Mengandung? Berikut Adalah Langkah-langkah Seterusnya – Dr Ayu Akida

Sumber: www.ihearteatwelllivewell.org

Sumber: www.ihearteatwelllivewell.org

Bagi bakal ibu-ibu baru, mendapat berita anda mengandung sukar dipercayai! Sering kali perasaan gembira itu bertukar apabila mengenangkan prosedur-prosedur yang bakal dilalui bermula kali pertama menjejak kaki ke klinik di permulaan perjalanan antenatal anda. Belum lagi perasaan dicucuk dan dijolok untuk pelbagai ujian dan pemeriksaan. Rencana ini dituju kepada bakal ibu untuk menerangkan hal-hal yang perlu dijangka ketika pemeriksaan lanjutan serta sebab-sebab pemeriksaan ini dijalankan. Butiran-butiran dan penjelasan kepada isi kandungan buku merah (buku/kad antenatal yang dikeluarkan oleh fasiliti kesihatan kerajaan) juga dijelaskan dalam penulisan ini.

Secara purata, bakal ibu akan menghadiri sekurang-kurangnya 8 pemeriksaan antenatal ketika tempoh kehamilan. Tetapi, seseorang yang mengalami risiko yang lebih tinggi atau komplikasi seperti penyakit sedia ada akan memerlukan lebih banyak pemeriksaan. Yang paling penting adalah pemeriksaan yang berkualiti, oleh itu adalah mustahak bagi bakal ibu mengetahui butiran-butiran pemeriksaan mereka.

Di Malaysia, ibu-ibu mengandung kebiasaannya mendaftar untuk pemeriksaan antenatal sebelum minggu ke-12 kehamilan. Tiada sekatan untuk membuat lawatan pertama sebaik sahaja kehamilan disahkan. Lebih awal, lebih afdhal. Penjagaan yang betul boleh dimulakan lebih awal untuk memastikan perkembangan janin yang optimum.

Ketika lawatan pertama, ibu-ibu akan didaftarkan ke dalam sistem dan butiran asas diperlukan seperti umur, alamat, nombor telefon, kumpulan etnik, pekerjaan, jumlah kehamilan dahulu dan jumlah anak. Klinik kerajaan akan memerlukan butiran suami. Data peribadi dan sosial diperlukan untuk sebab-sebab berikut :

  • Alamat dan nombor telefon: Memudahkan lawatan rumah
  • Umur: Menentukan kemungkinan faktor-faktor risiko
  • Pekerjaan Ibu dan Suami: Untuk menilai status sosio-ekonomi
  • Kumpulan Etnik: Untuk mengenalpasti amalan budaya ketika kehamilan

Kemudian anda akan diminta butiran-butiran sejarah perubatan termasuk obsterik, ginekologi, pembedahan, dan sejarah perubatan keluarga. Bagi sejarah obsterik, jangkakan soalan-soalan berikut terutama sekali untuk bakal ibu bukan kali pertama:

  • Jumlah anak, kehamilan, dan tahun kehamilan-kehamilan sebelumnya – jarak kelahiran merupakan petanda penting risiko yang mungkin berlaku. Seseroang yang mempunyai jarah kelahiran kurang 2 tahun dikira mempunyai risiko yang lebih tinggi, dan jarak kelahiran lebih 5 tahun akan dianggap seolah-olah sama seperti ibu hamil kali pertama.
  • Tempoh kehamilan sebelumnya – sama ada kandungan dibawa sehingga cukup bulan, pramasa, atau berpanjangan.
  • Apa-apa penyakit atau komplikasi ketika kehamilan sebelumnya – untuk mengenalpasti dan menjangka masalah yang mungkin berlaku
  • Cara bersalin ketika kehamilan sebelumnya dan tempat bersalin
  • Keadaan bayi sebelumnya – hidup dan sihat, atau kematian sewaktu lahir
  • Sama ada bayi sebelum ini disusukan atau diberi susu formula.

