Hargai Dirimu Wahai Wanita: Ketahui Risiko Kanser Serviks & Diet Sesuai untuk Mengelakkannya – Prof Madya Dr Nazefah Abdul Hamid & Prof Madya Dr Norsham Juliana

Apa itu kanser serviks ?

Kanser serviks atau turut dikenali sebagai kanser pangkal rahim merupakan salah satu kanser utama yang menyerang wanita di seluruh dunia. Pangkal rahim merupakan bahagian yang menyambungkan faraj dengan rahim dan membentuk saluran kelahiran. Menurut laporan World Health Organisation (WHO), kanser serviks merupakan kanser keempat tertinggi yang menyerang wanita dan di antara penyebab kematian tertinggi wanita di dunia. Di Malaysia, kanser serviks merupakan kanser keempat tertinggi di kalangan wanita dan di tangga kelima sebagai penyebab kematian wanita di Malaysia.

 

Faktor risiko

Kanser serviks disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai Human Papillomavirus (HPV) yang menyerang lapisan sel dan tisu di bahagian serviks. Terdapat lebih dari 100 jenis strain HPV namun 70% jangkitan HPV melalui strain HPV 16 dan 18 yang menyebabkan kanser serviks. HPV boleh merebak melalui hubungan seks, mempunyai ramai pasangan seks dan hubungan seks dengan lelaki yang mempunyai ketuat di bahagian penis.

Faktor-faktor lain yang boleh juga menyebabkan kanser serviks ialah umur yang muda mengadakan hubungan seks; selalunya lebih terdedah kepada risiko penyakit kanser serviks. Pada zaman sekarang, lebih ramai wanita muda mengadakan hubungan seks pada usia yang muda, seterusnya menjelaskan kenapa berlakunya peningkatan kes kanser serviks di kalangan wanita muda.

Penggunaan kaedah perancangan keluarga juga boleh meningkatkan risiko mendapat kanser serviks. Mengambil pil perancang keluarga selama lebih 5 tahun dilaporkan boleh meningkatkan risiko mendapat kanser serviks. Selain itu, terdapat juga laporan bahawa kebanyakan wanita yang mengambil pil perancang tidak menggunakan kondom seterusnya meningkatkan risiko mendapat jangkitan HPV.

Merokok juga boleh meningkatkan risiko untuk mendapat kanser serviks sebanyak 4 kali ganda berbanding dengan tidak merokok. Merokok juga didapati melemahkan imun sistem seterusnya tidak dapat melawan jangkitan virus HPV.

Gejala

Gejala awal yang dihidapi oleh pesakit kanser serviks ialah masalah keputihan yang banyak, berubah warna atau bau yang busuk. Pesakit juga mungkin mengalami masalah pendarahan yang berpanjangan atau pendarahan selepas hubungan seks. Masalah haid yang berpanjangan juga merupakan di antara simtom yang dialami oleh pesakit ini. Sakit di bahagian abdomen atau di bahagian pelvis turut dilaporkan sebagai salah satu simptom penyakit ini.

 

Diet sesuai untuk mengelakkan kanser serviks

Faktor pemakanan dan diet adalah antara faktor yang boleh diubah dalam mengurangkan risiko bagi wanita untuk menghidap penyakit kanser serviks. Terdapat pelbagai kajian saintifik yang telah membuktikan kaitan rapat antara diet dan kanser serviks, malahan saranan terperinci daripada aspek pemakanan ini telah pun diusulkan oleh pelbagai organisasi diiktiraf berkaitan  kanser termasuklah Pertubuhan Kanser Amerika dan Pertubuhan Kanser Malaysia.

