Mengelamun: Serangan Sawan (Absence Seizure) atau Perlakuan? – Dr Nadia Mohd Effendy (PhD)

Sumber gambar: Best Online MD

Sedar mahupun tidak, terdapat kanak-kanak di sekeliling kita yang seringkali didapati mengelamun seperti berada di dalam dunianya tersendiri. Keadaan ini sering dianggap normal di mana segelintir kanak-kanak sememangnya kurang memberikan perhatian terhadap persekitaran. Di sekolah, guru-guru sering mendapati terdapat kanak-kanak yang suka mengelamun dan tidak memberikan perhatian di dalam kelas. Apabila ditanya, kanak-kanak tersebut tidak memberikan maklum balas dan tetap berdiam diri. Hal ini tidak boleh diambil mudah oleh para ibu bapa dan guru dengan berangggapan bahawa kanak-kanak tersebut berkelakuan sedemikian kerana mereka malas ataupun penat. Kanak-kanak yang sering mengelamun mungkin mengalami sawan yang dikenali sebagai sawan ketiadaan atau sawan termenung atau absence seizure. Absence seizure yang juga dikenali sebagai petit mal seizure selalunya berlaku di kalangan kanak-kanak yang berumur di antara 3 hingga 15 tahun. Kanak-kanak yang mengalami sawan jenis ini mungkin mengalami beberapa kali serangan dalam masa sehari tanpa disedari. Sawan jenis ini sukar disedari kerana simptomnya yang tidak jelas, hanya dikenal pasti dengan perlakuan termenung kosong atau blank stare.

Sumber gambar: Drugs.com

Sawan adalah disebabkan oleh aktiviti elektrik otak yang abnormal atau berlebihan yang mempengaruhi tahap kesedaran, perlakuan dan pergerakan. Sawan dibahagikan kepada sawan separa (partial seizure) yang melibatkan sebahagian otak sama ada kiri atau kanan dan sawan menyeluruh (generalized seizures) yang melibatkan keseluruhan otak. Perbezaan ketara di antara kedua-dua jenis sawan ini adalah untuk sawan separa, pesakit masih lagi dalam keadaan sedar manakala pesakit yang mengalami sawan menyeluruh adalah dalam keadaan tidak sedar (loss of consciousness). Sawan ketiadaan diklasifikasikan sebagai sawan menyeluruh kerana pesakit tidak sedar akan keadaan sekeliling. Sawan yang berlaku secara berulang kali dikenali sebagai epilepsi. Bukan semua pesakit sawan mengalami epilepsi. Perlu diingatkan bahawa sawan bukan hanya tertakhluk kepada keadaan badan yang menggelupur, kejang atau konvulsi (convulsion) serta mulut berbuih tetapi banyak lagi tanda-tanda sawan yang lain. Berikut merupakan antara ciri-ciri absence seizure:

  • Kerap termenung kosong
  • Berhenti daripada sebarang aktiviti secara drastik selama beberapa saat. Contohnya, ketika sedang makan atau berbual, kanak-kanak tersebut tiba-tiba berhenti dan mengelamun.
  • Jatuh secara tiba-tiba tanpa sebab
  • Bola mata berputar ke atas
  • Kibasan kelopak mata
  • Perkembangan otak yang perlahan dan mempengaruhi prestasi di sekolah
  • Sakit kepala
  • Gangguan emosi
  • Kekejangan anggota badan
  • Konvulsi

Ibu bapa dan guru harus sentiasa peka terhadap tingkah laku kanak-kanak. Jika mereka menunjukkan salah satu atau beberapa simptom di atas, bolehlah rujuk kepada doktor. Ini penting untuk mencegah dari kemungkinan serangan sawan yang lebih serius dan komplikasi lain. Jika keadaan ini tidak dirawat, absence seizure boleh mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan, prestasi pendidikan serta kualti hidup kanak-kanak tersebut. Keadaan ini boleh dikawal dengan baik dan kanak-kanak boleh pulih sepenuhnya jika mengambil ubat yang sesuai. Ubat-ubat yang digunakan untuk mengawal serangan absence seizure adalah seperti berikut:

  1. Ethosuximide (Zarontin)

Merupakan rawatan pilihan pertama bagi sawan jenis absence seizure. Ubat ini boleh didapati dalam bentuk kapsul dan sirap. Untuk kanak-kanak berusia kurang daripada 6 tahun, ubat ini diambil pada dos 50-100 mg setiap hari dan boleh ditingkatkan secara berkala sehingga mencapai dos maksima sebanyak 250 mg sehari, bergantung kepada kekerapan atau frekuensi serangan. Untuk kanak-kanak berusia lebih daripada 6 tahun, ubat ini diberikan pada dos 250 mg, dua kali sehari dan dos maksima adalah 1.5 g sehari.

