Tahun Akhir Pelajar Perubatan – Afiqah Azman

Source: well.blogs.nytimes.com

Source: well.blogs.nytimes.com

Sukar rasanya untuk dipercayai, begitu pantas masa berlalu. Terasa seperti baru semalam meninggalkan negara tercinta demi mengejar cita-cita sebagai seorang doktor. Masih terbayang bagaimana perasaan yang bercampur-baur ketika itu, sedih kerana akan berada jauh dari keluarga tersayang; dalam masa yang sama gembira untuk mengutip pengalaman-pengalaman baru di nagara lain bersama kenalan-kenalan rapat dan semestinya bangga kerana memang inilah yang diidam-idamkan sejak keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan beberapa bulan sebelumnya. Setelah tiga tahun setengah berlalu, kini saya berhadapan dengan tahun akhir. Seperti mahasiswa lain, saya juga teruja bergelar seorang pelajar tahun akhir di menara gading.

Walaupun baru sebulan berada di tahun akhir, namun saya sudah kerap terfikir bagaimanakah kehidupan saya selepas tamat belajar kelak. Lebih-lebih lagi, pada hari ini, banyak isu berkaitan graduan perubatan yang timbul dan saya percaya sentiasa menjadi topik sensasi perbincangan para pelajar perubatan Malaysia tidak kira di mana mereka berada.

‘Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) membuat kajian seramai kira-kira 5000 graduan perubatan dikeluarkan di negara ini setiap tahun dan jumlah itu amat membimbangkan kerana bilangan pekerjaan dilihat amat terhad atau mungkin tidak ada ruang untuk graduan bekerja sebagai doktor perubatan. Presiden MMA, Dato’ Dr. NKS Tharmaseelan berkata, jika jumlah itu berterusan atau meningkat setiap tahun, tidak ada tempat untuk mereka menjalani latihan selepas tamat belajar.’

– New Malaysian Post, 16 Nov. 2013

Sebelum ini, kita selalu mendengar bahawa Malaysia mengalami masalah kekurangan doktor, namun terdapat sumber yang mengatakan, Malaysia akan mempunyai lambakan graduan perubatan menjelang tahun 2020. Secara tidak langsung, isu penempatan yang terhad untuk doktor pelatih di hospital-hospital kerajaan juga kerap dibincangkan. Masalah penempatan yang terhad ini mungkin timbul apabila Kementerian Kesihatan melanjutkan tempoh housemanship (latihan siswazah) daripada setahun kepada dua tahun bermula pada akhir tahun 2008. Jika dahulu masalah doktor pelatih terlalu tertekan dengan bebanan kerja (menurut satu kajian, 21.8% doktor pelatih memerlukan kaunseling dan 5.8% memerlukan rawatan khas) merupakan salah satu kebimbangan terbesar, namun pada pandangan saya, kekurangan bebanan kerja disebabkan terlalu ramai doktor pelatih pada masa akan datang akan mengurangkan kualiti latihan kemahiran yang bakal diterima oleh kami doktor-doktor pelatih kelak.

Selain daripada itu, sebagai seorang pelajar yang belajar di luar negara, saya turut bimbang dengan suasana kerja yang bakal saya hadapi di Malaysia nanti. Tambahan pula, selepas tamat tahun akhir, saya dikehendaki menjalani internship selama setahun di sini. Saya bimbang perbezaan budaya kerja di India dan di Malaysia akan memberikan kejutan budaya kepada saya nanti. Kadang-kala, saya sering berasa cemburu dengan rakan-rakan yang menuntut di kolej-kolej perubatan tempatan kerana mereka semestinya arif dengan suasana dan budaya kerja serta protokol-protokol yang diamalkan di Malaysia. Mereka juga mungkin lebih mahir dengan kerenah pesakit di tanah air sendiri. Istilah-istilah yang merujuk kepada penyakit-penyakit tertentu yang digunakan untuk berkomunikasi dengan pesakit juga pasti berlainan. Disebabkan kami lebih terdedah kepada istilah-istilah perubatan dalam Bahasa Inggeris, maka untuk menjelaskan sesuatu perkara berkaitan sebarang penyakit dalam Bahasa Malaysia memang amat sukar saya rasakan. Pada suatu hari, saya ditanya oleh seorang kenalan berkenaan penyakit uluran. Itulah kali pertama saya mendengar perkataan uluran. Kemudian, barulah saya tahu bahawa uluran merujuk kepada ‘hernia’. Begitu juga dengan paru-paru berair yang saya sangka ‘pulmonary oedema’, rupanya ialah ‘pneumonia’!

Sejak kebelakangan ini, saya juga kerap terfikir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kepakaran setelah tamat program ijazah sarjana muda nanti. Lebih-lebih lagi setelah saya menyertai Program Kolumnis Muda Malaysian Medical Gazette, saya mula kenal dengan ramai doktor pakar yang saya kagumi. . Saya sedar mungkin masih terlalu awal untuk saya memikirkan hal-hal sebegini, namun tidak salah rasanya untuk mempunyai angan-angan dan merancang untuk menggapainya.

Walau apapun yang saya fikirkan dan bimbangkan sekarang, saya tahu pengakhirannya terletak pada usaha saya sendiri. Perkara penting yang perlu saya utamakan sekarang ialah untuk lulus peperiksaan tahun akhir pada hujung tahun ini. Terlalu membimbangi apa yang akan berlaku kelak sehingga mengabaikan apa yang sedang berlaku sekarang juga tidak elok bak kata pepatah ‘apa yang dikendong tak dapat, apa yang dikelek berciciran’.

Afiqah adalah seorang pelajar perubatan tahun akhir di Krishna Institute of Medical Sciences, India. Ketahui tentang beliau di laman Young Columnists Program di bawah The Team

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box