Suplemen Untuk Kesihatan Mental, Fahami Fakta Sebenar – Puan Lina Syazana Zainal Abidin (Pegawai Farmasi)

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan mental ialah keadaan kesejahteraan yang membolehkan seseorang individu menyedari potensi dirinya, berupaya menghadapi tekanan kehidupan, bekerja secara produktif dan menyumbang kepada masyarakat. Antara masalah kesihatan mental yang lazim berlaku termasuklah kemurungan, kegelisahan, gangguan panik, kecelaruan obsesif kompulsif dan gangguan pascatrauma.

Kesihatan mental merupakan aspek penting dalam kesejahteraan hidup seseorang individu, namun isu ini masih sering dipandang ringan oleh sebahagian masyarakat. Tekanan kehidupan harian, masalah kewangan, beban pekerjaan, konflik keluarga dan perubahan gaya hidup boleh memberi kesan kepada emosi, pemikiran dan tingkah laku seseorang jika tidak ditangani dengan baik.

Sehubungan dengan itu, kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan mental perlu dipertingkatkan. Individu yang mempunyai tahap kesejahteraan mental yang baik lazimnya lebih mampu mengurus tekanan, berfikiran positif, membina hubungan sosial yang sihat dan menjalani kehidupan dengan lebih bermakna.

Pada masa yang sama, semakin ramai masyarakat mula menunjukkan minat terhadap penggunaan suplemen bagi membantu meningkatkan kesejahteraan mental. Persoalannya, adakah suplemen benar-benar membantu mencegah atau mengawal gejala yang berkaitan dengan masalah kesihatan mental?

Suplemen dan kesihatan mental

Beberapa kajian menunjukkan bahawa sesetengah individu yang mengalami masalah kesihatan mental mungkin mempunyai kekurangan nutrien tertentu atau mengalami gangguan dalam proses penggunaan nutrien oleh badan. Oleh sebab itu, suplemen tertentu dikaji sebagai rawatan tambahan bagi membantu meningkatkan keberkesanan rawatan sedia ada dan mengurangkan gejala yang dialami.

Walau bagaimanapun, suplemen tidak bertindak seperti ubat antikemurungan atau ubat antipsikotik. Sebaliknya, suplemen berperanan menyokong fungsi tubuh dan otak supaya rawatan yang diterima dapat memberikan kesan yang lebih baik.

Sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal World Psychiatry pada tahun 2019 mendapati bahawa beberapa jenis suplemen nutrien menunjukkan manfaat dalam keadaan tertentu apabila digunakan sebagai rawatan tambahan kepada rawatan kesihatan mental yang standard. Kajian tersebut turut mencadangkan bahawa suplemen nutrien tertentu boleh membantu menyokong fungsi otak, mengurangkan keradangan dan mempengaruhi proses biologi yang berkaitan dengan kesihatan mental.

i. Omega-3 (lebih dikenali sebagai minyak ikan)

Omega-3 ialah sejenis asid lemak penting yang banyak terdapat dalam ikan berlemak seperti salmon, sardin dan tenggiri (mackerel). Nutrien ini merupakan komponen penting membran sel otak dan terlibat dalam proses komunikasi antara sel saraf. Beberapa kajian menunjukkan bahawa omega-3, khususnya yang mengandungi kandungan eicosapentaenoic acid (EPA) yang tinggi, berpotensi membantu mengurangkan gejala kemurungan.

ii. Acetylcysteine (NAC)

NAC merupakan derivatif asid amino yang berfungsi sebagai prekursor kepada glutathione, iaitu salah satu antioksidan utama dalam badan. Bahan ini didapati dapat membantu melindungi sel badan daripada kesan bahan berbahaya serta mengurangkan keradangan yang dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan mental seperti gangguan emosi dan skizofrenia.

iii. 5-methyltetrahydrofolate (5-MTHF)

