Pengambilan Ubatan Oleh Ibu Yang Menyusukan Bayi – Khairul Naim bin Zainal Abidin

Sumber: www.theglobeuk.com

Sumber: www.theglobeuk.com

Susu ibu merupakan diet terbaik buat bayi yang baru dilahirkan. Antara faedah penyusuan susu ibu kepada bayi di antaranya ialah susu ibu memberikan nilai nutrisi yang lebih baik berbanding susu formula, membantu melindungi bayi daripada jangkitan kuman dan mengurangkan risiko alahan kepada bayi. Oleh demikian Kementerian Kesihatan Malaysia telah menetapkan Polisi Penyusuan Susu Ibu Malaysia, di mana semua ibu digalakkan menyusui anak mereka dengan susu ibu sahaja  dari lahir sehingga enam bulan dan meneruskannya sehingga anak tersebut berumur 2 tahun. Pada umur 6 bulan, makanan pelengkap pula perlu dimulakan sebagai tambahan kepada susu ibu.

Walaupun terdapat kebimbangan berkenaan ubat yang diambil oleh ibu yang menyusukan anak berkemungkinan memberikan kesan terhadap anak yang sedang menyusu, buat masa kini cuma sedikit maklumat dan bukti klinikal yang ada berkenaan hal tersebut. Oleh demikian, potensi sesuatu ubat samada dapat memberikan kesan atau tidak terhadap anak yang menyusu boleh dijangka berdasarkan:

  • Kuantiti ubat atau metabolit aktif ubat yang meresap ke dalam air susu dan diterima oleh anak yang menyusu (bergantung kepada ciri-ciri farmakokinetik ubat tersebut di dalam badan ibu e.g. peratus ubat yang diserap masuk ke dalam salur darah, peratus ubat yang dirembeskan ke dalam kelenjar susu dan separuh hayat ubat di dalam badan ibu)
  • Tahap keberkesanan penyerapan, pengedaran dan perkumuhan ubat oleh anak yang menyusu
  • Kesan ubat terhadap anak yang menyusu

Secara amnya, kuantiti ubat yang dipindahkan dari sistem peredaran darah ibu yang menyusukan anak ke dalam susu ibu jarang-jarang sekali mampu memberikan kesan kepada anak yang menyusu – terutamanya ubat-ubatan yang sukar diserap oleh saluran makanan dan ubat-ubatan yang disuntik melalui salur darah.

Walaupun demikian, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dalam kes sekiranya ubat yang dimakan oleh ibu yang menyusukan anak tersebut boleh meresap dan hadir dalam kuantiti yang signifikan di dalam air susu badan ibu tersebut. Contohnya:

  • Ubat yang hadir di dalam susu ibu tersebut mungkin boleh menyebabkan reaksi alahan
  • Ubat  dari kumpulan statin, Fluvastatin, merupakan ubat yang dikumuhkan oleh hati. Sekiranya bayi yang menyusu tersebut merupakan bayi pra-matang atau mengalami jaundice (kekuningan), risiko untuk berlakunya kesan toksik ubat agak sedikit tinggi.
  • Ubat jenis phenobarbital boleh menghalang refleks bayi untuk menyusu

Berikut merupakan jadual ubat-ubatan yang perlu diberi perhatian jika diambil oleh ibu yang menyusukan anak. Walau bagaimanapun suka untuk diingatkan di sini, maklumat yang dipaparkan di sini bukanlah maklumat yang lengkap dan muktamad. Para pembaca dinasihatkan agar menggunakan maklumat yang diberikan sebagai panduan untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi berkenaan langkah terbaik untuk tujuan rawatan – sama ada perlu mengambil ubat tersebut dan menghentikan penyusuan anak, atau menghentikan penyusuan anak untuk tempoh tertentu atau penukaran terhadap rawatan/ubat alternatif yang lain.

Ubat Keterangan
Acarbose Elakkan penyusuan
Acetazolamide Kuantiti dalam air susu terlalu sedikit untuk memberikan kesan
Acyclovir Kuantiti signifikan di dalam air susu, syarikat pengeluar menyarankan penggunaan dengan berhati-hati
Alkohol(terdapat di dalam beberapa jenis sediaan galenikal seperti Aqueous Morphine) Pengambilan kuantiti yang banyak boleh memberi kesan kepada bayi dan mengurangkan kadar kekerapan bayi untuk menyusu
Alfentanil Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan dalam tempoh 24 jam selepas ubat diambil
Allopurinol Dikesan di dalam susu ibu – kesan terhadap bayi tidak diketahui
Amiodarone Elakkan penyusuan
Antihistamine(merangkumi ubat-ubatan untuk rawatan selsema,batuk dan alahan) Syarikat pengeluar menyarankan penyusuan dielakkan sepanjang tempoh ubat diambil bagi ubat-ubatan berikut:

  • Alimemazine
  • Cetirizine
  • Cinnarizine
  • Cyproheptadine
  • Desloratadine
  • Dimenhydrinate
  • Fexofenadine
  • Hydroxyzine
  • Loratadine
  • Mizolastine
  • Ketotifen
Aspirin Elakkan penyusuan – risiko Reye’s Syndrome
Atovaquone Elakkan penyusuan
Azithromycin Elakkan penyusuan
Barbiturates(e.g Phenobarbitone) Elakkan penyusuan
Captopril Elakkan penyusuan
Carbamazepine Kuantiti dalam air susu terlalu sedikit untuk memberikan kesan
Cephalexin Kuantiti dikesan dalam air susu (rendah)
Cefadroxil Kuantiti dikesan dalam air susu (rendah)
Cefuroxime Kuantiti dikesan dalam air susu (rendah)
Celecoxib Elakkan penyusuan
Clopidogrel Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan
Colchicine Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan
Corticosteroids(e.g. Prednisolone) Kemungkinan tiada kesan terhadap bayi sekiranya dos maksimum prednisolone 40 mg sehari
Cyclosporin Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan
Domperidone Kuantiti dalam air susu terlalu sedikit untuk memberikan kesan
Enoxaparin Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan
Enalapril Kuantiti dalam air susu terlalu sedikit untuk memberikan kesan
Felodipine Elakkan penyusuan
Itraconazole Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan
Ketoconazole Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan
Loperamide Kuantiti dalam air susu terlalu sedikit untuk memberikan kesan
Mefenamic Acid Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan
Metronidazole Elakkan penyusuan
Methyldopa Kuantiti dalam air susu terlalu sedikit untuk memberikan kesan
Mycophenolate Mofetil Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan
Penicillin(e.g. Amoxicillin, Cloxacillin) Kuantiti dikesan dalam air susu (rendah)
Perindopril Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan
Statin
(e.g. Atorvastatin, Fluvastatin)
Syarikat pengeluar menyarankan supaya mengelakkan penyusuan
Sulphonamides
(e.g. Sulphamethoxazole)
Elakkan penyusuan sekiranya anak mengalami demam kuning
Vitamin D Langkah berjaga-jaga sekiranya diambil dalam dos yang tinggi – boleh mengakibatkan hypercalcaemia terhadap anak yang menyusu

 

Khairul Naim bin Zainal Abidin seorang pegawai farmasi yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan: 

  • British National Formulary

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box