Untuk sejarah ginekologi, jangkakan soalan-soalan berikut:

  • Sejarah peredaran haid – tempoh haid terakhir (LMP), iaitu tarikh hari pertama haid kali terakhir, digunakan untuk mengira tarikh dijangka bersalin (EDD) serta umur janin. Ini hanya untuk wanita-wanita yang mengalami kitaran haid yang normal.
  • Sebarang prosedur pembedahan sebelum ini untuk tujuan ginekologi.
  • Keputusan ujian Pap smear sebelumnya.

Sejarah perubatan dan pembedahan adalah penting bagi doktor pesakit. Sekiranya anda pernah mengalami penyakit seperti diabetes mellitus, tekanan darah tinggi, sakit jantung, penyakit ginjal atau lain-lain dan sedang dalam rawatan, maklumat-maklumat ini sangat penting bagi doktor antenatal kerana sesetengah rawatan atau ubat-ubatan mungkin tidak sesuai bagi ibu mengandung atau bayi dalam kandungan. Hal ini turut mengubah rancangan rawatan untuk anda, oleh itu jangan risau tentang memberitahu perkara-perkara tersebut. Sejarah kesihatan keluarga juga mungkin berguna untuk doktor ibu hamil kerana terdapat penyakit yang berketurunan dan membolehkan kami lebih peka untuk petanda-petanda penting.

Jururawat akan bertanyakan keadaan anda ketika kehamilan terkini. Jangan takut atau malu untuk memberitahu apa-apa simptom yang dialami kerana pekerja kesihatan terlatih dan boleh merujuk kepada doktor sekiranya perlu. Mereka juga mungkin mempunyai nasihat-nasihat berguna untuk cara-cara menangani simptom-simptom ketika kehamilan.

Pemeriksaan Rutin

Setelah pusingan pertama pengumpulan maklumat, ibu-ibu mengandung akan dibawa masuk untuk pemeriksaan fizikal yang merangkumi:

Ketinggian

Ketika lawatan pertama, ukuran ketinggian ibu mengandung akan diambil. Ukuran ini diperlukan untuk menganggarkan saiz pelvis. Ibu-ibu molek, terutama sekali mereka yang berketinggian kurang 145cm mungkin mempunyai saiz pelvis yang kecil yang mungkin memberi kesan terhadap kelahiran secara normal. Jika hal ini demikian, ibu-ibu tersebut akan dirujuk kepada doktor untuk pemeriksaan pelvis untuk menganggar kesesuaian kelahiran secara normal.

Berat badan

Berat badan ibu diambil ketika lawatan pertama sebagai titik rujukan bagi pemeriksaan-pemeriksaan antenatal berikutnya. Pertumbuhan dan perkembangan janin ditaksir melalui berat badan yang direkodkan ketika setiap lawatan. Pertambahan sebanyak 0.5kg setiap bulan ketika separuh awal tempoh kehamilan adalah normal. Dalam tempoh separuh akhir kehamilan, pertambahan 0.5kg seminggu dijangkakan. Jika terdapat pertambahan berat badan yang terlalu tinggi, penyiasatan teliti perlu dilakukan untuk penyebabnya termasuk edema (pengumpulan cecair tisu berlebihan dalam ruang antara sel yang boleh berlaku setempat atau seluruh tubuh), polyhydramnios (kuantiti cecair amniotik terlalu banyak, melebihi 2000ml) kehamilan berganda dan lain-lain. Pengurangan berat badan pula memerlukan penyiasatan kedalam penyebabnya termasuk sekatan pertumbuhan janin dalam rahim. Berat badan statik mungkin petanda janin tidak berkembang dengan baik atau ibunya tidak mendapat nutrisi yang cukup.

Tekanan darah

Ukuran dan rekod tekanan darah adalah penting dan wajib ketika setiap pemeriksaan. Keadaan seperti tekanan darah tinggi gestasi atau versi lebih rumit yang dinamakan pra-eklampsia (keadaan ketika kehamilan yang bercirikan tekanan darah tinggi mendadak – kenaikan tekanan darah melebihi 140/90 mmHg), albuminuria (kebocoran protin albumin yang banyak ke dalam air kencing) dan edema (bengkak di tangan, kaki, dan muka) merupakan antara penyebab tekanan darah tidak normal dan boleh membawa mudarat kepada ibu dan bayi dalam kandungan.

