Cantuman Semula Jari – Dr Mohamed Faizal Hj Sikkandar

Sumber gambar: Hand Surgery Primer

Tatkala Vinay mengangkat tangannya, terasa bilah pisau yang tajam memotong jari telunjuknya dan bahagian luar pergelangan tangan. Darah tersembur ke tanah dan jarinya jatuh dihadapannya. Vinay sedang mempertahankan diri daripada serangan terhadapnya. Tiga orang penyerang yang tidak dikenali cuba menyamun bersenjatakan ‘aruvaals’ (senjata yang seperti parang) pada siang hari. Ketika melindungi diri daripada serangan, dia mengalami luka yang amat dalam (‘deep wound’) di bahagian luar tangan dan jari telunjuknya terpotong.

Senario di atas seakan dari cerita tipikal Hollywood tetapi kecederaan tersebut adalah perkara sebenar. Amputasi digital atau jari ialah kecederaan yang biasa dilihat di kebanyakan pusat ortopedik di seluruh negara. Amputasi jari boleh berlaku akibat cedera remuk, koyak atau avulsi ke atas jari atau seperti yang dialami Vinay – potongan bersih akibat senjata atau peralatan tajam. Kecederaan kepada jari boleh berlaku pada mana-mana bahagian, bahagian paling hujung adalah bahagian yang paling kerap tercedera kerana itulah bahagian terakhir jari untuk mengelak daripada bahaya. Amputasi jari berlaku apabila jari tidak lagi bercantum bersama bahagian tangan yang lain manakala terma amputasi hampir-total menggambarkan jari yang hampir terputus kecuali bahagian perlekatan tisu lembut.

Sangat penting bagi pesakit yang mengalami amputasi jari untuk mengikuti perkara-perkara penting untuk meningkatkan hayat bahagian yang terputus. Seeloknya bahagian yang terputus dibasuh dengan air atau lebih baik lagi dengan larutan salina steril (‘sterile saline solution’).

Replantasi ialah istilah yang menerangkan penyambungan semula jari kepada bahagian asalnya. Jari yang terputus hanya boleh disambung semula melalui pembedahan yang merupakan tugas yang perlu dilakukan dengan sangat teliti serta antara pembedahan khusus paling tinggi yang pernah dilakukan. Sehingga kini, hanya beberapa hospital tertiari di negara ini yang mempunyai fasiliti serta kepakaran untuk melakukannya.

Sumber gambar: commons.wikimedia.org

Kemandirian jari yang dicantum semula bergantung kepada pelbagai faktor. Faktor-faktornya boleh diringkaskan kepada tiga. Faktor pertama ialah pesakit sendiri. Sekiranya pesakit tidak patuh atau tidak mengikuti arahan pasca pembedahan yang sangat khusus, hasilnya biasanya tidak baik.

Seterusnya ialah tahap kecederaan. Sekiranya bahagian yang terputus dibiarkan tercemar atau tidak dibawa dengan betul ke hospital, hasilnya lebih buruk. Jari yang dipotong bersih atau terpotong menggunakan alatan tajam mempunyai jangkaan hasil yang lebih baik berbanding bahagian yang hancur atau terkoyak dari jari. Pesakit yang mempunyai kecederaan terpencil pada jari mempunyai kadar penyembuhan lebih tinggi dibandingkan dengan pesakit yang mempunyai kecederaan berganda sepertia politrauma, kecederaan kepala atau bahagian abdomen. Masa kecederaan sangat penting – lebih cepat pesakit dibawa ke hospital bersama jari yang terputus, lebih baik hasilnya.

Faktor ketiga yang menentukan hasil penyantuman semula jari ialah ketersediaan fasiliti dan kepakaran untuk melakukan prosedur tersebut. Fasiliti yang diperlukan termasuklah mesin mikroskop pembesaran tinggi dalam dewan pembedahan, alatan mikro untuk pencantuman semula, serta pakar bedah yang terlatih dalam pembedahan mikro. Ketika pembedahan, pakar bedah akan mencantum semula tulang jari yang terputus kepada tulang jari utama menggunakan implant logam, biasanya wayar keluli, dan urat yang dijahit semula serta anastomosis salur darah dilakukan dengan penyambungan menggunakan jahitan submililiter dibawah pembesaran microscope. Kadangkala akan berlaku kehilangan tisu salur darah dan kemungkinan pakar bedah perlu memendekkan tulang, atau sediakan tisu penderma atau cantuman salur darah dari tempat lain. Perkara-perkara ini menjelaskan mengapa prosedur penyantuman semula jari boleh mengambil masa dari 4 sehingga 12 jam.

Selain itu, juruteknik yang terlatih serta jururawat yang biasa dengan peralatan dan prosedur cantuman semula perlu bersiap sedia. Kakitangan wad perlu tahu protokol selepas pembedahan dan sentiasa peka terhadap sebarang perubahan yang memerlukan perhatian pakar bedah dengan serta merta.

Kemandirian cantuman jari bergantung kepada faktor-faktor di atas dan pesakit perlu mematuhi rawatan lanjut untuk memastikan kejayaan prosedur. Memadailah jika dikatakan cantuman semula jari ialah satu prosedur yang kompleks dan hasilnya berbeza bergantung kepada faktor-faktor yang dihuraikan di atas serta kadar masa pesakit dibawa ke fasiliti perubatan yang berpatutan adalah sangat penting.

Dr Mohamed Faizal bin Hj Sikkandar

Pakar Bedah Ortopedik dan Pensyarah Kanan

Fellowship dalam Pembedahan Mikro dan Tangan

Pusat Perubatan UiTM,

Sungai Buloh, Selangor

Input pakar oleh:

 

Dr. Senthil M. Kumaran

Perunding Pembedahan Mikro Rekonstruktif dan Tangan

Hospital, Coimbatore,

Tamilnadu, India Selatan

Rencana ini diterjemahkan dari versi asal di https://www.mmgazette.com/finger-replantation-dr-mohamed-faizal-hj-sikkandar/ oleh Nur Nadhirah.

 

[Rencana ini kepunyaan The Malaysian Medical Gazette. Sebarang penerbitan semula (online atau offline) tanpa kebenaran bertulis daripada The Malaysian Medical Gazette adalah dilarang.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box