Fenomena Rintangan Antibiotik: Panduan Melanjutkan Hayat Antibiotik Anda – Arif M. Sopian

Sinopsis Penemuan Antibiotik dan Kejatuhan Pasca-Antibiotik.

Pada 28 September 1928, ketika mencelikkan mata menjelang waktu pagi, saya langsung tidak menjangkakan bahawa saya akan membuat revolusi dunia ubat-ubatan dengan penemuan antibiotik pertama di dunia, atau pembunuh bakteria.  Tetapi saya berpendapat, itu lah perkara yang saya telah lakukan.”

-Alexander Fleming, 1928-

 

Berikut merupakan kata-kata yang diungkapkan oleh seorang saintis perubatan berbangsa Scotland yang bernama Alexander Fleming pada tahun 1928 setelah secara tidak sengaja menemukan Penicillin, iaitu antibiotik pertama yang digunakan secara komersial. Antibiotik merupakan ubat yang digunakan untuk mencegah atau merawat jangkitan bakteria. Zaman kegemilangan antibiotik bermula dari 1930-an sehingga 1960-an. Pada dekad tersebut, terdapat banyak antibiotik telah berjaya dihasilkan. Walau bagaimanapun, zaman tersebut berakhir kerana para pengkaji tidak mampu menemukan antibiotik baharu selari dengan kemunculan fenomena rintangan antibiotik.  Kes-kes berkaitan rintangan telah melonjak dari tahun 1970 dan kini World Health Organisation (WHO) telah merujuknya sebagai salah satu ancaman global abad ke-21.

 

Alexander Fleming, individu yang menemukan antibiotik pertama, Penicillin. (Sumber gambar: Google)

 

Apakah Rintangan Antibiotik dan Faktor Penyumbang?

Rintangan terhadap antibiotik adalah proses semula jadi yang berlaku apabila bakteria dapat menyesuaikan diri dengan berubah sifat selepas didedahkan kepada persekitaran yang mengancam kemandirian mereka, sebagai contoh selepas didedahkan kepada ubat yang mengandungi antibiotik. Penggunaan antibiotik secara kerap untuk tempoh yang berpanjangan akan membasmi bakteria yang sensitif terhadap antibiotik tersebut, namun pada masa yang sama bakteria yang kebal antibiotik akan terus hidup dan membiak. Dalam persekitaran yang tidak kondusif, DNA bakteria juga boleh bermutasi supaya mereka boleh terus hidup dalam persekitaran tersebut. Selain itu, bakteria kebal antibiotik juga mampu berkongsi genetik kekebalan dengan kelompok bakteria yang tidak kebal antibiotik, seterusnya menjadikan mereka bakteria kebal antibiotik.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada fenomena rintangan antibiotik dan salah satunya adalah penyalahgunaan antibiotik. Contoh terbaik adalah apabila seseorang pengamal perubatan memberikan antibiotik kepada pesakit jangkitan virus setelah mendapat desakan dari pesakit, sedangkan penggunaan antibiotik dalam situasi ini  adalah tidak diperlukan. Tindakan ini ibarat mencurahkan air ke daun keladi kerana rawatan antibiotik hanya berkesan untuk jangkitan bakteria dan bukannya jangkitan virus. Saintis juga percaya bahawa penggunaan antibiotik secara besar-besaran dalam industri pertanian dan penternakan, seperti yang berlaku di Amerika Syarikat, juga merupakan salah satu faktor berlakunya rintangan antibiotik.

 

Statistik dan Implikasi Rintangan Antibiotik di Malaysia.

Menurut Laporan Pengawasan Antibiotik Kebangsaan 2017 yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia, berdasarkan data semasa, terdapat peningkatan terhadap kes-kes rintangan antibiotik di negara ini. Sebagai contoh, peratusan rintangan bakteria Acinetobacter baumaniiterhadap antibiotik Meropenem telah meningkat dari 49% pada tahun 2008 kepada 61% pada tahun 2016. Selain itu, peratusan rintangan bakteria Streptococcus pneumoniaeterhadap antibiotik erythromycin, iaitu antibiotik utama dalam rawatan jangkitan saluran pernafasan, juga kini berada pada paras 31%. Pola ini cukup membimbangkan kerana sekiranya perkara ini tidak dibendung, pilihan antibiotik untuk merawat jangkitan akan menjadi semakin terhad seterusnya melambatkan tempoh kesembuhan daripada jangkitan. Rintangan antibiotik juga akan menyebabkan pelanjutan tempoh rawatan di dalam wad hospital dan hal ini seterusnya akan meningkatkan kos rawatan pesakit.

 

Peranan Pengamal Perubatan dan Petugas Kesihatan Memerangi Rintangan Antibiotik.