 

Memandangkan kanser serviks adalah berkait rapat dengan jangkitan HPV,  faktor pemakanan yang mampu mengoptimumkan sistem imun turut dapat mengelakkan jangkitan HPV serta membantu tubuh untuk bertindak balas sekiranya terdapat pertumbuhan sel yang tidak normal. Kebanyakan kajian menekankan tentang pengambilan antioksidan yang tinggi dalam diet bagi mencegah daripada jangkitan HPV serta penyakit kanser serviks. Vitamin seperti vitamin A (asid retinoik), C (asid askorbik) dan E (tokoferol) didapati mampu menghalang pembiakan sel kanser, menstabilkan protein p53 (protein pencegah tumor), mencegah kerosakan DNA, dan mengelakkan penurunan sistem imun. Selain itu, sumber nutrien seperti folat, vitamin D dan likopena mampu menyekat perkembangan jangkitan HPV kepada kanser serviks. Keseluruhan nutrien yang disenaraikan ini kaya dalam buah-buahan serta sayur-sayuran. Kajian prospektif EPIC (European Prospective Investigation into Cancer and Nutrition) yang melibatkan 30000 wanita daripada beberapa negara mendapati bahawa peningkatan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan harian mampu menurunkan risiko terhadap kanser serviks secara langsung. Menurut kajian tersebut, pengambilan harian sebanyak 100 gram (g) buah-buahan atau 100 g sayur-sayuran dikaitkan secara langsung dengan pengurangan risiko kanser serviks. Sedjo dan rakan turut melaporkan kajian kohort prospektif mereka mendapati bahawa tahap pengambilan sayur-sayuran yang tinggi dikaitkan dengan pengurangan 54% risiko terhadap HPV.

 

Koshiyama M. mengulas dalam jurnal Healthcare bahawa pengambilan diet barat yang bercirikan daging terproses, sos, dan makanan ringan dikaitkan dengan risiko jangkitan HPV yang lebih tinggi. Ini memandangkan diet barat telah dilapor meningkatkan risiko terhadap keradangan dan mengurangkan ketahanan tubuh terhadap jangkitan.

 

Oleh itu, faktor pemakanan tidak boleh dipandang ringan dalam mengurangkan risiko terhadap jangkitan HPV dan kanser serviks. Ayuh kita mewarnai hidangan kita dengan pelbagai buah-buahan serta sayuran dan mengurangkan pengambilan makanan terproses dalam diet harian.

Prof Madya Dr Nazefah Abdul Hamid merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM. Beliau menjalankan penyelidikan berkaitan dengan kanser serviks. Prof Madya Dr Norsham Julianamerupakan pensyarah di dalam bidang Fisiologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM dan menjalankan penyelidikan berkaitan pemakanan komuniti.

 

Rujukan:

  1. Beyene et al.,(2021). Risk factors for precancerous cervical lesion among women screened for cervical cancer in south Ethiopia: unmatched case-control study. 16(7):e0254663.
  2. Globocan, 2020. International Agency for Research on Cancer, World Health Organisation.
  3. Koshiyama M (2019). The effects of the dietary and nutrient intake on gynaecologic cancers, Healthcare, v.7(3), PMC6787610.
  4. Tsikouras et al., (2016). Cervical cancer: screening, diagnosis and staging. JBUON, 21(2): 320-325.
  5. Koshiyama M. (2019).The Effects of the Dietary and Nutrient Intake on Gynecologic Cancers. Healthcare (Basel). 7(3):88. doi: 10.3390/healthcare7030088. PMID: 31284691; PMCID: PMC6787610.
  6. Ciebiera, M.; Esfandyari, S.; Siblini, H.; Prince, L.; Elkafas, H.; Wojtyła, C.; Al-Hendy, A.; Ali, M. (2021) Nutrition in Gynecological Diseases: Current Perspectives. Nutrients13, 1178. https://doi.org/10.3390/nu13041178.
  7. Yuanxing Li, Aimin Yang, Wei Wang, Zhilian Wang, Zhe Wang, Xiaoqiang Su, Lili Zhang, Jing Yang, Weihong Zhao, M In Hao. (2020) Folic Acid Intake and Folate Status and Risk of Cervical Cancer: A Systematic Review and Meta-Analysis from 20 Independent Case-Control Studies and 4 RCTs, Current Developments in Nutrition, 4(Supplement_2): 330, https://doi.org/10.1093/cdn/nzaa044_029

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box