Merokok dan Penyakit Jantung – Dr Edward Nathan

Smoking-and-heart-disease

Gambar: http://www.omarchughtai.com

Kedua-dua perokok dan bukan perokok pasti pernah mendengar ayat, “Merokok Penyebab No.1 Penyakit Jantung yang Mampu Dicegah” dan “Merokok Penyebab No. 1 Kematian Pramatang.” Apakah maksudnya?

Merokok ialah penggunaan tembakau dalam rupa rokok, cerut, atau menghisap paip. Cara-cara merokok ini membawa bahan-bahan kimia dan unsur-unsur merbahaya ke dalam badan. Sekiranya anda berfikir tentangnya, merokok merupakan satu cara membunuh diri. Bahan-bahan kimia merbahaya ini akan membunuh satu atau lebih komponen badan, membawa kepada barah, strok, atau penyakit jantung dan juga kematian.

“Mampu Dicegah” merujuk kepada kesudahan yang boleh dielakkan dengan tindakan tertentu. Misalnya, bagi mengelakkan kemalangan jalan raya, pihak berkuasa memperkenalkan undang-undang keselamatan seperti had kelajuan dan lampu trafik. Dengan cara ini, jumlah kemalangan jalan raya yang berlaku boleh dikurangkan. Pencegahan pula merupakan kata aktif, menunjukkan bahawa individu perlu mengambil tindakan. Contohnya, penyebab penyakit jantung digolongkan kepada yang sebab-sebab yang boleh dielakkan dan yang tidak boleh dielakkan. Sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan adalah perkara yang kita tidak dapat ubah untuk membantu. Ini termasuk kerentanan genetik, jantina individu dan umur (semakin meningkat umur, semakin tinggi peluang seseorang itu mendapat penyakit jantung). Sebab-sebab yang boleh dielak termasuk diabetes dan/atau darah tinggi, gaya hidup kurang sihat, kolesterol tinggi dan merokok. Hasil penyelidikan memberitahu bahawa merokok merupakan penyebab No. 1 di antara keadaan-keadaan yang boleh dielakkan. Oleh itu, tindakan yang diperlukan adalah untuk berhenti merokok agar mengurangkan kemungkinan anda berpenyakit jantung. Penyakit jantung bukan sahaja membunuh, tetapi juga sangat mahal. Daripada meluangkan masa bersama keluarga atau melancong, keadaan kesihatan anda akan terbatas kepada aktiviti di rumah atau hospital. Hal ini mungkin tidak menjadi masalah kepada orang-orang kaya, tetapi untuk golongan miskin dan pertengahan semua wang yang telah disimpan bagi anak-anak atau untuk membeli rumah idaman kini digunakan untuk membayar hospital dan doktor untuk mengubati jantung anda. Anda akan melihat balik sambil berfikit, “Hasil kerja keras selama ini hanya untuk diberikan kepada doktor – sungguh terbazir hidupku!”

Cepat atau lambat, kita pasti akan menemui ajal. Namun begitu, kita tidak perlu meninggalkan dunia pada usia muda mahupun menderita sebelum mati. Terdapat banyak yang kita mahu capai dalam hidup sebelum meninggalkannya. Mungkin ianya melengkapkan pendidikan, berjaya dalam kerjaya dan mendapat kesenangan kewangan, memekarkan cinta sehingga mencapai perkahwinan dan membina keluarga bersama yang tersayang. Tetapi kematian boleh datang bila-bila masa dan menghentikan semua nikmat-nikmat tersebut, dan penyebabnya mungkin merokok. Saya hairan melihat individu-individu yang memastikan persekitaran dan tempat tinggal mereka selamat tetapi membiarkan maut menghendap dalam rupa merokok. Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa merokok membawa kadar mortaliti yang lebih tinggi.

Kesimpulannya, saya menggesa anda mencintai diri sendiri dan keluarga dengan menghentikan penggunaan tembakau. Keputusan tersebut membolehkan anda hidup lebih lama, mengelakkan penyakit jantung yang mahal serta membunuh, dan menghalang daripada memberi semua wang hasil titik peluh anda kepada doktor atau hospital. Nikmati hidup sebaik boleh. Berhenti merokok sepenuhnya.

Dr. Edward Nathan seorang pakar kesihatan awam di Pulau Pinang. Artikel ini diterjemahkan daripada https://www.mmgazette.com/smoking-heart-disease-dr-edward-nathan/ oleh Nur Nadhirah.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box