Selain daripada yang disebut di atas, jururawat juga akan membuat pemeriksaan fizikal dari hujung rambut ke hujung kaki ke atas bakal ibu. Selain menjadi garis dasar untuk pemeriksaan seterusnya, pemeriksaan fizikal boleh mendedahkan ujian atau penjagaan tambahan yang mungkin diperlukan. Di fasiliti kerajaan, jururawat berpengalaman akan menjalankan ujian-ujian tersebut. Jururawat juga akan merujuk bakal ibu kepada doktor gigi untuk pemeriksaan rutin.

Pemeriksaan abdomen tidak selesa bagi sesetengah ibu tapi harap maklum bahawa ini merupakan bahagian penting bagi pemeriksaan ketika kehamilan. Dengan bertenang dan relaks, pengalaman ini menjadi lebih baik. Terdapat sebab mengapa jururawat perlu mengurut dan menujah perut. Semua langkah ini ialah bagi memeriksa janin dalam kandungan, dan maklumat yang boleh didapati adalah seperti berikut :

  • Saiz dan bentuk uterus;
  • Pemerhatian pergerakan bayi;
  • Anggaran tempoh gestasi atau berapa lama tempoh kehamilan telah berlangsung;
  • Menentukan rupa janin dan kedudukannya
  • Menentukan kedudukan jantung janin dan kala degupan jantung

Sekiranya masih awal dalam kehamilan, sesetengah langkah pemeriksaan tidak akan dijalankan, tetapi dengan berlangsungnya tempoh kehamilan, jangkakan langkah-langkah tersebut dilakukan ketika setiap lawatan.

Ujian Saringan Rutin

Apabila ujian fizikal telah dijalankan, adalah rutin bagi lawatan antenatal disertai ujian-ujian saringan seperti tersenarai di bawah:

  • Ujian air kencing untuk mengesan kehadiran glukosa (gula) dan albumin (protein) – gula digunakan untuk mengesan diabetes ketika kehamilan manakala protein boleh disebabkan beberapa perkara. Kehadiran protein dalam air kencing petanda mungkin terdapat masalah pada buah pinggang. Dengan berlangsungnya kehamilan, kehadiran protein dalam air kecing mungkin menandakan pre-eklampsia (darah tinggi ketika hamil). Kedua-dua ujian ini akan diulang untuk setiap lawatan.
  • Kumpulan darah dan faktor rhesus – status rhesus ibu perlu diketahui untuk mengesan kemungkinan ketidakserasian antara faktor rhesus ibu dan anak.
  • Kadar gula dalam darah untuk mengesan diabetes mellitus gestasi – hal ini sangat penting sekiranya ibu pernah melahirkan bayi besar atau sejarah keluarga menghidapi diabetes.
  • Ujian darah untuk kadar hemoglobin – ini adalah untuk memeriksa kadar hemoglobin, pembawa oksigen dalam darah. Seringkali ibu-ibu mengalami anemia dan boleh dielakkan dengan diet yang betul dan pengambilan makanan tambahan kesihatan.
  • Ujian saringan virus kurang daya tahan manusia (HIV) akan dijalankan tetapi hanya selepas kaunseling teliti sebelum ujian oleh pengasuh dan ibu memberi kebenaran bertulis untuk ujian tersebut dijalankan. Ujian ini berguna dalam erti kata terdapat ubat-ubatan yang boleh mencegah jangkitan virus dari ibu ke bayi dalam kandungan.
  • Makmal penyelidikan penyakit kelamin
  • Ujian makmal penyelidikan penyakit kelamin (VDRL) akan dijalankan untuk mengesan sifilis, sejenis penyakit bawaan seks (STD) di peringkat awal kehamilan.
  • Ujian antigen permukaan Hepatitis B juga akan dijalankan ketika lawatan pertama.
  • Sekiranya ibu berasal dari kawasan berisiko tinggi malaria, ujian untuk mengesan kehadiran malaria – filem darah untuk parasit malaria (BFMP) – akan dilakukan.
  • Rutin ultrasound biasanya dijalankan dua kali: sekali pada trimester untuk mengesahkan tempoh kehamilan dan mengenalpasti sebarang kecacatan dan jumlah fetus; kali kedua ialah semasa trimester terakhir bagi memastikan perkembangan optimum bayi yang belum lahir serta kedudukannya dan lokasi plasenta.

