Kecederaan Hati Akibat Ubatan (Drug-induced Liver Injury, DILI) – Dr Chieng Jin Yu

Kecederaan hati cetusan ubat (Drug-induced liver injury, DILI) ialah punca hampir 10% daripada keseluruhan kes radang hati akut.

Sumber Gambar: Daily Express

Bagaimana ia terjadi?

Hati manusia berfungsi menguraikan ubat-ubatan tertentu, termasuk yang ubat yang terjual di kedai-kedai. Memakan ubat yang memudaratkan hati (ubat hepatotoksik) boleh menjejaskan fungsi hati yang sihat. Biasanya keracunan berlaku selepas memakan ubat tersebut selama beberapa minggu atau akibat terlebih dos ubat. Memakan beberapa jenis ubat pada masa yang sama juga boleh menyebabkan keradangan hati semakin parah.

Apakah jenis ubat yang sering disyaki?

Ubat anti-tibi (khasnya isoniazid dan rifampicin) seperti juga ubatan herba adalah ‘penjahat’ paling biasa di negara-negara Asia seperti Malaysia. Ahmad Marzuki Omar, et al. dalam kajiannya melaporkan prevalen yang tinggi kepada keradangan hati cetusan ubat (9.7%). Kajian lain pula menunjukkan bahawa lebih dari 70% kes DILI di Singapura dan Korea dikaitkan dengan suplemen makanan dan herba (Wai 2007, Suk 2012).

Di Negara Barat, parasetamol/asetaminofen ialah ubat yang paling selalu menjadi penyebab radang hati. Ia boleh merosakkan hati jika dimakan melebihi dos yang disyorkan. Namun begitu, keparahan keracunan hati akibat parasetamol telah diturunkan di Negara-negara Timur, dengan sifar kes kegagalan hati atau kematian yang dilaporkan.

Ubatan lain yang membawa kepada kerosakan hati termasuklah:

  • Amiodaron
  • Ubat anti-radang bukan steroid (Non-steroidal anti-inflammatory drugs, NSAIDs), contohnya ibuprofen dan naproxen
  • Amoxicillin, atau Co-Amoxiclav
  • Pil perancang oral
  • Erythromycin
  • Halothane (sejenis ubat bius)
  • Methyldopa
  • Isoniazid
  • Methotrexate
  • Statin (tidak selalu, dalam kurang daripada 5% kes)

 

Bagaimana saya tahu sama ada saya menghidap DILI?

Faktor risiko yang menjurus kepada DILI termasuklah etnik, usia lanjut, wanita, minum arak, penyakit hati sedia ada dan factor genetik.

Apabila ubat mencederakan hati dan mengganggu fungsi normalnya, akan timbul gejala, tanda dan keputusan ujian darah yang tak normal menunjukkan penyakit hati.

 

Setiap individu boleh mengalami gejala yang berbeza-beza, contohnya:

  • Demam
  • Loya
  • Muntah-muntah
  • Jaundis – penguningan kulit dan mata
  • Ruam atau gatal gelegata pada kulit
  • Sengal otot
  • Gejala seperti selsema
  • Kurang selera makan

 

Apa yang doktor boleh lakukan berkenaan DILI?

Tidak syak lagi, riwayat perubatan ialah langkah paling penting untuk mengurus DILI: mendapatkan sejarah setiap ubat yang dimakan dalam temboh 3-6 bulan kebelakangan amatlah penting! Ini diikuti oleh pemeriksaan fizikal yang teliti dan berfokus.

Prosedur diagnosis lain untuk DILI termasuklah yang berikut:

  • Ujian fungsi hati
  • Kiraan darah penuh
  • Ujian elektrolit
  • Ujian bahan kimia lain dalam tubuh
  • Ujian saringan dadah
  • Ultrasound sistem hati
  • Ujian Hepatitis virus, hepatitis autoimun untuk menyingkir kebarangkalian lain.
  • Biopsi hati boleh dipertimbangkan jika keradangan masih kekal atau menjadi parah walaupun ubat punca sudah dihentikan.

 

Bagimana mengurus DILI?

DILI biasanya muncul dengan salah satu daripada tiga pola berikut:

Hepatitis: Kenaikan AST/ALT (meningkat dua kali ganda)

Cholestasis: Kenaikan alkaline phosphatase (meningkat dua kali ganda)

Gambaran tidak menentu dengan kerosakan salur halus hempedu dan sel-sel hati. Kenaikan berbagai pada aminotransferase (meningkat dua kali ganda) dan alkaline phosphatase (meningkat dua kali ganda)

Kegagalan hati ialah satu komplikasi yang mungkin tapi bukan petanda awal yang biasa bagi DILI.

Diagnosis awal dan menghentikan ubat yang disyaki ialah cara utama merawat DILI. Memantau enzim hati – alanin aminotransferase (ALT) dan aspartat aminotransferase (AST) – sangat penting di samping menghentikan ubat punca penyakit. Selalunya, kebanyakan kes hepatitis cetusan ubat akan reda dalam tempoh beberapa hari atau minggu selepas menghindari ubat punca masalah itu.

N-acetylcysteine (NAC), pelopor kepada glutation, digunakan untuk merawat keracunan hati akibat parasetamol. Ia seharusnya mula diberi jika kes disyaki DILI akibat parasetamol, khususnya jika ada kenaikan AST, ada tahap asetaminofen dalam serum yang dikesan, atau jika tahapnya melebihi tahap rawatan dalam normogram Rumack-Matthew.

Malangnya, selain NAC, tiada terdapat penawar khusus untuk penyakit hati cetusan ubat. Asid ursodeoksikolik ialah satu pilihan untuk mengurus kolestasis cetusan ubat, dan  kolestiramin boleh digunakan untuk meredakan gatal.

Pesakit yang demam, beruam dan eosinophilia patut dikira mendapat diagnosis hepatitis autoimun cetusan ubat. Jika DILInya teruk, rawatan kortikosteroid digunapakai kerana kemujarabannya.

Kegagalan hati fulminan daripada keracunan hati cetusan ubat – ditakrif sebagai ensefalopati hati dalam tempoh 8 minggu terbit gejala akibat keracunan ubat – mungkin memerlukan rawatan pemindahan hati. Ciri-ciri King’s College digunapakai untuk menentukan sama ada pesakit perlu pembedahan pemindahan hati atau tidak.

Jika anda ada radang hati akut, anda patut menghindari kerahan fizikal, alkohol, parasetamol dan lain-lain bahan hepatotoksik.

Kesimpulan

DILI ialah satu keadaan yang mudah dihindari. Sangat penting untuk tidak terlebih guna ubat yang mengandungi asetaminofen yang terdapat di kedai, melebihi dos yang disyorkan.  Jika anda banyak minum alkohol atau kerap minum, anda patut menghindari ubatan sebegini dan berbincang dengan doctor anda tentang dos yang selamat. Jika anda menghidap penyakit hati, sila beritahu doktor semua ubat yang anda ambil. Hindari semua ubat yang mungkin hepatotoksik sejauh mungkin dan berbincanglah dengan doctor untuk tahu yang mana selamat untuk anda.

 

Oleh Dr Chieng Jin Yu, Pensyarah Perubatan, Pakar runding  Gastroenterologi dan Hepatologi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

Rujukan

Christin Giordano, John Rivas,and Xaralambos Zervos. An Update on Treatment of Drug-Induced Liver Injury. J Clin Transl Hepatol. 2014 Jun; 2(2): 74–79.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box