Kesan sampingan: Kepenatan, sakit kepala, gangguan gastro-usus, ruam.

  1. Sodium valproate (Epilim)

Ubat ini boleh didapati dalam bentuk kapsul, tablet dan juga cecair. Ubat ini diambil pada dos 10 -15 mg/kg sehari dan boleh dinaikkan secara berperingkat sehingga dos maksima sehari iaitu 60 mg/kg.

Kesan sampingan: Kerosakan hati, gangguan gastro-usus dan trombositopenia.

  1. Lamotrigine (Lamictal)

Digunakan sebagai terapi tambahan bersama ubat lain. Ubat ini boleh didapati dalam bentuk tablet. Dos yang diberikan kepada kanak-kanak bawah 12 tahun adalah 1-5 mg/kg dua kali sehari. Dos boleh ditingkatkan dan mestilah tidak melebihi 200mg sehari.

Kesan sampingan: Ruam, diplopia, kekeliruan, Stevens-Johnson syndrome (reaksi teruk ke atas kulit).

  1. Clonazepam (Rivopam)

Ubat ini diambil dalam bentuk tablet. Bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun, ubat ini diberikan pada dos 0.5 -0.75 mg sehari.

Kesan sampingan: kepenatan, lemah otot, kekeliruan, kemurungan, gangguan pertuturan.

Jika anak-anak telah disahkan menghidap absence seizure, ibu bapa perlu memastikan mereka mengambil ubat yang sesuai dengan dos yang betul serta mengawasi sebarang kesan sampingan daripada ubat yang diambil. Selain itu, ibu bapa perlu mengambil langkah keselamatan seperti memastikan anak-anak memakai alat pelindung seperti topi keledar dan penyokong lutut (knee guard) apabila melakukan aktiviti seperti berbasikal dan riadah lain. Ini adalah sebagai langkah pencegahan daripada kecederaan jika kanak-kanak terjatuh semasa mengalami serangan sawan.

Kanak-kanak ini tidak patut dihalang daripada melakukan aktiviti seperti berenang. Mereka perlu diberi kebebasan untuk bermain tetapi haruslah sentiasa berada di bawah pengawasan orang dewasa. Mereka juga dinasihati untuk memakai penanda seperti gelang tangan (medical bracelet) untuk memastikan orang-orang di sekeliling peka terhadap keadaan kanak-kanak ini yang mungkin boleh mengalami serangan sawan pada bila-bila masa. Selain mempraktikkan langkah-langkah keselamatan, kanak-kanak ini juga haruslah diawasi supaya mendapat tidur yang secukupnya, mengamalkan diet yang sihat serta mengambil ubat yang berkenaan jika sakit. Pengambilan ubat adalah penting kerana terdapat kes di mana kanak-kanak mengalami serangan sawan semasa demam dan menurut ibu bapa, ubat demam tidak diberikan atas alasan takut kepada kesan sampingan ubat. Tanggapan ini adalah salah. Ubat adalah diperlukan dan selamat jika diambil mengikut dos dan arahan yang ditetapkan.

Akhir sekali, ibu bapa, guru dan orang awam haruslah peka terhadap kelakuan kanak-kanak di sekeliling. Rujuklah kepada doktor atau perunding kesihatan jika anda mengesyaki sebarang keadaan yang tidak normal pada mereka.

Disediakan oleh,

Dr. Nadia Mohd Effendy,

Pakar Farmakologi dan pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

References:

  1. Consensus Guidelines on the Management of Epilepsy. 2010. Epilepsy Council, Malaysian Society of Neurosciences.
  2. Laura M.G. 2017. Absence epilepsy: Continum of Clinical Presentation and Epogenetics? European Journal of Epilepsy 44: 53-57
  3. Jeffrey R.T & Tracy A.G. 2013. The Current State of Absence Epilepsy: Can We Have Your Attention? Epilepsy Currents 13(3): 135-140.
  4. Absence Seizures. 2017. Epilepsy Foundation of America. url: https://www.epilepsy.com/learn/types-seizures/absence-seizures
  5. Epilepsy Treatment. MIMS Malaysia 2017.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box