Apakah Peranan Ibubapa dalam Penjagaan Gigi Kanak-Kanak? – Dr Husna Razak

Source: blog.dentistelreno.com

Source: blog.dentistelreno.com

Memandangkan orang yang paling banyak meluangkan masa bersama kanak-kanak ialah anda, para ibu bapa dan penjaga, anda sebenarnya memainakan peranan yang penting untuk memastikan kesihatan dan pertumbuhan kanak-kanak dalam keadaan yang terbaik. Peranan anda lebih besar daripada warga kesihatan yang berjumpa dengan anak anda cuma sekali-sekala. Oleh itu, adalah penting bagi anda melengkapkan diri dengan maklumat yang diperlukan untuk membantu anak anda membesar secara optimum.

Seperti yang telah dibincangkan dalam artikel sebelum ini, gigi susu ada fungsinya yang tersendiri dalam pertumbuhan kanak-kanak dan tidak sepatutnya diambil ringan. Sesetengah daripada kita berpendapat, “Alah, cumalah gigi susu. Tidak mengapa kalau rosak, nanti gigi kekal akan menggantikannya juga.” Pendekatan sambil lewa ini tidak seharusnya wujud kerana kesihatan mulut juga boleh mempengaruhi tumbesaran anak anda. Berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda ubah untuk memastikan kesihatan mulut anak anda berada di tahap optimum.

Bagaimanakah keadaan mulut anda sendiri?

Ibu bapa serta penjaga yang mempunyai karies atau penyakit gusi boleh menjangkitkan kuman kepada kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Jangkitan terjadi semasa perkongsian makan dan kutleri. Oleh itu, elakkan berkongsi makanan yang telah anda kunyah dengan kanak-kanak bawah jagaan anda kerana tindakan ini boleh menyebabkan jangkitan kuman yang menggalakkan pembentukan karies pada kanak-kanak tersebut.

Apa itu karies botol susu?

Picture 1

Gambar 1

Karies botol susu (nursing bottle caries) adalah istilah lama yang digunakan untuk menggambarkan karies teruk akibat tabiat minum susu di dalam botol di kalangan kanak-kanak. (Rujuk Gambar 1). Kanak-kanak yang menggunakan botol susu, lebih-lebih lagi yang tidur sepanjang malam dengan menghisap puting, berisiko untuk mendapat karies botol susu. Ini kerana susu yang terkumpul di dalam mulut kanak-kanak sepanjang malam akan dicernakan oleh bakteria, seterusnya membentuk karies dengan sangat cepat sekaligus memusnahkan seluruh gigi kanak-kanak dalam masa yang singkat.

Adakah anda membersihkan mulut anak anda?

Secara ideal, mulut anak anda sepatutnya dibersihkan setiap kali selepas menyusu atau makan. Anda digalakkan untuk membersihkan mulut anak anda walaupun gigi belum tumbuh bagi menyemai tabiat menjaga kesihatan mulut sejak kecil. Gunakan kain lembap yang bersih, balut di jari dan gosok gigi serta gusi anak anda perlahan-lahan. Jika anak anda bersedia, anda juga boleh menggunakan berus gigi khas untuk kanak-kanak. Ubat gigi tidak perlu digunakan sekiranya kanak-kanak tersebut masih kecil dan tidak pandai meludah.

Adakah anak anda mempunyai tabiat menghisap puting atau jari?

Tabiat menghisap jari atau puting untuk kanak-kanak kecil berusia dua tahun ke bawah adalah satu refleks semulajadi yang terhasil ketika bayi masih di dalam rahim lagi seperti yang telah dibincangkan dalam artikel ini (https://www.mmgazette.com/is-your-child-a-thumb-sucker-dr-husna-razak/). Jika anak anda menggunakan puting, anda perlulah mengawasinya untuk memastikan puting tersebut sentiasa dalam keadaan bersih. Tabiat menghisap puting juga harus perlahan-lahan dihentikan sebelum kanak-kanak tersebut mencecah usia 6 tahun.

Bolehkah anak anda memberus gigi sendiri tanpa pengawasan orang dewasa?

Picture 3

Gambar 2

Sebaik-baiknya, anda perlu mengawasi dan menolong anak anda memberus gigi. Ini kerana kanak-kanak kecil mungkin masih belum mempunyai koordinasi yang cukup untuk memberus gigi mereka dengan betul. Ada kemungkinan mereka hanya memberus sekadar lalu, cuma untuk merasa ubat gigi berperisa strawberi dan sebagainya. Letakkan sedikit ubat gigi (atau sebesar kacang pea, rujuk Gambar 2) berflorida dan beruslah dua kali sehari, iaitu selepas sarapan dan sebelum tidur pada sebelah malam.

Adakah anak anda selalu makan snek yang tinggi kandungan gulanya?

Kekerapan makan makanan ringan seperti coklat, gula-gula, aiskrim dan minuman berkarbonat boleh meningkatkan penghasilan asid di dalam mulut, seterusnya meningkatkan risiko pembentukan karies gigi di awal kanak-kanak (early childhood caries). Anda dicadangkan untuk menukar perlahan-lahan menu snek mereka, contohnya kepada buah-buahan. Jus buah-buahan asli yang dibekukan boleh digunakan sebagai alternatif kepada aiskrim. Tarik minat kanak-kanak dengan menghidangkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang dipotong dan disusun dalam bentuk yang menarik dan pelbagaikan warna. Tabiat pemakanan sihat perlu dipupuk sejak kecil dengan menyajikan makanan yang seimbang kepada kanak-kanak.

Sudahkah anda membawa anak-anak anda ke klinik untuk pemeriksaan gigi?

Picture 6

Gambar 3

Angkat bibir atas anak anda supaya gigi atasnya kelihatan (Gambar 3). Apa yang anda nampak? Adakah struktur dan warna gigi anak anda normal dan sekata seperti di Gambar 4?

Dengan melakukan pemeriksaan sendiri di rumah, anda boleh mengetahui bagaimana bentuk dan warna gigi yang normal serta sihat, seterusnya mengesan sebarang karies yang mungkin timbul. Sekiranya terdapat tanda-tanda awal karies seperti tompok-tompok putih, kuning atau coklat, anda perlu membawa anak anda ke klinik untuk rawatan awal. Rawatan awal biasanya diberikan dengan sapuan varnish florida yang boleh mengembalikan kekuatan struktur gigi yang terbabit dengan pembentukan karies peringkat awal.

Picture 7

Gambar 4

Rujukan:

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box