Pengambilan Ubat Secara Selamat Ketika Penyusuan Bayi – Siti Farhana Mohammed Ghazali (Pegawai Farmasi)

Pengambilan Ubat Secara Selamat Ketika Penyusuan Bayi 

Susu ibu merupakan diet terbaik untuk bayi yang baru lahir. Susu ibu memberi nilai nutrisi yang lengkap dan memberi banyak faedah kepada bayi. Sejak tahun 1981, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesyorkan penyusuan susu ibu secara eksklusif bagi enam bulan pertama kehidupan bayi, diikuti dengan penyusuan susu ibu yang diteruskan bersama-sama makanan pelengkap sehingga umur dua tahun atau lebih.

Walau bagaimanapun, ramai ibu masih bimbang tentang keselamatan penggunaan ubat semasa menyusukan bayi. Bagi ibu yang memerlukan rawatan farmakologi, mereka perlu berhati-hati agar ubat yang diambil tidak membahayakan bayi, sambil memastikan keadaan kesihatan diri dapat dikawal dengan berkesan. Hal ini kerana ubat-ubatan yang diambil dikhuatiri dapat memberi kesan kepada bayi yang sedang menyusu melalui sebahagian kuantiti ubat atau metabolit aktif ubat yang meresap ke dalam air susu.

Adakah semua ubat-ubatan dapat meresap masuk ke dalam susu ibu?

Majoriti ubat yang lazim digunakan oleh ibu yang menyusukan bayi masih boleh diambil dengan selamat. Kepekatan ubat yang terdapat dalam susu ibu biasanya sangat rendah dan risiko untuk menyebabkan kemudaratan kepada bayi adalah rendah. Selain itu, ibu yang menyusukan bayi kebiasaannya hanya mengambil ubat apabila perlu.

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa ubat yang berisiko untuk diserap masuk ke dalam susu ibu dalam kepekatan yang lebih tinggi. Sesetengah ubat yang lain pula diketahui berbahaya kepada bayi walaupun pada kepekatan yang rendah. Oleh sebab itu, kesesuaian setiap ubat perlu dinilai secara individu. Jumlah ubat yang diserap ke dalam susu ibu bergantung kepada beberapa faktor, seperti saiz molekul ubat, peratus kuantiti ubat yang bebas terlarut di dalam plasma darah dan tempoh ubat kekal di dalam darah. 

Risiko kesan sampingan yang mungkin berlaku kepada bayi yang disusukan pula dipengaruhi oleh beberapa faktor. Antaranya termasuklah:

  1. masa pengambilan ubat, iaitu penyusuan bayi sebelum ibu mengambil ubat dapat mengurangkan risiko bayi terdedah kepada kesan ubat
  2. jumlah susu ibu yang diminum oleh bayi kerana pengambilan yang lebih sedikit dikaitkan dengan risiko kesan sampingan yang lebih rendah
  3. usia bayi kerana bayi yang masih kecil mempunyai fungsi organ utama yang masih belum matang dan mempengaruhi cara ubat diproses oleh tubuh bayi

Contoh ubat yang selamat digunakan semasa penyusuan susu ibu            

Ada kalanya, wanita yang menyusukan bayi juga perlu mengambil ubat-ubatan untuk merawat masalah kesihatan secara jangka masa pendek atau untuk penyakit kronik secara berterusan. Antara contoh ubat yang secara umumnya dianggap selamat digunakan semasa penyusuan susu ibu termasuklah:

  1. ubat tahan sakit seperti paracetamol, asid mefenamik dan ibuprofen. Penggunaan ubat-ubatan ini lazimnya disarankan untuk tempoh yang singkat dan hanya apabila perlu
  2. ubat antimikrob yang digunakan untuk merawat jangkitan apabila diambil pada dos terapeutik, seperti amoxicillin, ampicillin, cloxacillin, cefuroxime, cephalexin dan erythromycin
  3. ubat antihistamin yang digunakan untuk rawatan rinitis atau alahan, seperti chlorpheniramine, loratadine dan fexofenadine. Walau bagaimanapun, sesetengah antihistamin, khususnya antihistamin generasi pertama, boleh menyebabkan rasa mengantuk dan perlu digunakan dengan lebih berhati-hati
  4. ubat pencegahan kehamilan yang hanya mengandungi bahan aktif jenis progestin
  5. ubat-ubatan untuk merawat kemurungan atau kegelisahan selepas melahirkan anak, seperti paroxetine, sertraline dan fluvoxamine
  6. ubat untuk rawatan epilepsi, seperti lamotrigine dan carbamazepine
  7. ubat sembelit yang berasaskan serat lebih digalakkan semasa penyusuan susu ibu. Ubat sembelit daripada jenis yang lain boleh menyebabkan cirit-birit pada bayi jika diambil dalam dos yang tinggi oleh ibu
  8. produk suplemen vitamin dan mineral seperti zat besi dan vitamin B

Contoh ubat yang perlu digunakan dengan berhati-hati atau dielakkan oleh ibu yang menyusukan bayi

            Walaupun kebanyakan ubat adalah selamat untuk digunakan oleh ibu yang menyusukan bayi, namun ibu masih perlu berhati-hati apabila mengambil beberapa jenis ubat tertentu. Sebagai contoh, ubat dekongestan yang mengandungi bahan seperti pseudoephedrine atau phenylephrine, yang biasanya digunakan untuk melegakan hidung tersumbat akibat selesema atau rinitis. Hal ini kerana ubat-ubat ini boleh mengurangkan penghasilan susu ibu. Sebagai pilihan yang lebih selamat, ibu yang menyusukan bayi boleh mempertimbangkan penggunaan titisan hidung larutan garam (saline), semburan hidung atau alat pelembap udara.

