Bukan Kecemasan? Tidak Perlu ke Jabatan Kecemasan: Alternatifnya – Harith Baharudin (Penolong Pegawai Perubatan)

Kenapa tak boleh datang?

Kan tempat ambil jumpa Doktor dan ambil ubat jugak?

 

Sumber gambar: remaja.my

Betul, bukan tidak boleh datang, datanglah , tetapi perlu tahu keperluan dan situasi datang ke Jabatan Kecemasan. Sebab apa perlu tahu? Sebab untuk elak daripada anda “sakit hati”.

Kenapa sakit hati ? Sebab pesakit bukan kes kecemasan, waktu masa menunggu untuk mendapatkan rawatan akan agak panjang. Bukan kerana kakitangan kesihatan makan gaji buta, atau sistem tak efisen, tetapi kerana kes kecemasan DIUTAMAKAN dan DIPERTAMAKAN.

Maka berikut beberapa perkara yang tidak perlu anda datang ke Jabatan Kecemasan dan alternatif bagi memudahkan urusan anda :

  1. Saringan Kesihatan (Medical Checkup): Medical Checkup tak perlu ke kecemasan, hanya pergi ke klinik kesihatan, sebab terang-terang bukan kes kecemasan. Tambahan pula ada ujian-ujian khas yang diperlukan pada borang itu (seperti ujian air kencing untuk dadah, ujian saringan HIV dll) Jabatan Kecemasan tidak ada kemudahan itu.
  1. Penukaran Tiub Makanan (Ryle’s Tube) atau Tiub kencing (Continuous Bladder Drainage/CBD): Perkhidamatan penukaran tiub-tiub ini ada di klinik kesihatan dan klinik komuniti . Di Jabatan Kecemasan, memang akan disaring ke Zon Hijau dan waktu menunggu yang agak lama walaupun kes mudah.
  1. Rujukan ke Pakar: Rata-rata ramai yang suka datang ke Jabatan Kecemasan kerana mereka beranggapan akan terus berjumpa Pakar, tetapi tahukah anda, di Klinik Kesihatan juga terdapat Pakar, iaitu “Family Medicine Specialist (FMS)” atau Pakar Perubatan Keluarga. FMS telah melalui semua disiplin di Hospital untuk menjadi Pakar. Tambahan pula mereka lebih arif dalam kaunseling komuniti, silalah menggunakan khidmat mereka secara optimum.
  1. Sambung sijil cuti sakit (MC): Bagi pesakit yang dalam rawatan, tetapi masih lagi perlukan Cuti Rehat kerana sakit dan tidak mampu bertugas, boleh sambung rawatan dan dapatkan MC di Klinik Kesihatan. Tidak perlu ke Jabatan Kecemasan.
  1. Surat Perubatan Untuk OKU: Doktor di klinik kesihatan boleh sahkan dengan ujian ujian tertentu, maka tidak perlu ke Jabatan Kecemasan dan menunggu lama.
  1. Pandangan Kedua: Pandangan kedua ni bukan nak tackle staf kesihatan tau buat bini kedua.Tetapi bagi mereka yang tidak berpuas hati dengan rawatan atau diagnosis sakit yang dialami. Anda hanya perlu ke klinik kesihatan, dan akan di rujuk ke Pakar Perubatan Keluarga dan jika perlu , akan di rujuk ke Klinik Pakar di Hospital untuk pengesahan.
  1. Cucian Luka: Cucian luka boleh dilakukan di Klinik Kesihatan. Sekiranya di Jabatan Kecemasan akan disaring ke Zon Hijau, dan perlu menunggu lama.
  1. Terlepas Temujanji Klinik Pakar: Bagi yang terlepas temujanji Klinik Pakar, tidak perlu susah-susah, jangan takut kena marah, cukup pergi balik ke Klinik Pakar tersebut, untuk dapatkan tarikh baru dan sekiranya penyakit anda serius, anda akan dilihat pada masa itu juga. Jangan tipu staf Jabatan Kecemasan, sebab akhirnya anda akan dirujuk juga ke Klinik Pakar berkenaan. Kecuali anda masih dalam kesakitan, dalam keadaan ini, boleh ke Jabatan Kecemasan.
  1. Sakit yang ringan: Di Jabatan Kecemasan, sakit yang ringan, akan disaring ke Zon Hijau. Anda boleh dapatkan rawatan di Klinik Kesihatan untuk sakit yang ringan. Rawatan dan ubatan sama sahaja, yang berbeza cuma waktu menunggu.
  1. Rawatan Sakit Kronik Yang Stabil: Bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis, anda boleh pergi ke Klinik Kesihatan untuk dapatkan rawatan berkala dan pemberian ubatan. Jabatan Kecemasan tidak memberi temu janji, dan ubatan yang di bekalkan ke pesakit di Jabatan Kecemasan juga terhad kepada beberapa hari sahaja. Klinik Kesihatan akan memberikan stok ubatan sehingga tarikh rawatan susulan akan datang.
  1. Sambung Ubat: Pertamanya, jika ubat tu boleh didapati di Farmasi Klinik Kesihatan, anda terus sahaja ke Klinik Kesihatan, tetapi jika Klinik Kesihatan tiada ubat tersebut, anda perlu maklum, nama Pegawai Perubatan mengeluarkan slip ubatan tersebut, jika ianya daripada Klinik Pakar, anda terus ke klinik Pakar , kerana terdapat beberapa jenis ubat yang hanya boleh dikeluarkan oleh Pakar mengikut disiplin sahaja.
  1. Rawatan Ibu Mengandung:Di setiap Klinik Kesihatan kini ada bahagian Klinik Kesihatan Ibu dan Anak yang mana khas untuk ibu-ibu yang mengandung dan selepas bersalin. Tetapi jika berlaku sesuatu situasi kecemasan kepada bayi anda, segera ke Jabatan Kecemasan, lebih-lebih lagi pada waktu malam.
  1. Keluar Tanda Tanda Kelahiran: Jika anda mengandung, cukup bulan dan keluar tanda-tanda kelahiran, tempat yang ada perlu tuju adalah Dewan Bersalin jika anda dalam keadaan yang stabil. Tetapi jika anda dalam keadaan yang tidak stabil, dalam kesakitan yang teramat sangat , yes , anda boleh datang ke Jabatan Kecemasan.
  1. Laporan Rekod Perubatan: Untuk makluman, walaupun anda telah menerima rawatan di Jabatan Kecemasan, tetapi untuk dapatkan laporan rekod perubatan bagi tujuan menuntut insurans dan sebagainya, anda perlu ke Unit Rekod setiap hospital dan memohon melalui unit berkenaan. Setiap rekod pesakit akan disimpan di sana walaupun anda baru terima rawatan semalam.
  1. Surat Akuan Perubatan: Surat akuan perubatan ni ada pelbagai jenis, ada yang untuk memohon lesen mandu, tinted kereta, kerja-kerja ringan dan sebagainya. Anda boleh dapatkan pengesahan daripada Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan.

