Pertolongan Cemas dan Sokongan Hayat Asas: Bahagian I – Dr Khoo Yoong Khean

Source: http://www.firstaidforeveryone.ie/

Sumber: http://www.firstaidforeveryone.ie/

Sesekali dalam dalam kehidupan kita, kita pasti akan menghadapi situasi kecemasan. Misalnya luka kecil di dapur, anak kita terjatuh di taman permainan atau sesuatu yang lebih serius seperti kemalangan kereta. Situasi kecemasan ialah sebahagian daripada hidup kita. Memandangkan kejadian kecemasan ialah perkara yang biasa berlaku, sudah tentu semua orang harus belajar sedikit sebanyak berkenaan pertolongan cemas dan teknik sokongan hayat yang asas.

Pertolongan cemas bermaksud memberi rawatan terawal kepada sebarang kecederaan atau penyakit. Anda mungkin tidak menyedarinya tetapi sering kali prinsip pertolongan cemas ialah ‘common sense’ dan kita telah pernah melakukannya sebelum ini. Selalunya, kecemasan kecil tidak memeerlukan  rawatan lanjutan selepas pertolongan yang asas. Ada kalanya, pertolongan cemas dapat menyelamatkan nyawa sementara menanti bantuan yang sebenar sampai. Tetapi harus diingat, pertolongan cemas bukanlah rawatan lengkap dan bukanlah sebagai ganti rawatan oleh profesional terlatih.

PRINSIP PERTOLONGAN CEMAS

  • menyelamatkan nyawa
  • membendung kecederaan atau penyakit daripada menjadi parah
  • membantu pulih daripada kecederaan

Dalam semua kes kecemasan, jika anda tidak pasti seteruk manakah kecederaan atau penyakit tersebut , perkara pertama yang perlu dilakukan ialah meminta bantuan. Di negara ini, nombor kecemasan untuk dihubungi ialah 999. Tolong ambil maklum bahawa memanggil ambulans daripada hospital berhampiran tidak akan membuahkan hasil kerana khidmat ambulans mempunyai kawasan ‘tadahan’ mereka sendiri. Maknanya, hospital terdekat kepada anda mungkin bukan kawasan ambulans yang terhampir.

Perkara kedua yang perlu diingat dalam pertolongan cemas ialah menilai paras bahaya. Jangan sesekali anda membahayakan diri anda sendiri sewaktu memberi pertolongan cemas. Hanya apabila kawasan itu didapati tidak membahayakan, barulah anda boleh memberi pertolongan cemas.

Ketika anda bersama-sama mangsa atau pesakit, anda perlu menaksir pernafasannya.

  • Jika dia tidak sedarkan diri dan bernafas, letakkan dia ke ‘posisi pemulihan’ (recovery position), iaitu pada posisi sisi kiri (mengiring sebelah kiri).
  • Jika dia tidak sedarkan diri dan tidak bernafas, anda boleh mulakan CPR (resusitasi pernafasan)

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kajian menunjukkan CPR tanpa bantuan pernafasan adalah turut berkesanan dan orang awam digalakkan melakukan CPR dengan menekan dada. Tekanan dada dilakukan dengan menekan sangkar rusuk untuk memberi tekanan langsung kepada jantung supaya darah terus mengalir ke organ-organ penting.

Source: ADAM Interactive Anatomy

Sumber: ADAM Interactive Anatomy

Untuk dewasa:

  1. Letakkan kedua-dua tangan pada bahagiantengah dada di antara kedua-dua belah puting dada dengan tumit tangan. Tekan sedalam anggaran 2 inci (5cm) pada kadar sekata iaitu dua tekanan sesaat. Peraturan tekanan dada ialah ‘tekan kuat, tekan laju’.
  2. Selang setiap 30 tekanan, beri dua bantuan pernafasan (jika anda tidak selesa  memberikan bantuan pernafasan, anda boleh tinggalkan langkah ini).
  3. Dongakkan kepala mangsa dengan lemah-lembut dan angkat dagunya dengan dua jari. Ini untuk membuka laluan pernafasan.
  4. Tutup rapat lubang hidungnya untuk menutup rongga hidung. Rapatkan dan kedapkan mulut anda atas mulut mangsa dan tiup dengan kuat dan sekata ke dalam mulutnya.
  5. Hembus dua nafas. Periksa sama ada dadanya berombak dengan setiap hembusan nafas yang diberi.
  6. Teruskan dengan kitaran 30 tekanan dada dan 2 bantuan nafas sehingga mangsa boleh bernafas sendiri atau sehingga bantuan tiba.

 Kanak-kanak lebih satu tahun:

  1. Dongakkan kepala kanak-kanak dan angkat dagunya. Jika ada benda asing  dalam rongga mulut atau hidung, keluarkan benda tersebut.
  2. Tutup rapat hidung kanak-kanak tersebut.. Kedapkan mulut anda ke atas mulut mangsa dan tiup dengan kuat dan sekata ke dalam mulut mangsa.
  3. Mula-mula, berikan lima bantuan pernafasan. Periksa sama ada dada berombak dengan setiap hembusan nafas.
  4. Letakkan tangan di tengah-tengah dada, di antara kedua-dua belah puting dada menggunakan tumit tangan.
  5. Tekan sedalam sepertiga kedalaman dada dengan sebelah atau kedua-dua tangan.
  6. Selepas setiap 30 tekanan dada (sedikit laju daripada satu tekanan sesaat), beri dua nafas bantuan.
  7. Teruskan dengan kitaran 30 tekanan dada dan dua bantuan nafas sehingga mangsa mula bernafas atau sehingga bantuan tiba.

 Bayi bawah setahun:

  1. Dongakkan kepala bayi dan angkat dagunya. Jika ada benda asing penghalang di dalam rongga mulut atau hidung, buangkan keluar.
  2. Letakkan mulut anda di atas mulut dan hidung bayi dan tiup dengan kuat dan sekata.
  3. Mula-mula beri lima bantuan pernafasan. Periksa sama ada dadanya berombak dengan setiap nafas.
  4. Letakkan dua jari menegak di tengah-tengah dada, di antara kedua-dua belah puting dada dan tekan hingga sepertiga kedalaman dada.
  5. Selepas 30 tekanan (sedikit laju daripada satu tekanan sesaat), beri dua bantuan nafas.
  6. Teruskan dengan kitaran 30 tekanan dada dan dua bantuan nafas sehingga mangsa mula bernafas atau bantuan tiba.

Sekali lagi saya ingin tekankan bahawa anda boleh meninggalkan langkah bantuan pernafasan dan teruskan dengan memberi tekanan dada sahaja jika anda tidak selesa melakukannya.

Dr. Khoo Yoong Khean adalah Penolong Ketua Editor Malaysian Medical Gazette. Kenali beliau dengan lebih lanjut dalam kolum ‘The Team’. Artikel ini diterjemahkan oleh Azizul Ismie Mohd Puad.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box