Kesan Stigma – Dr Eugene Koh

Source: Dr. Eugene Koh

Source: Dr. Eugene Koh

Penyakit mental dikenalpasti sejak zaman purba dan pelbagai kaedah telah dilakukan untuk merawatnya. Penemuan arkeologi mendapati tengkorak yang mempunyai lubang yang di gerudi ke dalamnya berkemungkinan untuk melepaskan gangguan syaitan. Pakar perubatan Yunani, Hippocrates, berpendapat penyakit mental disebabkan ketidakseimbangan unsur-unsur dalaman. Ibn Sina telah menggunakan pujuk rayu dan ubatan lain untuk merawat pesakitnya. Penyakit mental turut dikaitkan dengan unsur sihir sehingga mencetuskan ekspedisi pemburuan ahli sihir. Pada satu ketika dahulu pembedahan lobektomi (pembedahan membuang lobus hadapan otak) pernah menjadi kaedah rawatan lazim bagi penyakit mental. Kemunculan kaedah rawatan menggunakan ubat-ubatan hanya muncul pada zaman perubatan moden.

Penjagaan pesakit mental kini tidak lagi berasaskan rawatan di pusat pesakit mental yang tertumpu kepada rawatan doktor. Kini, kaedah rawatan kian hari menuju ke arah rawatan berdasarkan komuniti, menitikberatkan model “biopsychosocial”- satu kaedah rawatan menyeluruh yang melibatkan ubat-ubatan, pemulihan dan pendidikan. Melalui kaedah ini jururawat komuniti, ahli terapi pemulihan kerja, kaunselor, ahli keluarga dan pemimpin keagamaan memainkan peranan yang penting dalam pemulihan pesakit. Kaedah ini telah mengurangkan kejadian penyakit mental berulang, dan turut membolehkan integrasi antara pesakit mental ini dan masyarakat sekeliling sebagai ahli masyarakat yang berfungsi secara normal.

Walaupun terdapat kemajuan dalam rawatan penyakit mental yang memberansangkan, stigma tetap menjadi halangan kepada pemulihan optimum. Stigma (berasal dari perkataan Yunani) bermaksud “menanda”. Ia merujuk kepada kepercayaan negatif yang berkait dengan sesuatu contohnya kepercayaan yang membentuk sikap dan perlakuan. Pakar sosiologi Kanada Eric Goffman menakrifkan stigma sebagai sifat yang amat mencemarkan dan membahayakan.

Stigma terbahagi kepada dua jenis- perlakuan dan dirasa. Stigma perlakuan adalah sejenis diskriminasi atau prejudis satu pihak terhadap pihak yang lain. Contohnya, seorang individu yang tidak diberi peluang kenaikan pangkat kerana penyakit mental beliau ialah mangsa stigma perlakuan. Sebaliknya, stigma dirasa adalah perasaan takut didiskriminasi, contohnya individu yang tidak berani meninggalkan rumah kerana risau diejek jiran tetangga. Kedua-dua jenis stigma ini boleh menyebabkan seseorang itu kehilangan kepercayaan diri dan mungkin juga mengakibatkan pesakit menjadi agresif dan ini seterusnya akan memberi tanggapan lebih negatif terhadap penyakit mental.

Stigma mengakibatkan penurunan kualiti hidup yang ketara. Ia meninggikan risiko pengangguran, sokongan sosial yang lemah dan harga diri yang negatif. Pesakit yang merasa diri mereka dipulaukan dan tidak dikehendaki masyarakat lebih berkemungkinan untuk tidak mendapatkan rawatan. Ini akan menyebabkan mereka kembali sakit dan memerlukan kemasukan ke hospital lebih kerap. Keadaan ini menambah bebanan terhadap sistem kesihatan kita.