Pengamal perubatan dan petugas kesihatan merupakan barisan hadapan bagi membendung dan mengelakkan daripada berlakunya rintangan antibiotik. Antara peranan mereka termasuklah:

  • Cegah jangkitan dengan memastikan tangan, peralatan perubatan, stesen kerja dan tempat prosedur sentiasa steril dan bersih.
  • Preskrib antibiotik kepada pesakit hanya apabila diperlukan sahaja mengikut garis panduan yang terkini.
  • Laporkan kes jangkitan yang melibatkan rintangan antibiotik kepada pasukan pengawasan yang berkaitan.
  • Beri nasihat kepada pesakit berkenaan cara penggunaan antibiotik yang betul, fakta berkaitan rintangan antibiotik beserta bahaya penyalahgunaan antibiotik.
  • Beri maklumat kepada pesakit berkenaan kaedah mencegah jangkitan seperti melalui suntikan vaksinasi, tabiat membasuh tangan yang betul, amalan seks selamat dan lain-lain.

Inisiatif Bersama: Tanggungjawab Pesakit dan Masyarakat Umum.

Sama ada sebagai pesakit atau pun orang awam, kita semua berperanan untuk mengawal atau meminimumkan risiko rintangan terhadap antibiotik dan berikut merupakan inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi mencapai usaha tersebut:

  • Ambil antibiotik hanya setelah dipreskrib oleh pengamal perubatan yang diiktiraf sahaja.
  • Jangan sesekali meminta antibiotik daripada pengamal perubatan sekiranya anda tidak memerlukannya.
  • Gunakan antibiotik seperti yang dinasihatkan oleh pengamal perubatan seperti menghabiskan antibiotik mengikut tempoh yang telah ditetapkan.
  • Jangan berkongsi atau menggunakan lebihan antibiotik orang lain.
  • Cegah jangkitan melalui tabiat basuhan tangan yang kerap, penyediaan makananan yang bersih, mengelakkan berada berdekatan orang yang sakit, amalan seks selamat dan suntikan vaksinasi.
  • Sediakan makanan secara bersih mengikut garis panduan “WHO Five Keys to Safer Food” dan pilih makanan yang diperoleh daripada sumber haiwan yang sihat yang tidak menggunakan antibiotik sebagai hormon tumbesaran atau pencegah penyakit.

 

Pesanan Khidmat Masyarakat: Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing.

Rintangan antibiotik merupakan satu ancaman global yang tidak seharusnya dipandang enteng. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, terdapat peningkatan terhadap kes-kes rintangan antibiotik di peringkat domestik. Kita sebagai masyarakat seharusnya berganding bahu melaksanakan peranan masing-masing, sama ada dari sudut pengamal perubatan, pesakit mahu pun orang awam, bagi membendung ancaman ini daripada terus berlanjutan bagi menjamin kemandirian manusia pada masa hadapan.

Bagi menterjemah usaha untuk memanjangkan hayat antibiotik dan memerangi rintangan antibiotik, marilah bersama-sama berikrar untuk menjadi pelindung antibiotik dengan menzahirkan ikrar kita pada kempen global “Antibiotic Guardian” melalui pautan berikut: https://antibioticguardian.com/

 

Poster Kempen “Antibiotic Guardian”.

Arif M. Sopian seorang pegawai farmasi yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Rujukan:

  • Tan SY, Tatsumura Y. Alexander Fleming (1881–1955): Discoverer of Penicillin. Singapore Med J [Internet]. 2015;56(7):366–7. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4520913/
  • Gross LJ. Antibiotic Resistance [Internet]. Vol. 265, Science. 1994. p. 590–1. Available from: https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/antibiotic-resistance
  • MKK F, Rashid SS, MHM N, Zaidul ISM, Baharudin R, Ramli ANM. A clinical update on Antibiotic Resistance Gram-negative bacteria in Malaysia- a review. J Int Pharm Res [Internet]. 2018;(November). Available from: http://umpir.ump.edu.my/id/eprint/22938/
  • Causes of Antimicrobial (Drug) Resistance | NIH: National Institute of Allergy and Infectious Diseases [Internet]. Available from: https://www.niaid.nih.gov/research/antimicrobial-resistance-causes
  • Institute for Medical Research Kuala Lumpur Malaysia. National Antibiotic Resistance Surveillance Report 2017. 2017; Available from: https://www.imr.gov.my/images/uploads/NSAR/NSAR_2017/NSAR_report_2017-edited-31.1.2019.pdf
  • Ministry of Health Malaysia. Malaysian Action Plan on Antimicrobial Resistance (MyAP-AMR) 2017-2021. Minist Heal Malaysia [Internet]. 2017;2017–21. Available from: http://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Garis Panduan/Garis panduan Umum (Awam)/National_Action_Plan_-_FINAL_29_june.pdf

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box