            Beberapa ubat lain yang diketahui boleh mengurangkan atau merencatkan penghasilan susu ibu harus dielakkan. Antaranya termasuk ergometrine, ubat diuretik seperti hydrochlorothiazide serta ubat pencegahan kehamilan yang mengandungi estrogen. Ibu disaran untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi bagi mendapatkan maklumat lanjut serta pilihan alternatif yang sesuai.

Bagi ibu yang menghidap diabetes, ubat antidiabetes daripada kumpulan sulphonylureas, seperti gliclazide, perlu dielakkan atau digunakan dengan berhati-hati kerana terdapat risiko hipoglisemia kepada bayi. Begitu juga dengan sesetengah antibiotik seperti chloramphenicol, tetracycline, metronidazole dan antibiotik daripada kumpulan quinolone. Ubat-ubatan ini boleh diserap ke dalam susu ibu dan berisiko menyebabkan kesan sampingan pada bayi seperti gangguan saluran pencernaan atau cirit-birit. Ubat-ubatan kemoterapi dan metabolitnya serta sediaan radioterapi yang digunakan untuk rawatan kanser juga perlu dielakkan kerana bahan-bahan ini boleh diserap ke dalam susu ibu dan memberi kesan kepada bayi. Ubat daripada kumpulan benzodiazepine yang lazim digunakan untuk rawatan kegelisahan dan insomnia, serta ubat opioid bagi merawat kesakitan kronik pula boleh menyebabkan kesan sedatif dan menyebabkan pernafasan bayi terganggu.

Nasihat kepada orang awam

Kebanyakan ubat masih boleh digunakan semasa penyusuan. Namun begitu, pemilihan ubat ini harus dilakukan berdasarkan pertimbangan yang wajar oleh doktor. Ibu disarankan untuk sentiasa memaklumkan kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya mereka masih menyusukan bayi supaya ubat yang sesuai dapat dipilih. Mereka juga dinasihatkan untuk berbincang dengan ahli profesional kesihatan sebelum memulakan atau menghentikan sebarang ubat, termasuk suplemen kesihatan dan persediaan tradisional.

Apabila ibu perlu mengambil ubat untuk masalah kesihatan yang dihidapi, mereka boleh mempertimbangkan untuk menyusukan bayi sebelum mengambil ubat tersebut bagi mengurangkan jumlah ubat yang diserap masuk ke dalam susu ibu. Bagi penggunaan ubat-ubatan secara jangka masa pendek tetapi berisiko memberi kesan sampingan kepada bayi dan penyusuan masih ingin diteruskan, ibu boleh menggunakan kaedah “perah dan buang”. Dengan kaedah ini, penghasilan susu tidak terjejas dan ibu boleh menyusukan semula bayi selepas tamat sesi tempoh rawatan.

Sebaliknya, bagi ibu yang memerlukan rawatan jangka masa panjang dengan ubat yang berpotensi memudaratkan bayi, penggantian penyusuan susu ibu kepada susu formula bayi mungkin perlu dipertimbangkan. Keputusan ini hendaklah dibincangkan bersama-sama doktor atau ahli farmasi, termasuk panduan untuk proses bercerai susu dan pemilihan formula yang sesuai untuk bayi.

Selain itu, pemantauan terhadap keadaan bayi juga adalah penting apabila ibu perlu mengambil ubat tertentu. Ibu hendaklah sentiasa peka terhadap gejala kesan sampingan pada bayi seperti mengantuk berlebihan, mudah meragam, perubahan corak tidur atau penyusuan, cirit-birit, ruam kulit, kesukaran bernafas atau keadaan bayi yang kelihatan lemah dan tidak bermaya selepas penyusuan. Sekiranya tanda-tanda ini berlaku, ibu hendaklah segera mendapatkan pemeriksaan lanjut.Sebagai kesimpulan, penyusuan susu ibu kekal sebagai pilihan terbaik untuk membekalkan nutrisi kepada bayi. Kebanyakan ubat boleh digunakan dengan selamat semasa penyusuan apabila digunakan dengan tepat. Namun, penggunaan ubat semasa tempoh penyusuan memerlukan pertimbangan yang menyeluruh antara keberkesanan rawatan untuk ibu dengan risiko kepada keselamatan bayi.

Disediakan oleh Pn Siti Farhana binti Mohammed Ghazali (Pegawai Farmasi Hospital Slim River, Perak) untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.

RUJUKAN:

  1. Spencer JP, Conemaugh DLP, Medicine F, Program R. Medication Safety in Breastfeeding. 2022;106(6). 
  2. Medicine concerns while breastfeeding [Internet]. Mayo Clinic. 2024. Available from: https://www.mayoclinic.org/medicines-while-breastfeeding/art-20572711
  3. Mayo Clinic. Breast-feeding and medications: What’s safe? [Internet]. Mayo Clinic. 2018. Available from: https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/infant-and-toddler-health/in-depth/breastfeeding-and-medications/art-20043975
  4. World Health Organization. Infant and young child feeding: model chapter for textbooks for medical students and allied health professionals. Geneva: World Health Organization; 2009.
  5. Malaysia Dietary Guidelines, Key Message 12 [Internet]. Malaysia: Ministry of Health; [cited 2025 Apr 10] p. 168–82. Available from: https://www.moh.gov.my/moh/images/gallery/Garispanduan/diet/km12.pdf
  6. Hotham N, Hotham E. Drugs in breastfeeding. Australian Prescriber. 2015 Oct 1;38(5):156–9.
  7. Queensland; c=AU; o=The S of. Breastfeeding and drugs | Babies and toddlers [Internet]. www.qld.gov.au. Available from: https://www.qld.gov.au/health/condition/child-health/babies-and-toddlers/breastfeeding-and-drugs

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box