5-MTHF ialah bentuk aktif folat yang boleh digunakan secara langsung oleh badan. Nutrien ini terlibat dalam penghasilan neurotransmiter seperti serotonin dan dopamin yang memainkan peranan penting dalam pengawalan emosi. Kajian menunjukkan bahawa suplemen ini berpotensi membantu individu yang mengalami kemurungan, skizofrenia, gangguan bipolar, autisme dan attention-deficit/hyperactivity disorder (ADHD).

iv. Probiotik

Terdapat juga kajian yang mengkaji peranan probiotik dalam kesihatan mental. Probiotik membantu mengekalkan keseimbangan bakteria baik dalam usus, manakala usus dan otak diketahui mempunyai hubungan yang rapat melalui konsep gut-brain axis. Konsep yang semakin mendapat perhatian dalam bidang penyelidikan ini menunjukkan bahawa kesihatan usus mungkin mempengaruhi kesihatan mental dan emosi seseorang. Walaupun bukti semasa masih terhad, beberapa kajian menunjukkan bahawa probiotik mungkin memberi manfaat kepada kesejahteraan mental sesetengah individu.

Penggunaan suplemen secara berhati-hati

Masyarakat perlu memahami bahawa suplemen bukanlah penyelesaian untuk semua masalah kesihatan mental. Penggunaan suplemen tanpa pemantauan boleh mendatangkan risiko, terutama jika diambil bersama-sama ubat lain. Terdapat suplemen tertentu yang boleh berinteraksi dengan ubat dan menjejaskan keberkesanan rawatan.

Di samping itu, manfaat daripada pengambilan suplemen juga mungkin berbeza bagi setiap individu bergantung pada jenis masalah kesihatan mental yang dihadapi, tahap kesihatan dan rawatan perubatan yang sedang diterima. Oleh sebab itu, individu yang ingin mengambil suplemen perlu mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu.

Ahli farmasi, bersama-sama ahli profesional kesihatan yang lain, memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat yang tepat berkaitan penggunaan ubat-ubatan dan suplemen untuk kesihatan mental kepada masyarakat. Ahli farmasi dapat membantu menilai sama ada sesuatu suplemen sesuai diambil, selamat digunakan bersama-sama ubat lain dan tidak menyebabkan interaksi yang boleh memudaratkan kesihatan.

Masyarakat perlu berhati-hati terhadap dakwaan berlebihan di media sosial atau promosi produk suplemen yang menjanjikan kesan segera terhadap kesihatan mental. Terdapat sebilangan produk yang dijual tanpa bukti saintifik yang kukuh dan dikhuatiri boleh mendatangkan kesan mudarat.

Nasihat untuk orang awam

Masyarakat perlu memahami bahawa pengurusan kesihatan mental memerlukan pendekatan yang menyeluruh dan tidak bergantung pada suplemen semata-mata. Amalan gaya hidup sihat seperti mendapatkan tidur yang mencukupi, melakukan aktiviti fizikal secara berkala dan mengamalkan pemakanan seimbang turut memainkan peranan dalam meningkatkan kesejahteraan mental.

Sumber nutrien yang terbaik masih diperoleh melalui pemakanan yang seimbang. Pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, kekacang, ikan dan sumber protein yang berkualiti bukan sahaja penting untuk kesihatan fizikal, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan mental.

Individu yang mengalami tekanan emosi atau sebarang gejala masalah kesihatan mental digalakkan berkongsi cerita dengan individu yang dipercayai dan mendapatkan bantuan daripada ahli profesional kesihatan. Langkah ini penting bagi mengelakkan masalah kesihatan mental yang dihadapi daripada menjadi semakin serius dan menjejaskan kualiti hidup.

Kesimpulannya, walaupun beberapa suplemen menunjukkan potensi yang bermanfaat dalam mengurangkan gejala sesetengah masalah kesihatan mental, penggunaannya tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian utama atau menggantikan rawatan yang telah diberikan. Sebaliknya, suplemen perlu dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan menyeluruh yang turut merangkumi rawatan profesional, sokongan sosial dan amalan gaya hidup sihat.

Disediakan oleh Puan Lina Syazana Zainal Abidin (Pegawai Farmasi Hospital Tuanku Ja’afar) untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box