Batuk biasa atau Tibi (Tuberkulosis)? Kenali rawatannya dan kepentingan kepatuhan – Professor Madya Dr Nadia Mohd Effendy (PhD)

Encik A, seorang pemuda berusia awal 30-an, datang ke klinik kerana batuk yang berpanjangan. Beliau masih mampu bekerja seperti biasa, namun batuknya semakin kerap mengganggu aktiviti harian. Selain itu, beliau kurang selera makan dan mengalami penurunan berat badan mendadak sebanyak 5 kg dalam tempoh sebulan. Apabila ditanya lebih lanjut beliau juga cepat penat dan kerap berpeluh pada waktu malam.

Selepas menjalani beberapa ujian, doktor mengesahkan Encik A menghidap tuberkulosis paru-paru (Pulmonary tuberculosis). Dunia Encik A terasa gelap seketika, namun doktor menenangkan beliau: “Tibi boleh disembuhkan, asalkan encik patuh pada rawatan.”

Memahami Rawatan Tibi

Tuberkulosis atau Tibi disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis. Berbeza dengan kebanyakan bakteria lain, bakteria ini sangat unik dan “degil”. Ia membiak dengan perlahan dan mampu bersembunyi di dalam badan dalam keadaan tidak aktif untuk tempoh yang lama. Rawatan tibi bukanlah seperti merawat jangkitan biasa yang hanya memakan masa beberapa hari. Ia memerlukan komitmen jangka masa panjang untuk memastikan bakteria mati sepenuhnya.

Pesakit tibi tidak diberi satu antibiotik sahaja, tetapi gabungan beberapa antibiotik. Rawatan standard terdiri daripada dua fasa yang mengambil masa sekurang-kurangnya 6 bulan.

Fasa Intensif (2 bulan pertama): Pesakit perlu mengambil kombinasi 4 jenis ubat iaitu isoniazid, rifampicin, pyrazinamide dan ethambutol setiap hari untuk membunuh bakteria yang aktif dengan cepat.

Fasa Sambungan (4 bulan seterusnya): Kombinasi isoniazid dan rifampicin. Fasa ini untuk membunuh baki bakteria yang ‘tidur’ bagi mengelakkan jangkitan semula.

Fasa ini adalah fasa paling penting, walaupun pesakit sudah rasa sihat, rawatan tetap perlu diteruskan. Ramai pesakit mula rasa sihat selepas 1–2 bulan. Batuk hilang, selera makan kembali, berat badan naik. Sebahagian pesakit berhenti sendiri kerana menyangka mereka sudah sembuh. Namun, di sebaliknya bakteria TB yang paling kuat masih hidup. Apabila ubat dihentikan awal, penyakit akan datang semula, rawatan menjadi lebih lama, ubat menjadi kurang berkesan dan yang lebih membimbangkan, bakteria boleh menjadi kebal ubat (drug-resistant TB /multi-drug resistant TB, MDR-TB). Dalam erti kata lain, berhenti ubat awal boleh menukar penyakit daripada boleh sembuh kepada penyakit yang sangat sukar dirawat.

Pesakit tibi biasanya turut diberikan ubat tambahan iaitu pyridoxine (Vitamin B6) untuk mencegah kesan sampingan ubat isoniazid yang boleh menyebabkan kebas tangan dan kaki (peripheral neuropathy), yang sering digambarkan pesakit sebagai rasa “semut-semut”.

Kerana kepentingan kepatuhan, rawatan tibi biasanya dipantau oleh klinik kesihatan melalui konsep Directly Observed Treatment (DOT). Tujuannya untuk memastikan ubat diambil dengan betul supaya pesakit sembuh sepenuhnya dan tidak menjangkiti orang lain.

Kesimpulannya, tuberkulosis ialah penyakit yang boleh sembuh sepenuhnya. Namun penawarnya bukan hanya ubat, tetapi disiplin. Ubat yang diambil setiap hari selama beberapa bulan mungkin terasa membebankan, tetapi setiap dos sebenarnya sedang menyelamatkan paru-paru, keluarga, dan masyarakat sekeliling.

Batuk berpanjangan bukan perkara biasa. Periksa awal, rawat segera, dan patuh hingga sembuh.

Disediakan oleh,

Prof Madya Dr Nadia Mohd Effendy

Pensyarah Farmakologi,

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box