16. Kematian: Apabila seseorang itu didapati tiada tanda-tanda kehidupan tetapi perlukan pengesahan kematian, jenazah akan dibawa ke Hospital , tetapi bukan Jabatan Kecemasan Jika ada pun , untuk pengesahan daripada Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan sahaja untuk kebenaran membawa jenazah ke bilik mayat , itu pun dalam masa yang sebentar sahaja. Maka, tidak perlu ramai-ramai saudara mara berkumpul di Jabatan Kecemasan dan memenuhi ruangan menunggu pesakit Zon Hijau. Anda boleh terus pergi ke Jabatan Forensi , kerana di situ jenazah akan dihantar.

Sumber gambar: KOSMO

 

Ubat-ubatan di Jabatan Kecemasan bagi kes bukan kecemasan adalah sama dengan ubat-ubatan di Klinik Kesihatan.

Walau bagaimanapun, jika anda masih berkeras ingin menerima rawatan di Jabatan Kecemasan, tiada masalah bagi staf kesihatan , anda akan dilihat dan dilayan , tetapi anda perlu akur dan hormati peraturan dan SOP seperti yang telah diwartakan.

Kecemasan bagi anda, tidak semestinya kecemasan pada staf kesihatan.

Perkara perkara di atas adalah nasihat dan panduan untuk memudakan urusan anda.

Jadilah Pesakit Yang Bijak.

Benda boleh pergi Klinik Kesihatan, Buat Apa Pergi Kecemasan.

Maka usahlah membuang masa menunggu di Zon Hijau sekiranya perkhidmatan yang sama ada di Klinik Kesihatan dengan waktu menunggu yang lebih singkat.

Harith Baharudin

Penolong Pegawai Perubatan

Jabatan Kecemasan & Trauma

Hospital Melaka

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box