara maya yang telah dibuat pada sebelah pagi

Jam 4.00 petang – Minum petang

Jam 4.30 petang – Solat Asar bersama keluarga

Jam 5.30 petang – Beriadah secara setempat seperti melakukan Power Walk(Jalan Setempat)

Jam 6.30 petang – Menonton cerita atau siri kegemaran anda atau membaca buku.

Sepanjang perintah kawalan pergerakan ini, di antara aktiviti-aktiviti lain yang disarankan adalah seperti berikut:

Jam 7.00 malam – Makan malam

Jam 7.30 malam – Solat Magrib bersama keluarga dan Mengaji

Jam 8.30 malam – Solat Isya bersama keluarga

Jam 9.00 malam – Tidur

Jadual harian ini boleh dipelbagaikan pengisiannya bergantung kepada keperluan dan minat masing masing. Pastikan semua ahli keluarga kita sihat dan tidak ada simptom COVID-19. Di samping dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga, pastikan juga masa makan tidak diabaikan, atau pun dilebihkan. Kekalkan pengambilan makan utama (main meals) sebanyak 3 kali sehari, iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Pastikan makanan seimbang dan sihat.

Melakukan aktiviti pergerakan badan seperti senaman ringan di rumah dan Power Walk boleh dikekalkan untuk memastikan kita masih melakukan aktiviti fizikal (rujuk http://aktif.myhealth.gov.my/)

 

Pesanan Terakhir

Oleh kerana penularan Wabak COVID 19 telah meningkat secara mendadak. Sebagai warga Malaysia yang prihatin kita hendaklah melaksanakan perkara-perkara seperti berikut:

  • Kerap membasuh tangan dan menggunakan hand sanitizer.
  • Mangamalkan etika batuk dan bersin iaitu menutup mulut ketika batuk atau bersin.
  • Elakkan daripada menyentuh bahagian muka.
  • Mendapatkan rawatan segera jika anda mengalami gejala seperti demam panas, batuk, sesak nafas,sakit tekak atau merupakan kontak rapat pesakit COVID-19.
  • Memakai maskmuka jika mempunyai gejala di atas.
  • Membuat saringan kesihatan jika anda terdedah kepada kontak rapat pesakit COVID-19
  • Jujur memberikan maklumat kesihatan kepada para petugas kesihatan untuk kebaikan bersama.
  • Amalkan pemakanan sihat.
  • Tidak keluar rumah dan patuhi arahan yang di keluarkan oleh pihak berkuasa.
  • Amalkan social distancing.
  • Tidak bersalaman, mendekati atau melawati orang yang sakit.

“Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”

“Bukit sama didaki, lurah sama dituruni”

Sama-samalah kita berjuang dalam memerangi pandemik COVID-19 ini.

Kita prihatin!

 

Dr Farizah Hairi adalah Professor Madya dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Universiti Malaya.

Dr Muhammad Zaki Hilmi Zainal Abidin, adalah doktor perubatan di Kementerian Kesihatan Malaysia, graduan Newcastle University.

 

Rujukan:

  1. Malay Mail, Tuesday 17 March 2020: ‘Astro offers free viewing of all movie channels amid the 14-day movement control order’ diakses pada 17 Mac 2020 di pautan http://dlvr.it/RS2bnR.
  2. Virtual reality tours di pautan https://www.washingtonpost.com/travel/2020/03/18/these-historic-sites-attractions-are-offering-virtual-tours-during-coronavirus-pandemic/
  3. Perdana Menteri Malaysia, Mac 17, 2020; Kenyataan Media Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) – Dikemaskini. Di akses pada 21 Mac 2020 di pautanhttps://www.pmo.gov.my/ms/2020/03/soalan-lazim-faqs-mengenai-perintah-kawalan-pergerakan-movement-control-order-2/
  4. Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia diakses pada 21 Mac 2020, di pautan www.moh.gov.my

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box