Ubat Ada Bahan Kimia! – Khairul Naim Zainal Abidin

Segelintir individu cenderung untuk menolak kaedah pengubatan moden. Antara alasan yang sering didengar ialah:

“Ubat moden ni bahaya, banyak bahan kimia!”

“Makan ubat hospital lama-lama nanti boleh rosak buah pinggang. Baik makan herba”

“Makan ubat hospital pun tak sembuh juga penyakit. Baik tak payah makan!”

Keengganan untuk mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan bertauliah mendedahkan individu kepada eksploitasi pihak yang tidak bertanggungjawab. Individu yang menolak rawatan menggunakan ubat-ubatan moden akan cenderung mencari kaedah rawatan alternatif. Kaedah rawatan alternatif yang tidak berpandukan bukti saintifik boleh menjejaskan kesihatan individu, boleh memudaratkan tubuh badan malah membawa maut.

Oleh demikian, kefahaman asas saintifik perlu diterapkan di semua lapisan masyarakat. Pengetahuan yang tepat berkenaan sifat ubat-ubatan akan membantu individu untuk membuat keputusan yang betul, seterusnya meningkatkan taraf kualiti kesihatan mereka.

Bahan Kimia Wujud Di Sekeliling Kita

Kimia merupakan cabang sains yang mengkaji sifat atom, iaitu unit terkecil dalam binaan jirim. Jirim merupakan apa-apa bahan yang mempunyai jisim dan memenuhi ruang. Jirim wujud dalam bentuk gas, cecair dan pepejal.

Atom terbentuk daripada partikel proton, neutron dan elektron. Gabungan tiga partikel ini pada nisbah yang tertentu akan mewujudkan unsur. Contoh unsur seperti karbon, hidrogen, oksigen, nitrogen, ferum (besi), sulfur, potassium, natrium, kalium dan berbagai-bagai lagi.

Gabungan beberapa unsur yang berbeza akan membentuk jirim. Namakan sahaja apa-apa bahan yang wujud di sekeliling kita, semuanya terdiri daripada gabungan lebih daripada satu unsur. Air wujud hasil gabungan unsur hidrogen dan oksigen. Udara yang disedut terdiri daripada campuran pelbagai unsur dalam bentuk gas seperti oksigen, nitrogen dan karbon dioksida. Tumbuh-tumbuhan di sekeliling kita, terdiri daripada unsur karbon, oksigen, hidrogen, nitrogen, ferum dan beberapa unsur lagi. Buku, kerusi, meja, kereta, bata rumah, kaca, surat khabar – semuanya terdiri daripada unsur kimia.

Oleh demikian, tanggapan  bahawa ubat moden itu merbahaya kerana mengandungi unsur kimia merupakan tanggapan yang salah. Ubat-ubatan baik ubat moden atau tradisional semuanya terdiri daripada unsur kimia, sebagaimana semua jirim yang wujud di alam semesta ini.

Farmakognosi Dan Pencarian Penawar Daripada Sumber Alam

Salah satu cabang sains yang kerap digunakan untuk mencari penawar ubat-ubatan moden ialah farmakognosi. Farmakognosi merupakan bidang displin ilmu yang mengkaji sumber ubat-ubatan daripada tumbuh-tumbuhan dan sumber alam yang lain.

Terdapat pelbagai jenis ubat moden yang dihasilkan berdasarkan kajian ke atas tumbuh-tumbuhan dan sumber binatang. Contoh ubat-ubatan tersebut ialah:

(a) Metformin, ubat diabetes, dihasilkan berdasarkan kajian ke atas pokok Galega officinalis

(b) Chloroquine, ubat anti malaria, dihasilkan berdasarkan kajian ke atas pokok Cinchona officinalis

(c) Digoxin, ubat untuk rawatan gangguan ritma jantung,  dihasilkan berdasarkan kajian ke atas pokok Digitalis purpuera

(d) Warfarin, ubat pencair darah, dihasilkan berdasarkan kajian ke atas pokok Melilotus officinalis

(e) Vinblastine, ubat kemoterapeutik untuk rawatan kanser, dihasilkan berdasarkan kajian ke atas pokok Catharanthus roseus.

(f) Pseudoephedrine, ubat selsema, dihasilkan berdasarkan kajian ke atas pokok Ephedra sinica

(g) Captopril, ubat darah tinggi, dihasilkan berdasarkan kajian ke atas bisa ular kapak dari Brazil, Bothrops jararaca

(h) Exenatide, ubat diabetes, dihasilkan berdasarkan kajian ke atas air liur biawak Gila monster (Heloderma suspectum)

Terdapat banyak lagi contoh ubat-ubatan yang dihasilkan berdasarkan kajian ke atas sumber alam.

