Titisan Steroid: Wira Atau Puaka? – Dr Anis Farhad

eye-drops“Ahhh! Leganya!” bisik hatiku tiap kali cecair steroid itu membasahi mataku.

Mataku kerap kemerah-merahan. Mataku perit kegatalan. Di kala derita, botol steroid ku anggap wira. Botol steroid pembasmi sengsara.

“Buat apa nak pergi jumpa pakar. Buat habis duit je,” ujar Ali, kawan rapatku. “Kau beli je ubat titis ni. Aku pergi klinik biasa waktu mata aku merah dulu. Doktor tu bagi aku guna ubat ni,” kata Ali sambil memberiku sebiji botol kecil yang besarnya tidak lebih dari ibu jariku. “Kau beli saja di farmasi,” katanya bersungguh.

Benar katanya. Titisan pertama air mata ajaib itu melepaskan aku dari sengsara kegatalan yang teramat perit. Mulai dari situ, setiap kali habisnya ubat ajaib itu, aku bergegas membelinya lagi.

“Ali, urat mata awak dah hampir mati”. Aku terkejut dari lamunanku. Kata-kata doktor pakar mata itu terngiang-ngiang di benakku. “Ubat steroid yang awak guna ini ‘memakan’ saraf mata awak. Ianya menjadi terlampau nipis. Urat mata awak sudah hampir mati,” ulang doktor dengan nada yang simpati.

Semakin hari, pandanganku semakin suram. Duniaku kini gelap gelita. Aku telahpun menjadi buta. Steroid. Dahulunya wira, kini menjadi puaka.

Apakah itu steroid?

Steroid adalah sejenis ubat yang digunakan untuk mengurangkan radang.

Bolehkah steroid menyebabkan kebutaan?

Ya! Antara komplikasi steroid yang menjejaskan penglihatan adalah:

Glaukoma

Glaukoma adalah sejenis penyakit mata yang menyebabkan urat mata menjadi terhakis. Penggunaan steroid yang tidak terkawal boleh membuat tekanan mata meningkat. Ini mengakibatkan kematian urat saraf mata yang lama kelamaan boleh menyebabkan kebutaan.

Katarak

Penggunaan steroid tanpa pemantauan boleh menyebabkan kanta mata yang asalnya lutsinar, menjadi kelam. Keadaan ini dinamakan katarak, atau lebih dikenali masyarakat sebagai selaput mata.

Jangkitan

Penggunaan steroid yang berpanjangan tanpa pemantauan boleh miningkatkan risiko jangkitan kuman di mata.

Jadi adakah steroid perlu dihindari?

maxi001b

Ubat steroid biasanya mengandungi dexamethasone, prednisolone acetate, betamethasone atau fluoromethalone.

Tidak! Steroid mempunyai pelbagai kegunaan untuk mengatasi pelbagai penyakit mata. Steroid itu tidak berdosa. Yang menjadi masalah adalah apabila steroid diberi sewenang-wenangnya, tanpa pemantauan tindakbalasnya yang boleh menyebabkan kebutaan. Hanya seorang pakar mata sahaja yang dapat memantau penggunaan steroid yang berpanjangan. Peralatan untuk pemantauan tersebut biasanya tidak didapati di farmasi, mahupun di poliklinik.

Kesimpulannya, pastikan anda merujuk pakar mata sebelum rawatan steroid diberikan untuk sebarang penyakit mata. Anda juga dinasihatkan supaya tidak meneruskan penggunaan ubat titis steroid tersebut tanpa arahan dan pemantauan pakar yang merawat. Jangan kerana mudah, mata menerima padah.

Dr. Anis Farhad ialah seorang pakar optalmologi yang kini berkhidmat di Sabah. Dia percaya yang orang ramai perlu diberi kesedaran tentang penjagaan mata yang betul.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box