Tahun baharu sering dianggap sebagai permulaan baharu yang memberikan peluang kepada setiap individu untuk menambah baik diri dari pelbagai aspek kehidupan, termasuklah kesihatan. Inilah waktu terbaik untuk beralih kepada gaya hidup yang lebih sihat dan membuat keputusan yang tepat berkaitan kesihatan agar kualiti hidup dapat dipertingkatkan. Sebagai seorang pengguna ubat-ubatan, beberapa perkara berikut sesuai dijadikan azam baharu.

Kekal patuh kepada pengambilan ubat-ubatan
Berazam untuk lebih patuh kepada arahan pengambilan ubat dapat membantu dalam penjagaan kesihatan, terutamanya dalam kalangan pesakit kronik. Pengguna disaran untuk mengamalkan Konsep 5B dalam pengambilan ubat-ubatan iaitu pengguna ubat yang betul, ubat yang betul, dos yang betul, cara pengambilan yang betul serta masa pengambilan yang betul.
Amalan ini dapat meningkatkan keberkesanan rawatan, mengurangkan risiko kesan sampingan dan seterusnya memastikan kualiti hidup yang lebih baik. Pesakit tidak seharusnya menghentikan rawatan tanpa nasihat ahli profesional kesihatan. Sekiranya pesakit mempunyai sebarang masalah semasa mengambil ubat, pesakit hendaklah merujuk pegawai perubatan atau ahli farmasi untuk berbincang dengan lebih lanjut.
Simpan ubat dengan cara yang betul
Cara penyimpanan ubat yang betul adalah penting untuk memastikan ubat yang diambil sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Kaedah penyimpanan yang tidak betul akan mengakibatkan ubat menjadi rosak dan dikhuatiri dapat mempengaruhi keberkesanannya. Faktor-faktor seperti suhu penyimpanan, jauh daripada sumber haba dan cahaya, serta disimpan jauh daripada capaian kanak-kanak harus diberi perhatian. Dalam menjayakan azam ini, pengguna haruslah sentiasa mengamalkan cara penyimpanan yang betul dengan mematuhi arahan penyimpanan seperti yang dinyatakan pada label ubat.
Pilih produk kesihatan yang berdaftar dan kosmetik bernotifikasi
Saban tahun, pelbagai produk kesihatan serta produk kosmetik dan kecantikan dipasarkan secara meluas. Produk-produk ini mudah diperoleh sama ada di premis fizikal, ejen jualan mahupun dijual secara dalam talian. Lambakan produk yang turut disertakan dengan testimoni dan iklan yang menarik menyebabkan pengguna mudah terpedaya hingga mendapatkannya tanpa menyemak kandungan serta kesahihan produk tersebut terlebih dahulu.

Menggunakan produk kesihatan yang berdaftar atau kosmetik yang bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merupakan salah satu amalan baik yang boleh dijadikan azam baharu. Amalan ini dapat memastikan pengguna hanya menggunakan produk yang berkualiti dan selamat. Hal ini kerana produk kesihatan yang berdaftar dan kosmetik bernotifikasi telah dihasilkan di bawah piawaian yang ditetapkan. Oleh sebab itu, pengguna disaran untuk sentiasa menyemak status pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik melalui laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau aplikasi NPRA Product Status sebelum membelinya.
Berhenti merokok dan menggunakan vape
Dalam usaha mencapai tahap kesihatan yang lebih baik, berhenti merokok dan menggunakan vape merupakan langkah penting yang tidak harus diketepikan. Tabiat ini bukan sahaja menyebabkan kesan buruk kepada individu yang merokok atau menggunakan vape tetapi juga melibatkan orang lain di sekeliling. Kedua-dua tabiat buruk ini diketahui dapat meningkatkan risiko pelbagai penyakit seperti masalah pernafasan, penyakit jantung, strok dan kanser paru-paru.
Tahun baharu merupakan waktu terbaik untuk berhenti merokok dan menggunakan vape. Azam yang baik ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko penyakit kronik yang dikaitkan dengan rokok atau vape, malah dapat menjimatkan perbelanjaan untuk perkara yang tidak berfaedah. Kualiti kehidupan juga dapat ditingkatkan dari pelbagai sudut.
Keazaman yang tinggi, sokongan orang sekeliling dan bantuan profesional amat diperlukan untuk merealisasikan hasrat untuk berhenti merokok atau menggunakan vape. Kaunseling yang diberikan melalui Klinik Berhenti Merokok di hospital dan klinik kesihatan dapat membantu individu yang ingin berhenti merokok atau menggunakan vape. Mereka akan dibimbing tentang cara berhenti merokok, langkah menangani gejala penarikan serta panduan untuk mengekalkan motivasi selepas berhenti merokok atau menggunakan vape.
Usah berlengah menjayakan azam baharu
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelbagai cabaran untuk memulakan azam baharu. Namun demikian, perubahan ke arah menjadi pengguna yang lebih cakna kesihatan tidak harus dilengahkan. Walaupun perubahan ini tidak mudah untuk dilaksanakan, manfaat yang diperoleh adalah jauh lebih berharga dan mampu memberikan impak besar dalam jangka masa panjang. Perubahan positif yang dilakukan bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri, tetapi juga dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk turut sama berubah ke arah kehidupan yang lebih baik.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Disediakan oleh Puan Nurul Nasrah binti Mohd Ariffin (Klinik Kesihatan Manong) untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.