Penghasilan Ubat Moden: Tiada Jalan Mudah

Proses penghasilan ubat moden daripada sumber alam bukanlah suatu proses yang mudah. Tumbuh-tumbuhan tradisional yang biasa digunakan untuk merawat penyakit tertentu, akan diproses untuk menghasilkan ekstrak tumbuh-tumbuhan tersebut.

Ekstrak tumbuh-tumbuhan mengandungi pelbagai jenis bahan kimia di dalamnya. Komponen bahan kimia ekstrak tersebut kemudiannya akan dikaji satu persatu untuk menentukan, bahan kimia mana yang menghasilkan sifat terapeutik tertentu.

Setelah bahan kimia yang mempunyai sifat terapeutik tersebut telah dikenalpasti, kajian lanjut akan dijalankan untuk mengenalpasti sifat toksik, biokeperolehan dan metabolisme bahan tersebut. Dengan kemajuan dalam bidang perisian komputer, saintis kini boleh mengenalpasti struktur bahan kimia tersebut, seterusnya menghubungkaitkan struktur dan aktiviti biologi sesuatu bahan kimia tersebut (structure-activity-relationship, SAR). Analisis SAR ini amat penting bagi memastikan ubat yang dihasilkan dapat menghasilkan kesan yang diingini untuk tujuan rawatan.

Setelah data sifat fizikal, kimia, biologi, fizikokimia, biokimia sesuatu bahan kimia diperoleh, bahan kimia tersebut akan menjalani ujian pra klinikal dan ujian klinikal. Ujian pra klinikal akan membabitkan pengujian bahan tersebut ke atas binatang mamalia.

Sekiranya bahan kimia tersebut berjaya melepasi ujian pra klinikal ke atas haiwan, ujian klinikal ke atas manusia akan dijalankan. Ujian klinikal (clinical trial) ini selalunya membabitkan tiga fasa, membabitkan jumlah subjek ujian yang berbeza pada setiap peringkat. Bahan kimia tersebut hanya akan diluluskan penggunaannya sebagai ubat setelah hasil keputusan di peringkat ujian klinikal mendapati ubat tersebut selamat untuk digunakan.

Proses penghasilan sesuatu jenis ubat moden, bermula dari proses mengenalpasti tumbuhan, bahan kimia yang menghasilkan sifat terapeutik sehinggalah ujian ke atas manusia, mengambil masa yang lama. Di Amerika Syarikat, purata masa yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu ubat moden ialah selama 12 tahun. Hal ini menunjukkan betapa teliti langkah-langkah yang diambil bagi memastikan ubat yang dihasilkan di pasaran berkualiti, selamat dan berkesan untuk kegunaan pesakit.

Kesan Sampingan Ubat Dan Punca Ubat Tidak Menampakkan Kesan

Kesan sampingan sesuatu ubat, sama ada yang memberi manfaat atau memudaratkan berbeza di antara seorang individu dengan individu yang lain. Ini kerana sifat genetik setiap individu adalah berbeza, menyebabkan tubuh badan setiap individu bertindak balas secara berlainan walaupun menerima dos ubat yang sama.

Kebanyakan kesan sampingan ubat moden boleh diatasi sekiranya setiap individu peka terhadap perubahan yang berlaku selepas mengambil ubat tertentu, dan kemudian memaklumkan kepada pengamal penjagaan kesihatan seperti doktor dan ahli farmasi. Rawatan menggunakan sesuatu ubat boleh ditukar kepada ubat jenis lain sebagai alternatif rawatan. Pesakit yang mengalami alahan terhadap sesuatu jenis ubat juga boleh menjalani protokol penyahpekaan (desensitization protocol) jika perlu.

Ubat-ubatan moden yang digunakan untuk merawat penyakit, akan sukar memberikan hasil sekiranya pesakit masih enggan mengubah gaya hidup mereka ke arah gaya hidup yang lebih sihat. Sebagai contoh, individu yang merokok dan dalam masa sama menghidap asma. Ubat pelega dan pencegah serangan asma akan memberikan kesan yang minimum sekiranya individu tersebut memilih untuk terus merokok.

Kesimpulan

Ilmu dan pengetahuan asas sains merupakan asas untuk membantu menerangkan salah konsep di kalangan masyarakat berkenaan ubat moden. Ubat moden dihasilkan berdasarkan kajian saintifik dan amalan perubatan berasaskan bukti (evidence based medicine). Penjagaan kesihatan dan peningkatan kualiti hidup bukan bergantung kepada penggunaan ubat sahaja, malah turut berkait dengan gaya hidup seseorang individu.

Khairul Naim bin Zainal Abidin seorang pegawai farmasi yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box