
Sumber: www.re-gel.com
Kita semua gerun apabila mendengar ungkapan “kecederaan kepala” kerana kita yakin dan percaya bahawa kecederaan kepala ialah suatu keadaan yang membawa maut. Berapa ramai antara kita yang sebenarnya tahu bagaimana mengenal pasti keadaan ini seawalnya untuk mengelakkan bahana maut itu? Sepanjang saya bertugas di pusat pembedahan saraf (neuro) selama 3 tahun lalu, saya dapati ramai anggota masyarakat kita yang masih tidak tahu bahawa sekiranya tindakan segera diambil, pesakit tersebut boleh diselamatkan.
Marilah kita fahami anatomi atau kedudukan asas otak kita dahulu. Otak terletak di dalam tengkorak – seumpama suatu peti yang tertutup rapat. Ada satu lapisan selaput nipis di antara otak dan tengkorak. Otak sendiri terapung-apung dalam takungan cecair serebrospinal yang kekal mengapungkannya dan menyerap hentakan ke suatu takat tertentu. Namun kecederaan masih boleh berlaku sekiranya hentakan tersebut terlalu kuat.
Dua perkara utama untuk diingati ialah:
- Bukan semua trauma menyebabkan kecederaan kepala.
- Bukan semua pesakit yang mengalami kecederaan di kepala tidak sedarkan diri.
Lanjutan daripada kecederaan kepala yang teruk (traumatik), kebanyakan pesakit akan pengsan untuk suatu tempoh masa dan kebanyakan mereka akan sedar sepenuhnya selepas itu. Sesetengah pesakit akan mengalami amnesia atau hilang ingatan sementara atau kekal, melibatkan peristiwa yang berlaku sebelum atau selepas kecederaan atau kemalangan (trauma).
Isipadu di dalam tengkorak ialah tetap dan dirujuk sebagai isipadu intrakranium (intra: dalam, cranium: tengkorak) dan isipadu ini bertambah selepas kecederaan (trauma) otak, dan mengakibatkan tidak sedarkan diri. Sekiranya kecederaan berlarutan, ia akan membawa maut. Tidak seperti anggota tubuh yang lain, otak tidak akan sembuh atau pulih atau tumbuh semula seperti sediakala dan kerosakan struktur kepada otak merupakan suatu kerosakan yang kekal.
Mengenali gejala tekanan intrakranium yang bertambah ialah perkara penting untuk pengesanan awal kecederaan otak. Gejala-gejala ini termasuklah:
- Sakit kepala
- Lemah seluruh tubuh badan
- Resah gelisah
- Mengantuk atau pening
- Muntah berulang kali
- Sawan atau ‘tarik’
- Penglihatan kabur
- Tidur mati/lena
- Pengsan berpanjangan (kebanyakan orang akan sedar kembali dalam masa 10 minit)
- Gejala bayi: sukar makan, kurang aktif, mudah terusik dan tangisan yang tidak berhenti
Ada kalanya, pesakit boleh kembali sedar sepenuhnya selepas pengsan beberapa ketika dan kemudian kembali merosot atau rebah. Tempoh ini ditakrif sebagai “sela sedar”. Sela masa ini ialah tempoh keemasan untuk mencari gejala-gejala di atas dan ia boleh bertahan selama 6 hingga 8 jam dan mengelak kematian. Selepas doktor datang memeriksa pesakit yang jatuh atau mengalami kecederaan (trauma) ringan, kami selalunya mendapati perkara-perkara untuk diawasi sekiranya terdapat kecederaan otak. Ini dinamakan “Head Injury Advice” atau “Nasihat berkenaan Kecederaan Kepala” dan kebanyakannya berkenaan langkah berjaga-jaga terhadap gejala-gejala tersebut.
Perkara penting yang ingin disampaikan di sini ialah kebolehan untuk mengenal pasti gejala peningkatan tekanan intrakranium. Jika terdapat gejala, maka hendaklah dirujuk ke hospital berdekatan secepat mungkin. Biasanya pasukan bedah otak akan dimaklumkan dan pengimejan selanjutnya akan dilaksanakan, contohnya imbasan Computed Tomography (CT) atau CT Scan untuk menentukan rawatan seterusnya. Oleh itu, dengan adanya ilmu dan pengetahuan dalam pengesanan kecederaan kepala awal, ianya dapat membantu pihak kesihatan dan perubatan mencegah kematian.
Dr. Vinodh Vayara Perumall adalah seorang Pegawai Perubatan dalam bidang Neurosurgeri yang berhijrah dari Perak ke Sabah demi cinta dan cita-citanya dalam bidang neurosurgeri. Artikel ini diterjemahkan dari artikel asal https://www.mmgazette.com/identifying-traumatic-head-injury-dr-vinodh-vayara-perumall/ oleh Azizul Ismie Mohd Puad.
Rujukan:
- Handbook Of Neurosurgery, Seventh Edition, Thieme Medical Publishers, 2010; Chapter 27: 850-919
- Teasdale et al., Assessment of coma and impaired consciousness: A practical scale, Lancet, Jul 13 1974; 2(7872):81-4.
- Singh et al., “Head Trauma.”, 2006, Emedicine (online)
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

2 comments for “Mengenal Pasti Kecederaan Kepala Traumatik – Dr Vinodh Vayara Perumall”