Satu bancian di kalangan individu yang mengalami penyakit mental di UK di antara 2010 dan 2011 menunjukkan 85% pesakit turut mendiskriminasi diri sendiri. Di rantau ini, satu kajian di Hospital Taiping pada tahun 2009 mendapati bahawa kebanyakan pesakit yang mengalami penyakit mental merasakan diri mereka tidak disukai, diberi layanan tidak rata dan dipulau oleh ahli keluarga mereka sendiri.

Di antara pesakit yang segar dalam ingatan saya merupakan seorang guru wanita yang mengalami penyakit schizophrenia. Penyakit beliau tidak dikesan kerana beliau tinggal seorang diri dan dipulaukan oleh ahli keluarga yang tidak memahami atau dapat menerima perlakuan beliau. Beliau kemudiannya dipecat oleh majikan dan kehilangan pekerjaan. Perasaan paranoid beliau semakin menjadi-jadi apabila penyakit itu bertambah serius. Akhirnya beliau ditahan polis apabila melontar batu ke arah kereta yang melintas kerana beliau beranggapan bahawa pemandu kereta-kereta tersebut berniat jahat terhadapnya. Walaupun keadaan beliau semakin pulih setelah mendapat rawatan, keluarganya tetap memulaukan dirinya dan memilih untuk menghantarnya ke pusat jagaan setelah dihantar pulang dari hospital.

Stigma mampu diatasi dengan tiga langkah mudah- mengenali, memahami dan membantah. Mengenali bermaksud berusaha meluangkan masa bersama individu yang menghidapi penyakit mental. Adalah amat penting untuk kita tidak bersikap menghukum terhadap mereka, sebaliknya menerima keadaan mereka dengan fikiran yang terbuka. Sekiranya kita lebih mengenali mereka, kebarangkalian untuk berfikiran negatif tentang mereka adalah lebih rendah. Untuk lebih memahami golongan ini, pendidikan melalui bahan-bahan ilmiah yang perlu disediadakan untuk menangkis tanggapan yang kurang tepat mengenai penyakit mental itu sendiri. Akhirnya, kita haruslah bersatu membantah secara beramai-ramai stigma terhadap golongan ini melalui kempen dan kaedah-kaedah lain.

Pemulihan seorang pesakit mampu dipercepatkan setelah masalah stigma diatasi dan sokongan padu diberikan. Setelah beberapa bulan mengikuti perkembangan pesakit saya dan mengambil masa untuk memberi pendidikan kepada ahli keluarganya mengenai penyakit yang dialaminya, mereka mengambil keputusan untuk mengeluarkan beliau daripada rumah jagaan tersebut. Kini, beliau tinggal bersama ahli keluarga yang tersayang dan keadaannya semakin pulih. Sayangnya kesudahan gembira seperti ini amat jarang terjadi.

* Penghargaan buat Dr Chua Li-Shun atas bantuan beliau.

Dr Eugene Koh (MB BCh BAO, Penang Medical College) seorang pensayarah pelatih psychiatry di university tempatan. Artikel ini diterjemahkan oleh Dr Hidayatul Radziah Ismawi berdasarkan artikel asal di sini.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Rujukan:

  • Origin of Mental Illness. http://www.healthline.com/galecontent/origin-of-mental-illnesses. 2003.
  • Noggle, Chad A, Raymond D. The neuropsychology of psychopathology. Springer Publishing Company, 2012. 3-9
  • Mohit, A.. Mental health and psychiatry in the Middle East: historical development. Eastern Mediterranean Health Journal 7 (2001): 336-347.
  • E Goffman. Stigma: Notes on the Management of Spoiled Identitiy. 1963
  • NHS. Attitudes to mental illness- 2011 survey report. 2001
  • Alison J G. Stigma in Psychiatry. J R Soc Med 2002;95:72-76
  • Peter B. Psychiatric Stigma. British J Psy 2001; 178:281-284
  • Tuti MD et al. Stigma Arising From Family Members of The Mentally Ill Patients in Hospital Taiping. Malaysian Journal of Psychiatry 18.1 (2010).. MJP Online Early 01-02-09

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box