Memilih Kaedah Rawatan Kesuburan yang Sesuai untuk Anda – Dr Sumithra Devi Valiapan

Terdapat beberapa jenis rawatan yang dapat digunakan bagi pasangan yang menghadapi masalah kesuburan. Temujanji pertama dengan Pakar Kesuburan adalah untuk menentukan punca masalah kesuburan pasangan suami isteri tersebut. Seterusnya, jenis prosedur yang disyorkan adalah berdasarkan punca masalah kesuburan yang telah dikenalpasti.

Pakar Kesuburan akan mengambilkira beberapa perkara semasa menentukan rawatan yang sesuai untuk setiap pasangan. Antaranya, bagi si isteri adalah usia, rizab telur, masalah pada rahim dan kilang telur, serta keadaan saluran fallopio, samada berfungsi atau tersumbat. Kualiti sperma suami juga memainkan peranan apabila menentukan rawatan yang sesuai untuk pasangan tersebut.

Pakar kesuburan juga akan memberitahu anggaran peratusan keberhasilan setiap kaedah yang tersedia ada untuk setiap pasangan, berdasarkan riwayat kesuburan mereka.

Selain itu, tidak kurang penting adalah kos rawatan kesuburan. Sememangnya, tidak dapat dinafikan bahawa kos rawatan boleh dianggap tinggi, dan ramai pasangan mendapati inilah faktor penentu utama semasa memilih rawatan yang sesuai. Malangnya kos rawatan jugalah yang merupakan faktor penghalang utama ramai pasangan daripada mendapatkan rawatan kesuburan yang lebih sesuai untuk mereka.

Hampir semua kaedah rawatan kesuburan melibatkan proses stimulasi telur isteri bagi mendapatkan jumlah telur yang sesuai agar rawatan tersebut berjaya. Si isteri akan diberi ubat hormon dalam bentuk tablet, suntikan atau gabungan kedua-duanya. Seterusnya, imbasan (scan) akan dilakukan beberapa kali untuk menentukan respon telur terhadap stimulasi yang telah diberikan.

SELANJUTNYA, TIGA KAEDAH YANG MUNGKIN DIGUNAPAKAI ADALAH:

(Setiap kaedah berikut, mengikut urutan ke bawah, adalah lebih rumit serta memerlukan kos lebih mahal daripada kaedah sebelumnya. Namun kemungkinan untuk berjaya adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan kaedah sebelumnya)

  1. Penentuan masa subur isteri disertai hubungan suami-isteri
  2. Permanian beradas/Inseminasi intrauterin (intrauterine insemination, IUI)
  3. Bayi tabung uji (in vitro fertilization, IVF)

 

PENENTUAN MASA SUBUR ISTERI DIIKUTI HUBUNGAN SUAMI-ISTERI

Pasangan akan digalakkan melakukan hubungan suami isteri setelah Pakar Kesuburan menentukan masa yang paling sesuai berdasarkan tindakbalas kilang telur isteri yang telah distimulasi untuk mengeluarkan telur.

 

 

PERMANIAN BERADAS/INSEMINASI INTRAUTERIN (INTRAUTERINE INSEMINATION= IUI)

Kaedah ini memerlukan suami mengeluarkan air mani yang akan diproses di makmal dan seterusnya, sperma yang berkualiti tinggi sahaja akan dimasukkan terus ke dalam rahim isterinya dengan tiub yang halus, supaya sperma tersebut boleh mempersenyawakan telur dengan lebih efisien.

 

BAYI TABUNG UJI (IN VITRO FERTILIZATION= IVF)

Isteri akan melalui satu proses pengutipan beberapa telur dari kilang telurnya, yang seterusnya akan disenyawakan dengan sperma suaminya, oleh ahli sains (Pakar Embriologi) di makmal. Hasilnya ialah embrio yang akan dikembalikan ke rahim ibu dengan satu tiub yang halus. Embrio selebihnya akan dibekukan untuk penggunaan pasangan tersebut di masa hadapan.

Akhirnya, setelah kaedah di atas dijalankan, ujian kehamilan akan dilakukan selepas dua minggu, untuk mengetahui keberkesanan rawatan tersebut.

 

Dr Sumithra Devi Valiapan, Pakar Kesuburan (Fertiliti) dan Pakar Obstetrik & Ginekologi

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box