Sesetengah ujian yang disenaraikan di atas akan diulang dalam tempoh kehamilan sebagai cara mengesan keadaan yang biasa berlaku pada wanita hamil, terutama sekali ujian kecing untuk gula dan albumin serta ujian darah untuk hemoglobin.

Pengimunan

Ibu yang mengandung perlu menjangkakan suntikan anti-tetanus. Jika ini kali pertama anda hamil, suntikan ini akan diberikan sebaik sahaja anda merasakan pergerakan pertama janin dalam rahim antara minggu ke-16 hingga minggu ke-20 kehamilan. Namun ini tidak bermaksud anda perlu bergegas ke klinik untuk menerima suntikan. Beritahu kepada jururawat pada lawatan seterusnya dan beliau akan memulakan pengimunan. Dos kedua akan diberikan 4 hingga 6 minggu selepas dos pertama. Sekiranya bukan kehamilan pertama, anda hanya memerlukan suntikan penggalak. Jika kehamilan terakhir lebih 5 tahun lalu, anda akan menerima dua dos suntikan.

Makanan tambahan kesihatan

Selepas penilaian ke atas ibu hamil, vitamin biasanya akan diberikan untuk memastikan perkembangan optimum janin dalam kandungan serta mencegah anemia kurang ferum seperti tablet ferus fumarat, asid folik, vitamin C dan vitamin kompleks.

Kata-kata akhir

Pemeriksaan antenatal memanfaatkan kedua-dua ibu dan bayi yang bakal lahir. Oleh itu, adalah penting bagi ibu-ibu menerima perhatian yang diperlukan. Di Malaysia kita bertuah kerana mendapat khidmat terbaik di kedua-dua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta. Namun begitu, tidak semua klinik memberi perkhidmatan yang sama. Contohnya, di klinik kerajaan, pemeriksaan mungkin dijalankan oleh jururawat manakala di klinik swasta, doktor akan melakukannya.

Tidak semua klinik kerajaan mempunyai mesin ultrasound dan anda mungkin dirujuk semula kepada doktor terdekat untuk janji-temu ultrasound. Fasiliti swasta mungkin dijalankan lebih lancar dan masa tunggu lebih singkat. Klinik kerajaan pula mungkin mengambil masa lebih lama untuk giliran pemeriksaan kerana terdapat lebih ramai orang di sana. Usah bimbang kerana protokol yang tertubuh memastikan tiada kompromi dalam penjagaan anda walaupun masa menunggu lama.

Tidak kira di mana anda memilih untuk mendapatkan pemeriksaan antenatal, panduan yang dijelaskan di atas adalah keperluan asas seorang ibu hamil sepatutnya terima. Bergantung kepada keadaan ibu, misalnya jika anda berada dalam golongan berisiko tinggi atau mempunyai beberapa masalah kesihatan serentak, anda mungkin dirujuk kepada doktor pakar. Dengan itu, lebih banyak ujian atau prosedur mungkin dijalankan.

Semoga rencana ini memberi manfaat kepada anda dan saya doakan kehamilan yang lancar.

Dr. Ayu Akida seorang pakar dalam Kesihatan Awam. Beliau meminati bidang kesihatan keluarga terutamanya kesihata wanita dan penyakit berjangkit. Kenali beliau lebih lanjut di lama The Team (Columnist). Artikel ini diterjemahkan daripada https://www.mmgazette.com/pregnant-heres-what-to-do-dr-ayu-akida/ oleh Nur Nadhirah.

Rujukan:

  • http://fh.moh.gov.my/v3/index.php/ms/perkhidmatan-yang-disediakan/pra-kehamilan/aktiviti

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box