
Sumber: mednhealth.com
Tulang ‘clavicle’ atau disebut juga sebagai tulang selangka dalam Bahasa Malaysia adalah antara tulang yang paling kerap patah apabila berlaku kemalangan jalanraya. Ini adalah disebabkan kedudukannnya yang begitu menonjol dan dekat di permukaan (‘superficial’).
Tulang clavicle ini mempunyai 2 fungsi penting. Pertama, ia merupakan tempat lekatan (muscle attachment) bagi otot-otot dari bahagian leher manusia. Kedua, ia berperanan sebagai fulkrum dalam pergerakan bahu ketika kita mendepangkan tangan kita.
Rawatan
Pada kebiasaannya, tulang ‘clavicle’ yang patah akan dirawat secara konservatif, dimana pesakit akan dipakaikan dengan anduh (‘armsling’ atau ‘collar-and-cuff’) selama lebih kurang 3 minggu atau sehingga rasa sakit berkurangan. Pesakit kemudiannya akan dinasihatkan supaya melakukan fisioterapi bagi menggerakkan sendi bahu dengan cara melakukan gerakan pendulum (‘pendular exercise’) bagi mengelakkan sendi bahu menjadi ketat. Tiada pembedahan diperlukan.
Kepatahan ini kebiasaannya akan mula sembuh dalam masa 4 hingga 6 minggu dan tulang baru akan mula terbentuk. Kepatahan akan sembuh sepenuhnya dalm tempoh 3 hingga 4 bulan. Ia akan mengambil masa lebih lama sekiranya pesakit merokok atau mempunyai kurang nutrisi.
Bila pembedahan perlu dilakukan?
Terdapat beberapa keadaan yang memerlukan pembedahan dilakukan. Pembedahan dilakukan bagi membetulkan kepatahan. Keadaan ini termasuk:
- Hujung tulang patah yang tajam dan menonjol menekan kulit sehingga boleh menyebabkan luka (open fracture) dan kesakitan kepada pesakit
- Terdapat masalah tekanan bahagian yang patah terhadap salur darah dan saraf (neurovascular involvement) atau paru-paru.
- Terdapat luka yang berhubungan dengan kepatahan tersebut pada masa kecederaan berlaku (Open fracture)
- Berlaku kepatahan serentak pada tulang scapular (tulang lembusir) dan clavicle, keadaan yang dikenali sebagai ‘floating shoulder’
- Kegagalan kepatahan asal untuk bercantum (Non-union)
- Bahagian hujung tulang yang patah berada jauh antara satu sama lain (lebih 1cm) yang menyebabkan kebarangkalian tulang untuk tidak bercantum adalah tinggi.
Sekiranya pembedahan perlu dilakukan, pihak doktor akan berbincang secara lebih terperinci mengenai prosedur serta komplikasi pembedahan. Semasa pembedahan, pesakit akan diberi ubat bius sepenuhnya.
Bahagian tulang clavicle yang patah akan dibuka dan kepatahan akan dibetulkan kembali kedudukannya. Plat besi atau wayar akan dimasukkan bagi memegang kepatahan tersebut di tempat yang betul sehingga tulang baru terbentuk. Tempoh masa proses penyembuhan adalah sama seperti cara konservatif.
Komplikasi
2 komplikasi utama yang paling kerap berlaku ialah kepatahan tulang clavicle ini gagal bercantum (non-union) dan juga ia bercantum secara tidak betul (malunion). Kegagalan tulang ini untuk bercantum adalah antara indikasi bagi pembedahan dilakukan. Namun begitu, pembedahan sendiri mempunyai komplikasi iaitu risiko jangkitan kuman serta kecederaan kepada struktur yang berdekatan seperti saraf dan salur darah.
Kesimpulan
Perbincangan antara doktor dan pesakit adalah amat perlu bagi membuat pilihan rawatan yang terbaik. Kedua-dua pihak perlu mempertimbangkan kebaikan serta risiko rawatan konservatif dan pembedahan bagi setiap pesakit secara ekslusif.
Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Rujukan
- Postgraduate Orthopaedic, Paul A. Banaszkiewicz, page 406-8
- Review of Orthopaedics, Mark D. Miller, page 575

11 comments for “Patah Tulang Selangka – Dr Ahmad Mahyuddin”