Pengenalan
Ibadah qurban merupakan salah satu amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Ianya dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha dan tiga hari berikutnya (tasyrik). Umat Islam bukan sahaja menzahirkan ketaatan kepada Allah SWT, malah turut menghayati erti pengorbanan, kasih sayang dan perkongsian rezeki sesama masyarakat. Daging qurban pula lazimnya diagihkan kepada ahli keluarga, jiran tetangga dan golongan yang memerlukan.
Namun begitu, terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat bahawa pengambilan daging qurban, khususnya daging lembu atau kambing, boleh menyebabkan peningkatan kolesterol dan menjejaskan kesihatan. Adakah ini benar? Atau tangggapan yang salah semata-mata?
Kelebihan Daging Qurban dari Sudut Islam dan Perubatan

Dari sudut Islam, ibadah qurban mempunyai nilai yang sangat besar. Ibadah qurban disyariatkan sempena memperingati ketaatan mutlak Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s., atas perintah Allah SWT. Melalui ibadah ini, umat Islam diajar tentang keikhlasan, pengorbanan dan kepentingan membantu golongan yang kurang berkemampuan.
Selain itu, pengagihan daging qurban dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dalam masyarakat. Golongan miskin dan memerlukan juga berpeluang menikmati sumber protein berkualiti yang mungkin sukar diperoleh pada hari biasa. Binatang yang disembelih juga adalah yang terbaik dan sihat. Daging yang diperolehi terus adalah yang segar pada hari penyembelihan.
Dari sudut pemakanan pula, daging qurban seperti daging lembu dan kambing mengandungi pelbagai nutrien penting seperti:
- Protein berkualiti tinggi
- Zat besi
- Vitamin B12
- Zink
- Selenium
Protein penting untuk pembinaan otot dan pemulihan tisu badan, manakala zat besi membantu mencegah anemia atau kekurangan sel darah merah. Vitamin B12 pula penting untuk fungsi saraf dan penghasilan sel darah merah.
Kandungan Kolesterol dalam Daging Qurban
Daging merah seperti lembu dan kambing sememangnya mengandungi kolesterol dan lemak tepu. Namun, kandungannya berbeza mengikut bahagian daging dan cara memasak.
Secara umum:
- Bahagian daging yang berlemak mempunyai kandungan kolesterol dan lemak tepu lebih tinggi.
- Bahagian pejal tanpa lemak mempunyai kandungan lemak yang lebih rendah.
- Organ dalaman seperti hati, limpa dan perut biasanya mempunyai kandungan kolesterol yang lebih tinggi berbanding isi daging biasa.
Sebagai contoh, daging lembu tanpa lemak dalam kuantiti sederhana masih boleh diambil sebagai sebahagian daripada diet seimbang. Masalah utama biasanya berlaku apabila:
- Pengambilan terlalu banyak dalam satu masa
- Kerap mengambil bahagian berlemak
- Dimasak secara bergoreng atau menggunakan santan dan minyak berlebihan
- Kurang pengambilan sayur dan buah-buahan
Kolesterol yang tinggi dalam darah boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, strok dan tekanan darah tinggi, terutama bagi individu yang mempunyai kencing manis, obesiti atau sejarah penyakit jantung.
Cara dan Kuantiti Makan Agar Terkawal Kolesterol

Antara langkah yang boleh diamalkan ialah:
1. Pilih bahagian kurang lemak
Pilih isi daging yang kurang lemak dan buang lemak yang kelihatan sebelum memasak.
2. Kawal kuantiti pengambilan
Ambil dalam jumlah sederhana, contohnya sekitar satu tapak tangan bagi satu hidangan. Elakkan makan daging secara berlebihan dalam beberapa hari berturut-turut.
3. Gunakan cara masakan sihat
Kaedah seperti rebus, sup, bakar atau panggang lebih baik berbanding goreng. Kurangkan penggunaan minyak, santan dan garam berlebihan.
4. Banyakkan sayur dan buah
Pengambilan serat daripada sayur dan buah membantu mengurangkan penyerapan kolesterol dalam badan.
5. Kekalkan gaya hidup aktif
Aktiviti fizikal dan senaman berkala membantu mengawal berat badan serta menurunkan paras kolesterol.
6. Berhati-hati bagi individu berisiko
Pesakit diabetes, darah tinggi, obesiti atau penyakit jantung perlu lebih berhati-hati dalam pengambilan daging merah dan mendapatkan nasihat doktor jika perlu.
Kesimpulan
Daging qurban mempunyai banyak manfaat dari sudut agama dan pemakanan. Walaupun daging merah mengandungi kolesterol, pengambilan secara sederhana dan pemilihan cara masakan yang sihat dapat membantu mengurangkan risiko kesihatan. Oleh itu, umat Islam digalakkan menikmati rezeki daging qurban dengan penuh kesyukuran sambil mengekalkan amalan pemakanan yang seimbang dan sihat.
Artikel ini ditulis oleh Dr Mohd Shaiful Ehsan Bin Shalihin, pakar perubatan keluarga dan pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga, Kulliyyah of Medicine, International Islamic University of Malaysia.
Rujukan
- Kementerian Kesihatan Malaysia. Panduan Pemakanan Sihat Malaysia.
- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Healthy Diet Guidelines.
- Riyadus Salihin
- Sahih al-Bukhari
- Malaysian Dietary Guidelines 2020, Ministry of Health Malaysia.
